December
28, 2003 [10:21 PM]
Dalam dada aku ada terlalu banyak perasan marah dan dendam kesumat.
Itu kesimpulan yang aku buat. Sia-sia mengulangkaji kalau
dada tidak lapang. Jadi aku tonton Juara Lagu malam ini dan
tidak mentelaah seperti malam-malam biasa. Aku tahu aku
tidak akan lulus peperiksaan kali ini kerana dalam dada aku ada
terlalu banyak perasan marah dan dendam kesumat. Semacam
antagonis kepada ilmu, perasaan marah dan dendam ini.
Aku masih tidak dapat maafkan Boss kerana tidak menghalang
pertukaran CK ke pulau sedangkan dia tahu LS akan bertukar Januari
ini dan kami akan sangat-sangat kekurangan MO. Sekarang aku
yang kena tanggung segalanya. Orang lain ambil cuti mengejut,
aku kena selesaikan. Panjangkan cuti tanpa notis, aku kena
uruskan pengganti. Orang buat itu, orang buat ini semuanya
hempapkan atas kepala aku macam batang kelapa tumbang dalam ribut.
Aku marah pada Jack kerana aku rasa bodoh tidak tahu menipu.
Aku rasa bodoh menjadi terlalu lurus. Aku rasa bodoh terlalu
menurut perintah. Buat kerja tanpa soal. Tidak tahu
mencuri tulang. Bodoh 'kan aku?
Dan KBJ aku yang baru 4 bulan mengenal hidup dicium orang sampai
tergores lebar di bontotnya. Sedih. Aku letak dalam
petak parking, bukan tepi jalan macam orang lain.
Bukan betul-betul di selekoh sampai ganggu laluan keluar-masuk
macam orang lain. Aku lurus. Aku ikut perintah.
Aku tak banyak soal. Aku sumpah dengan segala kemarahan dan
dendam kesumat dalam dada aku, biar orang itu diserang cirit-birit
semasa memandu, kalau boleh di lebuhraya. Biar dia tahu.
Wanita, makhluk emosi.
December
24, 2003 [9:39
PM]
Kepala aku serabut. Dengan exam. Dengan on-call
roster bulan depan. Dengan persiapan temuduga.
Dengan persiapan tahun depan. Silap langkahlah siapa yang
berani menyerabutkan lagi kepala aku sekarang. Seperti Jack.
Selama ini aku cuba bersangka baik. Tapi dia ambil
kesempatan. Akhirnya aku jadi Karam Singh Walia.
Bongkarkan penipuan Jack yang paling besar dan, dengan gaya Mami
Jarum, laporkan pada Boss. Aku rasa macam orang jahat tapi
tolonglah, aku dah tak larat. Dada aku seperti sudah mahu
meletup dengan karenah dia.
Bak kata Encik Karam, "Terbakar hutan nampak asapnya,
terbakar hati siapa yang tahu..."
-----
Seminggu lagi 2004.
December
21, 2003 [9:59 PM]
Aku tak tahulah. Memang kes rogol semakin banyak atau dulu
mereka tak buat laporan polis. Bila on-call ada saja
panggilan dari Casualty merujuk kes semacam itu.
Minggu lepas ada budak 16 tahun dari pantai timur, ikut abang
angkat umur 24 tahun datang ke sini katanya mahu hantar kawan ke
UUM. Dia pun ikut, sehelai sepinggang. Tak beritahu
ibu bapa pun. Aku tengok dia ada telefon bimbit model
terkini. Tak ada kredit, atau mungkin tak ada akal.
Sampai di sini, abang angkat apa lagi angkutlah ke hotel.
Buatlah apa dia suka. Geram aku. Rasa nak marah pun
ada.
Seorang lagi ikut boyfriend pergi beraya. Umur 16
tahun juga. Sekolah tak habis. Boyfriend umur 19 tahun
bawa beraya ke rumah kawan. Kawan tunggu di luar. Dia
'menjamu selera' kat dalam. Macam tak masuk akal.
Khamis lepas, perempuan terencat akal diumpan KFC. Ikut
lelaki tak dikenali buat angkara dalam kereta.
Semalam, lagi seorang terencat akal dikenakan jiran. Konon
mahu pinjamkan VCD rupanya ada cadangan buat episod cinta sendiri
dalam bilik makan. Cucu dua orang sedang main video game
di tingkat atas.
Aku tak tahulah. Tak boleh percaya lelaki tak dikenali.
Tak boleh percaya abang angkat. Tak boleh percaya boyfriend.
Tak boleh percaya jiran.
Tak boleh percaya lelaki sekarang.
December
13, 2003 [6:45
PM]
Benci betullah aku.
Bila disuruh buat kerja, tak mahu. Bila diberi tanggungjawab, lari.
Bila dipanggil ke mesyuarat, tak mahu beri input.
Bila sudah selesai semuanya, pandai pula komen itu, ini tak kena.
Aku tak kira apa Jack nak kata. Bagi aku LRM 2003
boleh dianggap berjaya.
Okay. Sudah.
-----
Taklimat PTK hari ini, esok dan lusa. Sediakan pen dan
kertas. Aku dengar saja Puan Z bercakap tentang Tonggak 12,
Wawasan 2020, Dasar itu, Dasar ini macam dia bercakap dalam dialek
planet Marikh. PTK hari Selasa. Entah apa aku nak
goreng dalam soalan esei itu nanti.
Hentam sajalah Labu.
-----
Bukan kau saja. Aku pun rindu.
Aku pun rindu untuk menulis tentang hari-hari aku di tempat kerja
seperti dulu. Hidup aku sudah lain sekarang. Di sini
aku kurang mendampingi pesakit. Nature kerja aku
sudah berubah. Buat kerja guna pakej Odasaja.
Aku ada houseman untuk buat kerja-kerja yang dulunya aku
buat sendiri di pulau. Aku order, mereka buat.
(Kadang-kadang mereka tak buat. Aku jadi singa.)
Kalau kau tanya aku, seronok lagi buat sendiri kerja-kerja itu
tapi doktor-doktor pelatih itu perlu belajar dan mereka tak akan
belajar kalau kerja-kerja itu mereka tak buat. Aku juga
belajar cara itu dulu.
Kadang-kadang ada seorang-dua pesakit yang aku terfikir kisahnya
harus di tulis di sini sebagai teladan tapi aku tak banyak masa
untuk mengarang. Mungkin lain kali. Banyak tugasan
lain yang perlu aku buat. MRCOG Part 1 misalnya, lagi
78 hari.
Aku harap semua faham. Simpan saja rindu itu.
December
11, 2003 [7:00
PM]
Lega.
Mula-mula risaukan bajet. Kalau-kalau pengurusan tak mahu release
duit hujung-hujung tahun macam ini. Kemudian risaukan
peserta. Malu besar kalau kursus tak dapat sambutan macam Hands
On empat, lima, enam bulan lepas.
Rupa-rupanya sambutan di luar dugaan. Jemput hanya staf
hospital daerah tapi ABC mahu hantar 21 orang peserta tambahan.
Terima fax pada saat-saat akhir tambahan 33 peserta! Duit
tak cukup. Dewan tak muat. Serabut kepala otak aku.
Caterer datang lambat. Almaklum melayu. Ramai
peserta hanya makan sejenis lauk. Lauk lagi dua jenis yang
sampai lambat, banyak yang lebih. Selain daripada itu, tak
adalah yang cacat sangat. Berjalan lancar saja.
Lega. LRM 2003 berlangsung dengan jayanya. Dr
NZ pun nampak happy saja tengah hari tadi setelah semuanya
selesai. Dia boleh ambil cuti rehat hujung tahun. Aku
pun boleh balik semula kepada ulangkaji aku yang tergendala.
-----
"Ingat dak dia yang mana? Dia ada kat KL.
Intestinal obstruction. DIL informed," kata Boss.
Aku maafkan ibu dia yang kurang diajar itu. Aku sudah
terlalu tua untuk menyimpan dendam.
December
1, 2003 [9:26
PM]
Raya datang dan raya
pergi.
Ada hikmah juga baju kebaya itu longgar 1 inci di setiap bahagian.
Ada banyak ruang untuk diisi dengan ketupat, rendang, bahulu, kuih
itu, kuih ini, segala macam. Makan. Makan. Dan
makan.
-----
"Tarak. Aku tarak makan. Aku minum itu susu
saja. Aku teringin sangat itu kampung punya ayam tapi doktor
kata tarak buleh makan. Aku tarak makan."
Dan dia mati 14 hari kemudian, kempunan ayam kampung.
Tapi itu cerita lain.