September 10, 2003 [6:42 PM]
Masa kecil, bila
orang hulur duit raya emak-ayah kita ajar kita ucap terima kasih.
Bila cikgu keluar kelas kita bangun ramai-ramai ucap terima
kasih. Kenapa bila kita besar kita jadi kurang ajar?
Aku rasa dia kurang ajar. Kurang ajar betul.
Anak dia umur 13 tahun ada barah ovari. Aku kasihankan anak dia,
muda-muda lagi sudah kena barah. Muka monyok saja setiap hari.
Aku cuba berbaik-baik dengan si anak walaupun jelas dia tak
sukakan aku sebab aku pernah cucuk dia untuk peritoneal tap.
Aku buat sebaik mungkin masukkan IV line pagi tadi dengan
hanya sekali cucuk, cerita pada dia dan si anak ubat apa yang aku
sedang cucuk, pukul berapa jururawat akan datang bagi chemo.
Petang tadi houseman beritahu aku dia tak boleh ambil ABG. Aku
rasa tak guna cucuk 2-3 kali, biar aku saja yang buat. Aku pergi
ke katil si anak. Dia tengah tidur.
"Oh! dia tidur...," kata aku.
Aku angkat muka mahu pandang si ibu. Elok saja aku buka mulut
mahu minta izin kejutkan anak dia untuk diambil darah, si ibu
terus menyinga.
"Ni doktor nak apa lagi ni? Nak ambik darah tak boleh ke
petang-petang sikit? Saya nak tunggu bapak sedara dia!"
Aku terdiam.
"Kak cakaplah elok-elok kalau ya pun," kata aku.
Aku pergi. Aku tahu kalau aku berdiri lagi di situ aku akan jadi
marah.
"Doktor kena fahamlah! Tak kan tak boleh faham?"
Jerit lagi. Aku rasa muka aku panas. Semua pesakit kubikel 6
pandang aku. Pandang doktor mereka yang sudah bergenang air mata.
Anak dia sakit. Dah nak mati. Aku pergi dengan tujuan nak
mengubat. Sudahlah tidak berterima-kasih, dia tengking aku macam
pengemis.
Kurang ajar.
-----
"Pasal apa kita tak jadi MO Psychiatry Kak Max? Gaji kita sama
dengan gaji depa tapi kerja kita lagi banyak," tanya Wan
petang tadi.
Entah. Kerja siapa lebih banyak aku tak tahu. Bagi aku memang
lebih baik jadi MO Psychiatry, sekurang-kurangnya kalau dijerit,
ditengking macam itu tak akan jadi hal. Pesakit-pesakit jiwa di
wad psychiatry memang suka menjerit tak tentu pasal.
Aku sudah tawar hati. Aku rasa mahu jadi surirumah saja.
September 9, 2003
[10:18 PM]
Sebab apa?
Sebab.
"Sebab aku rasa aku dulu tak dapat career guidance kat sekolah,"
kata aku.
Wan pantas mengangguk.
Di sekolah dulu aku suka kumpul A. Aku suka naik pentas setiap penggal. Nombor
satu Intan. Nombor dua Fify. Nombor tiga aku. Mengikut turutan yang sama
setiap penggal. Matapelajaran yang paling aku minat di sekolah dulu ialah
Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia. Bukan Biologi. Aku tidak
suka menggali tanah cari cacing, ke padang cari belalang untuk dibelah lihat isi
perutnya. (Aku tak tahu di mana Shidot sekarang. Mungkin sudah jadi
Anaesthesiologist. Dia yang suruh aku 'bius'kan belalang itu dengan Minyak Cap
Kapak sebelum di'bedah' dengan pisau lipat. Haha.)
Jadi masa SPM aku kumpul A dan dengan semua A yang terkumpul otak aku kata aku
boleh jadi doktor. Hati aku kata keputusan English 1119 aku boleh bawa aku ke
luar negara.
Tapi tujuh tahun...
(Pergilah... kalau tidak kau akan menyesal.)
Jadi kalau aku perlu juga cari sebabnya, sebab itulah.
Sebab itu aku jadi doktor.
Alhamdulillah. Perjalanan hidup aku setakat ini sangat mudah.
September 2, 2003
[10:07 PM]
"Piah buat tu, Piah buat ni. Embong buat tu, Embong buat ni!"
Aku tak ingat bagaimana ceritanya sebab masa itu aku cuma besar sedikit daripada
skrin televisyen yang aku tonton itu. Noor Kumalasari bawa watak Piah dalam
Drama Minggu Ini itu, menjerit-jerit dialog di atas dengan fed-up teramat
sangat.
Aku ingat sampai sekarang. Macam budak-budak hari ini mungkin akan ingat sampai
tua edisi siasat money boy NTV7 kalau mereka dibenarkan menonton. Tak
sanggup aku nak ulang pengakuan lelaki dalam gelap itu. Gelap fizikal dan gelap
minda. Melampau. Jijik.
-----
"Pasai apa Kak Max (bukan nama sebenar), Dr MR, Dr NZ semua tu ada anak, ada
laki pun boleh balik study? Boleh pass periksa?" tanya Wan.
Sebab.
"Okay. Macam ni. Kita buat conclusion, kalau kita nak pass periksa, kita
kena ada anak & laki," kata aku.
Aku padam lampu bilik on-call. Wan mengekek-ngekek dalam gelap.
Tidur sajalah Wan. Esok matahari terbit sebelah timur juga walaupun kita tak
tahu sebabnya.
-----
Dr ZB suruh aku habiskan flow chart ISO. Dr ZN suruh aku selesaikan
kerja semua AJK Pengelola Kursus Ultrasound. Semua. Kerja aku dan kerja semua
orang. Dr NZ asyik tanya pasal RMI study. Aku ada CME presentation untuk
houseman 2 minggu lagi. RMI Study aku kena bentangkan seminggu selepas
itu. Boss tiap-tiap hari pukul anak sindir menantu. Aku tahu dia berleter
pagi-pagi konon marahkan houseman tapi sebenarnya ditujukan pada aku.
Tiap-tiap hari pergi kerja. Kadang-kadang balik. Kadang-kadang tidak.
Kegiatan riadah aku sekarang terhad kepada memotong kuku seminggu sekali. Aku
terlalu sibuk hatta untuk mencari gaduh dengan Encik Tunang sekalipun. Kalau
macam ini, macam mana aku nak lulus periksa?
Max buat tu. Max buat ni...
Entah. Aku fed-uplah. Fed-up.
Fed bloody up.
-----
"Pasai apa kita jadi doktor, Kak Max? Pasai apa kita tak jadi engineer?" tanya
Wan.
Sebab.