October
29, 2003 [9:52 PM]
Lama tak menulis.
Kurang sihat. Mula-mula tonsils jadi sebesar bola ping-pong dan
suara jadi macam anjing laut. Kemudian tumbuh 3 biji lymph
nodes. Sekejap-sekejap demam. Habis EES satu course. Tonsils
mula kecut tapi lymph nodes macam itu juga. Lepas disiasat, sah
aku kena juga cabut gigi bermasalah itu. Sudah terkena jangkitan
agaknya. Pandai saja aku buat diagnosis sendiri.
Maka sehari sebelum puasa aku serah diri pada doktor gigi. Ada
satu lohong besar di mana gigi geraham itu dulunya berada. Tapi
sakit juga lagi sebab gusi pula terkoyak sikit. Menguji kesabaran
sungguh berpuasa dengan sakit gusi. Cubalah.
-----
"Ada jurnal dalam guestbook hang!" kata Adik.
Ya. Ada jurnal dalam guestbook aku. (D'arkampo,
teruskanlah menulis. Aku tak kisah. Buat macam rumah sendiri.)
-----
Aku nak tidur. Entah bila aku nak sihat sepenuhnya.
Selamat berpuasa.
October
16, 2003 [7:09 PM]
Dan dia gelak lebih
kuat lagi bila aku beritahu aku mahu pergi ke bulan.
Kau tak
mahu ke bulan?
-----
CK ditukarkan ke pulau. Kami kurang seorang lagi. Kerja
bertambah bukan arihtmetically tapi logarithmically.
Berkali-kali ganda.
Aku rasa cloning perlu diluluskan segera. Dengan cara itu
saja aku boleh ada di OT, di dewan syarahan dan di klinik pada
masa yang sama. Klon lebih banyak pegawai perubatan atau
kementerian perlu beli robot macam Asimo. Atau Doraemon boleh
keluarkan mesin doktor mudah alih dari koceknya.
Atau bayar elaun tanggung kerja.
Itu penyelesaian Boss. Buat surat minta Elaun Tanggung Kerja
diluluskan. Yang 4 bulan lepas telah ditolak sebab pengurusan
tidak percaya kami banyak kerja.
Aku masih pro-pengklonan. Apa guna bagi aku duit kalau lepas
kerja aku sudah terlalu letih unutk membelanjakan duit itu.
Aiskrim Cornetto aku beli 2 hari lepas pun masih ada dalam peti
sejuk bilik CME sebab aku masih belum ada masa untuk memakannya.
Apa guna kumpul duit beli kereta baru kalau lepas dua bulan baru
pandu 453 km?
-----
Kak T pula dijemput mengadapNya tengah hari tadi. Macam biasa,
mati seorang diri. Tak ada seorang pun ahli keluarga. Suami
tidak sekali pun aku tengok datang menjenguk. Anak-anak masih
terlalu kecil untuk faham. Kenapa dengan mereka ini? Hospital
bukan tempat untuk buang orang yang sudah tak boleh dipakai akibat
barah.
-----
(Dia kata dia cuma mahu pergi bulan madu. Sabar sajalah aku.)
October
8, 2003 [4:44 PM]
Dia gelak-gelak saja
bila aku beritahu aku mahu jadi surirumah. Aku pun ikut
gelak-gelak. Alangkah bahagianya hidup kalau setiap hari boleh
gelak-gelak macam dalam kepala tak ada apa-apa yang berserabut.
-----
Makcik H akhirnya dipanggilNya minggu lepas. Intestinal
obtruction.
Yang bagusnya dia tidak perlu lagi menahan kesakitan setiap hari,
yang sudah mangli walaupun pada morphine dos paling
tinggi. Yang tidak bagusnya, dia pergi berseorangan pada pagi
yang hening tanpa anak-anak di sisi. Aku malu kalau aku jadi
anak-anaknya. Setakat menggaji orang datang sehari sekali untuk
memandikannya, terbalaskah jasa seorang ibu?
-----
Dan Kak R pun dijemputNya 4 hari lepas. Umur 33 tahun, bekas
pegawai tadbir. Anak dua. Terlalu banyak yang masih ingin dia
lakukan, aku rasa. Tapi gilirannya sudah sampai. Dia pergi tanpa
banyak soal.
"You tak boleh emotional, Max," kata Boss.
Ya, aku beremosi.
Barah jahat.
-----
Mengapa, aku tidak faham, setiap kali aku perlu ambil gambar
ukuran pasport jerawat tumbuh tepat di atas hidung. Sibuk aku
dua-tiga hari ini, mengisi borang segala jenis. Bertelefon
sana-sini. Menerima panggilan telefon kawan-kawan yang sama
cita-cita dengan aku menjawab soalan macam aku hotline UPU.
Semoga segalanya berjalan lancar supaya aku boleh jadi surirumah
berkelulusan Sarjana Obstetrik & Ginekologi.