Perbendaharaan kata Bahasa Melayu sangat kaya, tapi ada perkataan
yang jarang sekali kita dengar. Ada pula yang penggunaannya
bermusim. Macam rongga. Aku cuma akan dengar perkataan
rongga bila aku minta kebenaran untuk memeriksa pesakit di bulan
Ramadhan. Tiba-tiba soal rongga dan bukan rongga
dipertikaikan. Bila sampai ketupat, rendang, kasa rubia dan
tudung bawal, perkataan rongga pun hilang.
Ada perkataan yang penggunaannya menggambarkan status. Macam
mangkat. Bukan mati. Bukan meninggal dunia.
Mangkat.
Dan gering.
"Gering tu apa?" tanya Murali, tidak faham kekecohan yang
sedang berlaku dalam kesesakan bilik scan Selasa lalu.
Seorang kerabat diraja dikhabarkan gering. Baginda sudah
lama gering akibat barah. Berada di luar negara ditemani 2
orang pakar dari hospital aku menerima rawatan. Hari Selasa
lalu berlaku kekecohan di hospital aku, dan khabarnya di beberapa
agensi kerajaan lain, bila baginda dikhabarkan akan berangkat
pulang dalam keadaan sangat gering. Khabar angin pelbagai
versi bertiup kencang.
Pengarah hospital diarahkan membuat persediaan untuk menghadapi
worst case scenario kerabat diraja yang gering. Wad
diraja ditutup sementara kerana berada di bangunan yang sama
dengan wad pengasingan SARS. Kalaupun wad itu dibuka, aku
rasa baginda mungkin tidak akan ditempatkan di situ sebenarnya.
Wad itu penuh sarang labah-labah. Sudah lama tidak ada
kerabat yang gering. Tujuh pegawai perubatan dipilih
untuk memberi liputan perubatan di istana diraja.
"Kak Max, Dr MR pilih Kak Max wakil department," kata Wan.
Ah! sudah. Aku tersangkut di OT semasa pemilihan dibuat
dalam mesyurat petang itu. Aku tidak ada peluang membela
diri. Menghadapi pesakit setiap hari pun sudah buat aku
gering kepala, apa lagi menghadapi protokol ketat istana
diraja.
Tapi alhamdulillah, baginda selamat tiba dari hospital di negara
jiran itu kelmarin dan sekarang berada dalam keadaan stabil di
istana. Hanya beberapa orang jururawat dan peralatan
perubatan asas dibawa ke sana. Tujuh pegawai perubatan yang
tersenarai hanya perlu stand-by sepanjang 2 minggu ini,
kalau-kalau keadaan baginda jadi serius barulah kami dipanggil
bertugas merawat bonda kami yang gering.
Semoga Allah panjangkan usia baginda dan selamat berangkat semula
keluar negara 2 minggu lagi untuk menyambung rawatan.
Amin.
May 20, 2003
[11:01 PM]
Belum ada pesakit yang pengsan atau diserang
sawan kerana terlalu panas, jadi pendingin hawa di jabatan aku
masih dibiarkan rosak sejak seminggu yang lalu. Orang di tempat
kerja baru aku suka agaknya kalau muka pengarah keluar
suratkhabar. Bayi Putus Tangan Kerana Suhu Klinik Terlalu
Panas -- glamour you!
-----
Tahniah diucapkan kepada wargakerja hospital pulau yang
khabarnya sudah diberi pensijilan MS ISO 9001. Aku dapat tahu
semalam, masa Taklimat ISO di dewan syarahan. Ya, aku lari dari
ISO di pulau, datang ke sini dan dimasukkan dalam kumpulan
'orang ISO' juga.
"Saya nak bawak Max (bukan nama sebenar), ke ISO meeting
boleh?" tanya Dr ZB dalam mesyuarat jabatan minggu lepas.
Boss pun setuju. Mengangguk macam orang jepun.
Aku rasa macam mahu mengecut ke saiz kuman dan sembunyi bawah
meja.
Tapi lepas mesyuarat ISO Ahad lepas dan taklimat semalam, aku
rasa macam seronok pula ber-ISO-ria di sini. Aku lebih faham
tentang ISO 9000:2000 sekarang, berbanding dulu semasa di
pulau. (Dan lagi, pendingin hawa di dewan syarahan itu sungguh
nyaman.) Syoknya.
Setiap petang Ahad aku tak boleh diganggu, kata Dr ZB. Aku kena
ikut dia ke Mesyuarat ISO di dewan syarahan. Aku orang ISO.
May 16, 2003 [5:03
PM]
Everything ends badly.
Aku sudah habiskan A Fine Balance. Betul kata Nads, buku
yang depressing. Mesejnya, "everything ends
badly." Segala-gala dalam dunia ini, dalam hidup ini,
akan buruk kesudahannya. Macam itulah, lebih kurang.
Aku tak setuju. Permulaannya baik. Dina Dalal, Ishvar,
Omprakash, Maneck, The Hair Collector, Monkey Man, Shankar dan
Beggarmaster semuanya watak yang menarik. Tapi akhirnya
semua orang mati atau menemui jalan mati. Tak boleh.
Tak boleh. Memang benda-benda buruk berlaku setiap hari tapi
kalau semua benda buruk dikumpulkan dalam satu novel, ia terlalu
depressing. Buku ini dapat 2 bintang. Itu saja.
Selepas A Fine Balance aku akan berhenti baca novel sekejap.
Aku sudah janji pada diri sendiri selepas habis novel ini aku akan
mula belajar semula. Sapu habuk pada buku-buku teks aku.
Beli alat tulis baru. Aku akan duduki semula MRCOG Part 1
tahun depan, bersama-sama Wan dan Ana. Aku rasa sungguh
bersemangat sekarang. Doakan aku berjaya kali ini.
Everything will end well, insya-Allah.
May 9, 2003
[7:00
PM]
Okay.
Borang cukai pendapatan belum isi. Esei 100 perkataan bertajuk
"Why do you want to be an O&G MO?" belum hantar.
Pembetulan: belum buat. Minggu lepas masa aku bercuti, Dr NZ
bagi satu lagi tugas. Esei tentang Sheehan's Syndrome.
Pre-op discussion hari Isnin, aku dapat kes Boss. Kena
baca tentang VAIN, tentang treatment options, pelvic
exenteration. Aku tak mahu terima satu lagi komen pedas
daripada Dr NZ, "Max (bukan nama sebenar), balik baca buku."
Aku mahu duduk depan PC yang baru di-streamyx-kan ini dan
menulis jurnal. Aku mahu habiskan novel A Fine Balance. Aku
mahu hafal lagu Bukan Cinta Biasa. Aku mahu pergi jalan-jalan,
pusing-pusing round-about.
"Belum fikir ke... warna apa you nak pakai?" tanya Dibah
hari Ahad lepas.
Ohh... tolong jangan tambah serabutkan kepala aku.