March 27, 2003 [5:55
PM]
"And I remember
wondering why it was that eating something good could make me feel
so terrible, while vomiting something terrible could make me feel
so good." ~ Joyluck Club
Sudah sebulan aku di tempat kerja baru. Aku masih lagi tak
habis-habis ditanya kenapa aku pulang.
Kenapa aku tinggalkan 'comfortable job' di hospital serba
mewah dan pulang ke Bilik Bersalin yang semacam pasar borong.
Kenapa aku tinggalkan pulau peranginan yang santai dan pulang ke
sini mengharung trafik ke tempat kerja setiap hari. Kenapa
aku masih memandu Iswara kecil aku sedangkan aku boleh beli Cefiro
separuh harga. Macam-macam ditanya orang yang tidak faham
gejolak jiwa aku di pulau.
Hujan emas. Hujan batu.
Memang hidup lebih mudah di pulau.
Tetapi jiwa aku lebih tenang di sini. Walaupun aku sudah
susut 2kg. Walaupun aku sudah hitam dibakar matahari dalam
perjalanan 10km pergi-balik kerja setiap hari. Walaupun
tanpa Cefiro. (What is it with men and cars, anyway?)
-----
Aku ada banyak lagi untuk diceritakan, tapi masa tidak
mengizinkan. Minggu depan aku sudah ambil cuti, mungkin aku
boleh bayar balik semua hutang log aku. Mungkin.
March 17, 2003
[9:00 PM]
...martians
vs venusians (lagi!)...
Mungkin
nampak macam perbuatan sia-sia. Macam anjing menyalak bukit.
Mesti akan dikata orang lagi, NGO wanita hari ini menidakkan
hukum. Kenapa haramkan yang sudah nyata halal?
Aku ada satu kisah benar untuk dicerita buat iktibar.
Dengar. X, seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi.
Pada suatu hari X ke sempadan atas urusan rasmi. Dia bawa
balik buah limau sebagai buah tangan untuk isterinya, barang
permainan untuk anak-anaknya. Seorang isteri berbangsa Thai
untuk dirinya sendiri. Satu campur satu jadi tiga, isteri
kedua X hamil. Wanita hamil wajib menjalani ujian HIV.
Isteri kedua X diuji positif.
Isteri kedua X bersalin. Berita tersebar dia wanita bekas
pelacur dari negara jiran, bawa penyakit itu. Satu campur
satu jadi tiga, kalau isteri kedua X ada HIV, jiran-jiran dan
sahabat-handai kata X dan isteri pertama juga mesti ada HIV.
Isteri pertama X kerja di taman asuhan kanak-kanak. Taska
tempat dia bekerja dipulaukan. Dia tidak tahu kenapa dia
dipulaukan. Dia tak tahu tentang X dan isteri keduanya.
Tentang perempuan kotor itu yang sekarang jadi madunya.
Suatu hari dia dipecat tanpa usul periksa. Dia dapat tahu
daripada majikannya yang dapat tahu daripada jirannya yang dapat
tahu daripada entah siapa, suaminya ada isteri lain.
Bayangkan.
Memang poligami hak lelaki, termaktub dalam kitab, dihalalkan oleh
agama. Memang isteri pertama tak perlu beri izin. Tapi
isteri pertama perlu diberitahu. Syarat untuk
berpoligami ialah mampu berlaku adil. Sekarang kau beritahu
aku, mana logiknya membolehkan poligami tanpa persetujuan isteri
pertama? Adilkah kalau dia langsung tidak diberitahu?
Kalau sesuatu itu sudah tidak adil dari mula lagi, ia akan terus
jadi tidak adil.
Poligami hak lelaki, termaktub dalam kitab suci. Keadilan
hak wanita, termaktub dalam kitab suci juga. Siapa yang
menidakkan hukum? Siapa yang mengharamkan yang halal?
Itu saja aku nak kata.
March 14, 2003 [9:24
AM]
...25
hours a day, 7 days a week...
Aku mahu sehari ada
25 jam. Satu jam extra setiap hari itu aku boleh buat
macam-macam. Aku boleh pakai losyen tangan kalis cahaya
matahari. Aku boleh potong rambut. Aku boleh habiskan
menggilap kereta aku yang sekarang nampak ganjil hanya separuh
berkilat, separuh kelabu asap. Aku boleh tulis jurnal,
bercerita itu-ini macam dulu.
Bekerja di tempat baru ini sungguh meletihkan. Pesakit
ramai. Aku pula terkial-kial menyesuaikan diri dengan
susun-atur wad dan klinik yang sudah berubah, protokol dan rejim
rawatan yang baru, kehadiran doktor latihan siswazah yang perlukan
pengawasan aku, pen hitam, pen merah, on call semula
setelah sekian lama, dan banyak lagi. Sampai di rumah
selepas kerja aku hanya mahu tidur.
Tapi aku seronok. Seronok buat kawan baru. Seronok
belajar benda baru. Seronok aku tidak lagi makan gaji buta,
menongkat dagu di bilik mesyuarat.
Seronok, aku tak tipu.
Cuma aku tidak lagi boleh menulis jurnal sekerap dulu. Aku
perlu tumpukan perhatian aku kepada banyak perkara lain. Aku
tahu kau faham.
March 5, 2003 [10:24
PM]
...with
power comes responsibility...
Baru
dapat tahu aku sudah menang
pilihanraya. Sekarang, aku sudah
ada kuasa dan pengikut. Aku mahu serang negara jiran.
March 1, 2003 [10:14
AM]
...time
to move on...
PC masih ada dalam
kotaknya.
Di bawah katil Adik.
Pinggan-mangkuk. Bawah katil Adik. Gelas, cawan,
cerek, besen, segala. Bawah katil Adik. Periuk.
Bawah katil aku. Dapur gas. Bawah katil aku.
Mustahil untuk memuatkan segala-gala dari apartment 3 bilik ke
bilik tidur 9½ X 11½ kaki. Apa-apa yang tidak ada di dalam,
bawah atau atas almari ada di bawah katil aku dan Adik.
Aku sampai dari pulau hari Selasa. Ambil kereta dan
barang-barang dalam lori dari dermaga hari Rabu. Tabur isi
29 kotak barang atas lantai bilik aku dan ruang tamu. Kutip
satu-persatu dan sembunyikan bawah katil, dalam almari, atas
almari, bawah almari hari Khamis. Mula kerja di tempat kerja
baru pukul 8 pagi hari Jumaat. Habis kerja pukul 8 pagi ini,
hari Sabtu.
Letih.
Tapi berbaloi.
Selamat tinggal pulau.