July 12,
2003 [9:48 PM]
"Mak, saya dah balik."
Dan 'mak' pun masakkan nasi pasir dalam periuk tempurung,
goreng ikan polisterin dalam kuali kotak untuk hidangan makan
tengah hari 'anak'nya yang baru pulang dari sekolah. Tak ada
sayur hari itu, Tok kata jangan kacau pokok bunga, nanti Tata
balik masjid dia marah.
Susah juga aku hendak bayangkan perempuan yang terbaring
depan aku itu sama dengan budak perempuan yang main masak-masak
dengan aku lebih 20 tahun dulu.
Kali ini bukan lagi main-main. Dia sudah betul-betul jadi
emak.
-----
Selamat hari lahir kepada Syarifah Nurul Asyiqah (ventouse
extraction, 4.28 PM 11 Julai 2003). Tahniah kepada pasangan
Tutuya dan suami. Aku bangga dapat menjadi sebahagian daripada
detik manis itu.
July 8,
2003 [10:00 PM]
"Bahawasanya aduan telah dibuat di hadapan saya bahawa xx-xx/03
beralamat xxx telah disyaki melakukan kesalahan Seksyen 376
Kanun Keseksaan dan pada pendapat saya kamu mungkin boleh
memberi keterangan matan mengenai perkara aduan itu.
Maka dengan ini kamu adalah disaman supaya hadir di hadapan
Mahkamah Sesyen 1 di bandar A pada 8-9 haribulan 7 tahun 2003
yang akan datang pada pukul 8.30 pagi untuk memberi keterangan
tentang apa yang kamu tahu mengenai aduan yang tersebut; dan
kamu tidak boleh berlepas dari situ tanpa kebenaran Mahkamah;
DAN KAMU ADALAH DENGAN INI DIBERI AMARAN bahawa jika kamu cuai
atau enggan hadir pada tarikh yang tersebut tanpa sebab yang
berpatutan, suatu waran akan dikeluarkan bagi memaksa kehadiran
kamu."
Cikgu BM aku masa tingkatan tiga dulu boleh kena sawan agaknya
kalau terbaca supina yang aku dapat ini. Dia cukup pantang
kalau aku tulis karangan guna ayat panjang-panjang dengan 2-3
tanda koma dan koma bertindih.
Aku belum pernah pergi mahkamah.
Jadi, aku tanya Dr NZ apa yang perlu aku buat.
"Oh. You have to bow to the magistrate. Well, actually not
the magistrate lah, the polis tu kata you're actually bowing to
the mahkamah. Bow to the sistem perundangan. It just so
happens you have to bow in the direction of the magistrate. Ha
Ha," Dr NZ kata.
Okay.
Adik kata bukan majistret. Hakim mahkamah sesyen.
"Ada majistret, hakim mahkamah sesyen dan hakim," kata
SMS Adik.
Okay. Tunduk. Angkat sumpah berkata benar. Sebut nama
aku, bila ditanya. Berapa tahun aku kerja. Nama orang yang aku
periksa. Tunjuk pada orang itu kalau dia ada dalam mahkamah.
Jawab soalan, yes, no, alright. Tunduk. Keluar.
-----
Aku pun pergilah. Lapan setengah dalam supina patut dibaca
sebagai pukul sembilan pagi rupanya jadi aku pergi baca
suratkhabar dalam Bilik Saksi. Pukul sembilan pergi lagi.
"Tak jalan kot," kata Inspektor Bibi.
Memang tak jalan. Mahkamah tangguh kes sejam sebagai
menghormati kematian Tan Sri Mokhtar. Kemudian tertuduh (atau
kalau ikut TV3, 'tersangka' -- sekali lagi cikgu BM aku sawan)
yang 2 orang itu dibawa masuk menghadap hakim mahkamah sesyen.
Mereka tunduk, tapi tunduk mereka mungkin tunduk malu, kemudian
mereka keluar.
"Kes tangguh esok. Doktor standby ye?" kata Inspektor
Bibi.
Tangguh? Aku tak berpeluang buat tunduk hormat aku pada sistem
keadilan. Letih aku berlatih depan cermin semalam.
July 3,
2003 [10:00 PM]
Ada orang cuba buat kelakar pagi tadi. Dia meluru masuk ke
lorong aku dengan keretanya secara tiba-tiba, kemudian pandu
perlahan pula. Tersekat rezeki aku hari ini, pagi-pagi lagi
sudah menyumpah orang. Aku memang sudah lambat, dilambatkan
lagi oleh Tok Janggut depan aku. Di lampu isyarat pertama, dia
buka songkok. Keluarkan sikat, sikat rambut. Cabut uban.
Mungkin bukan uban. Betul-betulkan rambut tepi telinga.
Lampu hijau. Dia masuk gear satu. Kedua-dua tangan masih lagi
membetulkan rambut sambil kereta bergerak perlahan-lahan.
Kemudian dia sikat misai. Aku tak pernah tahu orang lelaki ada
menyikat misai. Aku perlu double-check dengan tunang
aku. Sampai lampu isyarat kedua. Dia masih memandang cermin
pandang belakang sambil menyisir janggut pula. Kemudian, macam
saja nak menambahkan sakit hati aku, dia pandu 20km/jam sambil
sikat bulu kening. Bulu kening pun sikat?
Aku tak tipu.
Mujur sebelum lampu isyarat ketiga dia belok kanan ke sebuah
bangunan kerajaan. Kalau tidak aku mungkin terpaksa menyaksikan
dia menyikat bulu hidung dan bulu ketiak.
Dunia hari ini dipenuhi oleh orang pelik-peliklah.
July 1,
2003
[10:02 PM]
Dah Julai. Dah Julai? Dah Julai!
Kalau main bola, separuh masa pertama sekadar mengotorkan but dan
jersi, panaskan badan lebih kurang. Separuh masa kedua baru
nak main betul-betul, harap-harap boleh menang. Dah Julai.
Dah separuh masa kedua. Pulun. Jangan tak pulun.