|
February 27,
2002
[9:34 PM]
katak oh, katak
kenapa kau
panggil hujan?
Cuaca sekarang
terlalu panas. Aku tak boleh menulis dalam cuaca panas
dengan peluh menyimbah. Aku guna alasan yang sama kenapa aku tidak boleh cuci
kereta aku. Panas terik, aku takut hitam.
Katak panggil
hujan sebab ular nak makan dia.
Hari ini, buat
pertama kali dalam dua bulan, hujan pun turun. Sekarang pun
masih hujan. Lebat. Petir sambar menyambar. Aku
masih tak boleh menulis. Aku tak boleh menulis dalam hujan
dengan kilat sambar menyambar. Aku guna alasan yang sama
kenapa aku tak boleh cuci kereta aku. Hujan lebat, aku takut
katak demam.
Sebenarnya kau
tahu kan? Aku malas. Aku guna alasan yang sama kenapa aku
tak boleh cuci kereta aku. Sebab aku malas.
Tidur pun sedap.
February 17, 2002
[5:51 PM]
sungguh-sungguh aku mengharapkan
kiranya kau mendengar ketika ini...
(Allah maha
mendengar 'kan?)
"Doktor,
nih ada orang nak jumpa," kata Z dari sebalik skrin.
"Siapa?"
Aku jenguk keluar
Bilik Pemeriksaan. Aku seseorang di depan kaunter tengah
bersembang dengan Dr L. Aku kenal dia. Dialah yang
selalu mendatangi mimpi aku sejak akhir-akhir ini. Apa dia mahu
agaknya?
Mungkinkah dia sudah berubah hati?
Mungkinkah?
"Tunggu
eh? I habiskan VE dulu."
Dia mengangguk,
senyum dan sambung bersembang dengan Dr L. Bayi perempuankah
lelaki? Mahu bersalin di sinikah di sana? Aku dengar
perbualan mereka melalui pintu Bilik Pemeriksaan yang aku biar
renggang, sambil hati aku tertanya-tanya kenapa dia datang cari
aku.
-----
"So? Apa
cerita?"
"You
ingat tak HDP course di SP yang you tak pi dulu tu? CD-ROM Dr M
dia tak tau dia letak kat mana. Kita kena buat 5 sessions untuk
tahun nih. Mana nak dapat CD-ROM tu you agak?" dia
mulakan.
Aku tersenyum
sendiri. Ternyata aku salah tanggapan. Dia datang bukan kerana hal
yang lagi satu itu.
"CD-ROM I
kan ada? Dengan buku dia sekali. Kita pakai yang itulah,"
aku jelaskan.
Perbualan
beranjak ke mesyuarat yang bakal diadakan sebelum kursus itu.
Soal tempat, hari dan masa. Soal Mesyuarat Eclampsia minggu
lepas. Kursus Baby Friendly tahun ini. Kes Saonah yang
tidak habis-habis lagi.
"You tau,
mak dia kata kalau depa nak saman pun boleh. I kata kalau makcik
nak saman, samanlah!"
Sampai begitu
sekali?
"Eh! Dr
HS ada call you?"
Aku ceritakan apa
yang Dr J ceritakan kepada aku minggu lepas. Tentang
pertukaran aku. Tentang keadaan di hospital besar. Tentang
ketiadaan 'orang baru' yang sesuai.
Telefon berbunyi
dua kali, mengganggu perbualan kami. Mr M, pakar Bedah
perlukan aku di OT. Acute appendicitis yang dia sangka
sebenarnya ovarian tumour.
Ahh... kacau daun
saja.
-----
"Apa hal
Milah cari you tadi, Max?" tanya Dr N di klinik.
"Dia nak
arrange kursus."
"Laa... I
ingat dia dah nak transfer sini!" Dr N tergelak.
Memang lucu. Aku
pun sangka begitu. Aku sangka Milah sudah terbuka hati untuk
membantu aku.
Tadi bila aku
tanya Milah, dia masih kata tidak mahu tapi aku rasa kali ini dia
sudah tidak begitu berkeras. Mungkin betul seperti kata Dr
BV, kalau dipujuk-pujuk berulang-ulang, pendirian Milah masih
boleh diubah.
Milah, Milah...
entahlah.
(Hari ini 17
Februari. Genap dua tahun aku di pulau ini.)
February
14, 2002
[6:00 PM]
...marooned...
Dr J datang buat lawatan bulanan. Kali ini tanpa dipaksa.
Aku tunggu di
lobi. Dia datang lewat sejam tapi dia masih mahu ajak aku
minum di kantin.
Lepas
soalan-soalan lazim macam, "How are you?" dan "Is
everything OK?" aku pesan Milo ais untuk aku dan teh ais
untuk dia.
"I've
got good news for you, Max!" kata Dr J dengan senyuman.
Senyap.
Milo ais itu
terlebih susu. Tumpah sedikit atas alas meja merah jambu
itu. Warnanya jadi seakan jingga.
"Please
tell me it's about my transfer."
"Yes.
We've found a solution," kata Dr J.
Aku tahan
nafas. Cepatlah beritahu.
Tapi dia tidak
terus beritahu berita baik itu. Dia cerita tentang keadaan
di hospital besar. Mereka tidak cukup MO. Mereka mahu
aku balik. Mereka sedang usahakan sebelum Boss baru datang,
sebab Boss baru nanti tidak kenal aku. Boss baru itu nanti
tidak akan faham janji mereka kepada aku.
"We are
trying to get Milah to agree. We're persuading Milah to come
here."
Nafas aku rasa
tersangkut di dada.
Lagi-lagi
Milah. Lagi-lagi Milah. Milah sudah kata dia tidak
mahu, 'kan? Apa cara lagi untuk pujuk Milah?
"We?
Who's we?"
"Dr
NR. TPP, Dr HS. Dr CP. Dr BV. The whole
gang. We promised to get you out so we will."
Mungkin ini
rasanya jadi salah seorang tebusan di Jolo itu dulu. Tunggu
diselamatkan. Tunggu mereka habiskan rundingan. Tunggu
Milah datang bawa wang tebusan.
Aku tak tahu
apa nak rasa. Aku belum habis ikhtiar. Aku mahu pergi
jumpa Milah sekali lagi. Cuma Milahlah harapan aku sekarang.
Jemput
minum. Milo ais. Terlebih susu.
February
13, 2002
[8:09 PM]
malam ku bermimpi
hai dengan satu bintang
berkata denganku di jendela...
Plotnya kabur,
cinematografi tidak menarik, camera angle tidak strategik,
tidak memanipulasi keseluruhan set. Aku tak ingat
keseluruhan mimpi itu tapi aku terjaga dengan sakit perut yang
amat sangat, macam ada lebih daripada seekor kala jengking dalam
rahim aku sedang mengguris-guris lapisan endometrium.
Pukul lima
pagi, aku bangun minum susu dan telan Brufen 400mg,
mengejutkan cicak bawah periuk nasi dari tidurnya.
Tunggu setengah jam, berpeluh macam apa. Rasa mahu muntah
pun ada.
Padanlah
dua-tiga hari kebelakangan ini aku asyik teringat nak bunuh orang,
termasuk kau. Sakit bersalin sepuluh kali ganda sakit ini
kata orang.
Tak boleh
tidur.
Pasang
radio.
"Ladja,
ladja...," lagu hindustan pukul enam pagi.
Tutup radio,
ambil buku dari dalam beg. Mukasurat 665 sekarang ada bekas
minyak cap kapak dari ibu jari kanan aku.
Masa staf syif
pagi pergi kerja, aku sudah habis baca Roots. Rasa kagum aku
tak habis-habis sampai sekarang.
Aku masih kecil
lagi masa Roots ditayangkan di televisyen. Kau ingat
Roots? Kunta Kinte? Mungkin kau terlalu muda, bukan
dari generasi itu. Sepanjang tahun lepas aku teringin sangat
mahu menonton Roots semula, entah kenapa. Aku agak bila kau
sampai ke umur aku sekarang, kau mahu hidupkan semula sebahagian
daripada zaman kanak-kanak kau. Agaknyalah. Itu teori
aku. Max's Theory of Ageing.
Satu hari,
bulan Oktober lepas aku ke kedai buku mahu cari novel Amy Tan yang
baru. Ada selonggok buku hard-cover atas kaunter. Buku
paling atas buku Roots, by Alex Haley. Macam tak
percaya. Aku terus beli. Lupa mahu tengok harga.
Aku suka buku
ini. Kisah 200 tahun, tujuh keturunan keluarga Kinte.
Kisah penindasan dan perjuangan mengembalikan hak. Kisah
kehidupan. Bila sampai muka terakhir, aku rasa nak balik ke
muka satu dan ulang baca dari mula. Kau pernah rasa macam
tu? Kalau kau ada masa, bacalah. Lebih seronok
daripada menontonnya di televisyen.
Aku perlu cari
buku baru untuk hilangkan kebosanan aku. Ada
idea?
Aku mahu makan
nasi. Siang tadi aku cuma makan roti. Kala jengking
dalam rahim aku sudah jadi semut api. Aku masih rasa mahu
muntah. Esok aku ada klinik. Jumpa pesakit-pesakit
yang senasib dengan aku. (Aku kena pura-pura sihat, nanti
mereka tak percaya ubat aku mujarab.)
February
12, 2002
[3:01 AM]
...diindang ditampi beras, dipilih antah satu-satu...
Baca kalau kau mahu, aku tidak paksa. Senyum kalau kau rasa perlu, aku tidak larang.
Cuma untuk sekali ini, diamlah.
Susahnya menjadi aku, hanya aku yang tahu.
Aku telefon untuk beritahu kau sesuatu. Aku mahu suruh kau diam tadi tapi aku
tidak sampai hati.
Aku tahu kau perlukan tempat untuk bercerita, jadi aku yang diam.
Cerita, dan aku akan dengar. Itulah pun yang aku lakukan tujuh bulan kebelakangan ini, dengar setiap keluh-kesah kau sedangkan apa yang ada dalam hati aku, kau tidak pernah ambil peduli.
Aku telefon kerana SMS itu. Aku mahu suruh kau diam tapi aku
tidak sampai hati, jadi aku yang diam.
Sekarang, kau diam. Biar aku cerita.
Aku rasa aku tidak boleh bersaing dengan kerjaya kau. Aku tidak boleh jadi satu lagi tugasan untuk kau buat sebelum
deadline, ditolak ke tengah ke tepi dalam jadual kau yang sentiasa penuh.
Aku tidak boleh lagi telan kekecewaan aku setiap kali 'bukan janji' kau tidak dipenuhi. Aku tidak boleh terima jarak sebagai pemisah.
(Dan teori pipit-enggang kau itu, buat aku tersinggung.)
Itu yang aku mahu beritahu kau tadi. Aku mahu suruh kau diam tapi aku
tidak sampai hati, jadi aku yang diam.
Aku sudah timbang. Aku sudah ukur dan aku sudah sukat.
Aku sudah fikir masak-masak. Kalau kau mahu bercerita, aku masih boleh mendengar kerana kau aku anggap kawan.
Itulah yang aku mahu beritahu kau tadi. Itulah yang seeloknya.
Kau tahu apa jadi?
Aku rasa aku sudah temui hikmah di sebalik semua ini. Pertukaran aku yang tak jadi.
Kau. Semuanya. Aku harap kau jumpa apa dan siapa yang kau cari.
Cuma apa yang kau cari itu tidak akan kau jumpa di sini. Siapa yang kau cari itu bukannya aku.
Sehari-dua lagi, aku akan menyesal menulis semua ini di sini tapi sesudah beras ditampi antah dibuang, inilah keputusan aku.
February
10, 2002
[11:21 PM]
...ada otak letak di kepala lutut...
Umur dia 14 tahun.
Masa aku umur sebaya dia, aku masih ikat rambut tocang dua.
Pergi-balik ke sekolah, belajar benda-benda yang sekarang aku
sudah lupa. Bawa duit lima puluh sen, yang Mak suruh aku
ambil sendiri pagi-pagi dari bekas duit sekolah belakang cermin
meja solek. Aku boleh ambil lebih kalau aku mahu, pergi
pasaraya belakang sekolah habiskan beli sticker Garfield
atau letter pad gambar bunga-bunga bau macam gula-gula
getah. Tapi aku ambil lima puluh sen saja, setiap pagi.
Betapa mentahnya aku, umur 14 tahun.
Umur dia 14 tahun, mengandung lima bulan, berada dalam Bilik
Bersalin.
Aku tidak mahu tahu bagaimana dia bernikah bulan satu tapi
sekarang sudah ada dalam Bilik Bersalin. Aku mahu tahu
kenapa dia ikut lelaki umur 25 tahun itu main pondok-pondok dalam
semak belakang rumah.
"Doktor, mak boleh masuk sekali tak?" dia tanya.
Aku kata tak boleh, lalu dia menangis macam budak kecil.
Aku kasihan. Rasa dia macam adik aku. Aku suruh staf
hidangkan dia sarapan. Roti bertangkup dua sapu jem
strawberry, dengan kopi-O suam.
Mungkin dia pandai berlakon, atau memang dia teraniaya. Aku
tiba-tiba rasa marah pada lelaki yang umur 25 tahun itu. Dia
baru umur 14 tahun, kau tahu tak? Kau tahu tak? Ada
otak letak di kepala lutut.
Oh, bayi itu mati.
Tiada siapa pun, aku lihat, meratap kematian itu.
February
8, 2002
[12:01 PM]
...jadikan
ini satu pengajaran...
Aku
bukannya kaya.
Cuma
rezeki aku Allah murahkan.
Berdasarkan
baki akaun aku di sebuah bank komersil, aku dapat status pelanggan
istimewa sejak Oktober 2000. Tanpa diminta, aku diberi Priority Card.
(Tanpa diminta juga setiap bulan tong sampah aku dapat risalah
tentang insurans, kad kredit dan entah apa lagi.)
Hari
ini aku ada urusan di bank. Aku isi borang, tekan punat
kecil pada mesin ambil nombor giliran. Aku duduk menunggu
dengan sabar.
Aku
dapat nombor 3040. Nombor 3037 sedang berurusan di kaunter
Priority bank itu. Seorang lelaki berbangsa cina, lewat
30-an, berseluar pendek berbaju batik bermotif bunga raya.
Pelancong mungkin. Ada banyak urusan agaknya. Lama
juga dia di kaunter itu.
Nombor
3038 juga berbangsa cina, berpakaian kasual, berkaca mata.
Sekejap saja dia di kaunter kemudian dia beredar dengan senyum di
bibir dan wang tunai di tangan.
Nombor
3039 seorang lagi berbangsa cina. Dia dalam awal 50-an, berperut
buncit, berpakaian kemas lengkap bertali leher, menjinjit
briefcase di tangan kanan dan telefon genggam di tangan kiri.
Aku agak dia mesti tauke.
Nombor
3040. Aku. Seorang wanita melayu, di penghujung era
20-an, berblaus hijau dan tudung sedondon, berseluar jeans dan
bersandal.
"Eh!
Adik mana boleh datang sini! Adik tekan butang mana
tadi?" tanya petugas kaunter dengan nada yang bagi
aku, agak kasar.
[Excuse
me?
Adik? I don't think so...]
"Butang
C...," kata aku, tenang.
"Tak
boleh nih...," kata Hartini (bukan nama sebenar), petugas kaunter.
"Pasal
apa tak boleh?" aku sudah sedikit malu.
"Ada
kad nih?" dia tanya sambil menuding kepada replika kad Priority
depan muka aku. Ada nada mengejek pada suaranya.
Kerana
aku tidak ber-'three-piece-suit', berkasut tumit tinggi rekaan
terkini dari Italikah?
Dengan
sukacitanya aku tayang kad Priority aku.
Sekali-sekala dapat tunjuk 'power' seronok juga.
Dia
teruskan transaksi aku di kaunter tanpa berani memandang anak mata
aku. Dari raut wajahnya aku tahu dia tentu rasa seperti
sudah tertelan selipar waktu itu. Kasihan pula aku
pada dia.
Jadikan
ini satu pengajaran.
February
7, 2002
[11:40 PM]
...permata
bayi yang hilang...
Okay.
Sekurang-kurangnya
orang sudah berhenti bertanya soal pertukaran aku. Diganti
pula dengan soalan lain.
Satu
perkara yang aku sudah lama perhatikan di pulau ini ialah gossip
dan cerita-cerita separa benar begitu cepat tersebar.
Penduduk pulau ini bagaikan tidak ada kerja lain selain menjaja
dari rumah ke rumah kisah si polan yang berbini empat, cucu si
polan si polan yang ditangkap basah, bersanding dengan perut
memboyot. Laki aruah entah siapa pergi entah ke mana dengan
anak siapa pula tiga minggu selepas aruah meninggal, semua mereka
tahu.
Aku
peduli apa. Sibuk menjaga tepi kain orang nanti tepi kain
sendiri meleret ke tanah menyapu najis.
Tapi
kali ini aku kena ambil peduli sebab cerita separa-benar itu sudah
ada pelbagai versi. Orang surakhabar sudah cari
Pengarah. Pengarah pula cari aku. Aku pun sudah kena
buat Incident Reporting. PKD, boss si Milah pun cari
aku. PKD, KJ, aku dan JT KKPM sudah jadi penyiasat
persendirian, jejak Saonah (bukan nama sebenar) di rumahnya
semalam. Dapatkan versi sebenar cerita itu sebelum orang
suratkhabar dapat dulu.
-----
Ceritanya
begini. Saonah, seorang wanita dalam lingkungan usia 20-an,
datang ke Bilik Bersalin pada malam Isnin minggu lepas.
Ceritanya tidak ada beza dengan yang lain. Kalau datang ke
Unit Kecemasan sakit perut malam-malam itu mungkin kes
cirit-birit. Kalau datang ke unit aku, kes apa lagi?
Dia
datang membawa Antenatal Card yang biasa dibawa oleh
ibu-ibu mengandung. Sekali pandang memang tidak ada celanya
kandungan Saonah itu kecuali berat badannya yang statik, tidak
naik-naik. Kalau ikut Antenatal Card itu, Saonah
sudah hampir tarikh jangka bersalin.
Satu
Bilik Bersalin jadi kecoh bila semua yang memeriksa, termasuk Dr
N, tidak dapat mencari denyutan jantung bayinya. Perutnya
juga tidaklah besar, rahim langsung tidak dapat dirasai dari luar
perut.
"Tak
sure lah, Max. Tolong scan balik esok eh?" Dr
N beritahu aku kemudian. Dia tidak percaya apa yang dia
lihat pada mesin scan.
-----
Aku
lihat Saonah keesokan harinya. Saonah tidak nampak
pelik. Malah dia nampak normal. Mundar-mandir dalam
wad bertanya bila aku mahu scan perutnya, tidak bolehkah
kerja-kerja aku yang lain ditangguh saja.
Perutnya
sudah kempis. Janinnya sudah berhenti menendang. Sakit
perut sudah hilang.
Air
kencing negatif bagi ujian mengandung. Scan tunjuk tidak ada
apa-apa dalam rahim Saonah.
Aku
beritahu Saonah. Aku beritahu suami dia. Aku
tunjuk-tunjuk pada skrin mesin scan walaupun aku tahu mereka tidak
tahu apa yang aku tunjuk.
Saonah
tidak terkejut. Aku sangka dia akan meraung minta bayi itu
digantikan dengan yang baru. Rupa-rupanya dia sudah mimpi
semuanya sebelum itu. Seorang tua hodoh datang ambil bayi
dalam perutnya. Sejak itu perut Saonah kempis. Dia
sudah tahu.
-----
Aku
sudah pernah ada kes seperti ini dulu masa di hospital
besar.
Saonah
bukan yang pertama. Bukan juga yang terakhir.
"Kak
J kata bapak dia tu, sepupu dia kata bela hantu raya tau
doktor? Hantu raya macam tu la kalau lapar, dia makan
keluarga tuan dia," Kak M melaporkan tanpa perlu ke
tempat kejadian.
Aku
mengangguk saja. Tidak mahu dituduh biadap.
Ada
yang kata bunian. Ada yang kata hantu raya. Ada yang
percaya, ada yang tidak.
Aku
sudah bosan menjelaskan kepada semua orang.
-----
Pseudocyesis.
Itu
penjelasan aku.
Pseudocyesis.
Pseudo-pregnancy. Phantom pregnancy. Delusional
pregnancy. Semuanya bawa erti yang sama.
Saonah
tidak mengandung. Dia tidak pernah buat ujian air
kencing. Dia cuma percaya dia mengandung sebab dia terlalu
ingin mengandung sejak keguguran dua kali. Dia tambah
percaya lagi bila bidan di klinik desa buat pemeriksaan ala kadar,
merekodkan butir-butir pemeriksaan yang dia tidak lakukan.
Kes
pseudocyesis yang klasik. Kau boleh cari dalam
internet dan baca. Aku sudah jemu mengulang-ulang cerita
yang sama.
Nota
kaki: Bukan perempuan saja boleh kena pseudocyesis.
Lelaki pun. Menarik bukan?
-----
Kami
ke rumah Saonah semalam. Ambil nota dan bahan untuk
dijadikan bukti. (Aku rasa majalah Mastika yang banyak di
dalam bakul pakaian Saonah itu agak mencurigakan.)
Saonah
masih percaya dia mengandung dan bayinya diambil 'orang tua
hodoh.' Masa di wad dia kata sakit perut. Sekarang
cerita sudah jadi lain. Dia tumpah darah pula. Masa di
wad dia kata tidak pernah buat scan. Sekarang dia kata dia
buat scan di klinik swasta di seberang. Sekejap dia kata
doktor nampak anak kembar. Sekejap dia kata bukan.
Kemudian bapa mertua Saonah pula cerita doktor scan nampak batu
hempedu. Batu hempedu?
Pembedahannya harga RM3 ribu.
Pembedahan?
Dia pun mahu
peranan dalam cerita ini. Aku sungguh keliru.
"Nak
tengok parut operation pakcik?" tanya dia.
Tak
apalah.
Biar
Saonah percaya dengan orang tua hodohnya dan aku percaya dengan
apa yang aku percaya.
"Kita
merancang. Tuhan menentukan," kata Saonah.
Kalau
yang itu, aku setuju.
Aku
minum secawan Milo yang kakak Saonah bancuhkan. Jemput
Saonah minum tapi dia 'dalam pantang.' Jemput bapa mertua
Saonah minum tapi dia tidak boleh minum susu sebab baru lepas laparoscopic
cholecystectomy.
"Nak
tengok parut operation pakcik?"
Hai,
sabar
sajalah.
February
5, 2002
[8:00 PM]
"Orang
suratkhabar cari saya. Ada kes hilang baby ke kat hospital
kita?" Pengarah tiba-tiba tanya aku dengan wajah bimbang.
"Mana
ada. Kalau ada mesti Boss dah tau dah," balas aku.
Dua
minit berlalu.
Kemudian
aku ingat. Memang ada. Memang ada kes hilang bayi.
"Err,
Boss. Hilang dari wad ya Boss?"
"Huh."
"Bukan
kes baby hilang dari perut?"
Pengarah
pandang aku macam aku dah hilang akal.
Betul,
memang ada. Kes hilang bayi, dari perut ibunya. Malam
Isnin minggu lepas.
Kau
tahu lagu tema X-Files? Ini masa yang sesuai untuk
melagukannya.
Lagukannya
sehingga aku sambung cerita ini.
February
4, 2002
[8:40 PM]
...cukuplah
sekali
...
Bukan
aku tak pujuk Milah (bukan nama sebenar). Aku tidak
mahu kelihatan terlalu memaksa.
Milah
singgah rumah aku lepas mesyuarat minggu lepas. Aku ambil
peluang itu untuk mencucuk jarum aku. Dia masih tidak
mahu.
Bukan
aku tak pujuk Milah. Aku sudah pujuk, dia tidak mahu.
"Max,
when are you coming out?" tanya Dr BV di telefon tadi.
Aku
ceritakan pada dia masalah aku.
"Our
MO's are too junior. You have to persuade Milah. Try
harder."
Bukan
aku tak pujuk Milah. Aku... ah, sudahlah.
-----
Belum
pun sepuluh minit aku akhiri perbualan dengan Dr BV, telefon
berdering lagi. Dr L, dengan soalan yang hampir sama.
Bila
aku mahu keluar dari pulau ini.
Aku
bosan. Soalannya bukan bila aku mahu keluar, tapi
bila aku boleh keluar.
-----
Tiga
jam selepas itu aku rujuk kes ke hospital besar. Ina (bukan
nama sebenar) terima panggilan aku.
"Kak
Max tak ingat saya? I used to be your houseman."
Masa
aku ditukarkan ke sini, Ina budak hingusan lagi. Sekarang
dia pegang jawatan lama aku.
-----
Aku
jumpa sehelai prescription di bawah alas meja PC aku.
Ada beberapa nombor tertulis di atasnya. Ada anak panah
berselirat. Ada perkataan-perkataan yang tidak membentuk
ayat lengkap.
"Form?"
"?
blood loss"
"chronologically"
"4
LR + 5 OT + 3 OT + 2 ICU + 4 cryo"
Aku
tulis semua itu seminggu sebelum aku sepatutnya minta ditukarkan
tahun lepas.
Tujuh
Februari. Dia mati. Bawa semangat aku sekali
bersama-sama ke kubur.
Al-Fatihah
pada rohnya.
Aku
keronyokkan prescription itu. Cukuplah sekali.
-----
Aku
asyik bercerita tentang aku saja.
Kau
apa khabar?
February
2, 2002
[11:34 AM]
...yang
laut balik ke laut
...
Apa
yang aku tulis di sini bukan rahsia, apa yang rahsia aku tak
akan tulis di sini.
Mula-mula
jurnal ini hanya benda suka-suka. Aku tulis, kau
baca. Aku tidak kenal kau, dan kau tidak kenal aku.
Aku bagi kau cuma beberapa ayat yang tersusun membentuk
cerita. Kau bagi aku cuma angka pada site tracker.
Jurnal ini masih benda suka-suka.
Kemudian
aku jadi semakin suka pada jurnal ini. Isinya jadi semakin
peribadi. Aku tulis, kau baca. Jurnal ini bukan
setakat suka-suka lagi . Jurnal ini sudah jadi therapeutic.
Aku
marahkan kau, aku tulis di sini. Aku kecewa dengan kau,
aku tulis di sini. Aku mahu menangis, aku menangis di
sini.
Aku
tulis.
Aku
tidak sangka langsung kau membaca.
-----
Itu
risiko yang aku ambil bila aku buka jurnal online. Hidup
aku macam mukasurat yang semua orang boleh baca. Semua,
termasuk orang yang aku kenali di luar dunia cyber.
Aku
tidak senang lagi menulis. Bila aku menulis tanpa menyebut
nama sesiapa, terlalu ramai yang termakan cili. Mereka
sangka aku bercerita tentang mereka.
Aku
mula menapis cerita aku. Ada yang sesuai ditulis di sini,
ada yang lebih baik dibiarkan offline. Aku ada dua versi
jurnal. Lama kelamaan, lebih banyak cerita yang offline,
tidak ada lagi untuk aku tulis online. Aku temui jalan
buntu.
Dead
end.
-----
"Akak
pun depressed, cuma akak tak mahu mengaku je!" dia
tulis dalam SMS beberapa hari lepas aku lancarkan ops: Dead End.
Aku
kata 'unhappy' tidak sama dengan 'depressed.' Memang bukan
lagi rahsia aku tidak happy. Aku boleh senaraikan
semua sebabnya di sini tapi apalah gunanya.
Aku
sebenarnya kecewa bila TPP tidak luluskan pertukaran aku.
Aku mahu cerita di sini tapi apalah gunanya. Sabar bukan
lagi perkataan yang aku suka dengar tapi sabar jugalah yang kau
sebut.
Jadi,
satu lagi cerita masuk dalam kategori 'offline sahaja -- tidak
sesuai untuk bacaan umum.'
Tiap-tiap
hari akan ada yang bertanya pasal pertukaran aku. Jawapan
aku semakin hari jadi semakin pendek, daripada satu ayat penuh
kepada hanya satu senyuman kelat.
The
bottom line is this: aku boleh menangis, aku boleh
menjerit, aku boleh mengamuk. Kau boleh dengar, kau boleh
suruh aku bersabar. Tapi pertukaran aku masih diluluskan
dengan pengganti serta-merta. Pertukaran aku masih
diluluskan hanya bila ada orang baru.
Aku
boleh menangis, aku boleh menjerit, aku boleh mengamuk.
Atau
aku boleh teruskan hidup dengan senyuman...
Sekarang,
yang laut baliklah ke laut, yang darat baliklah ke darat.
Hidup mesti terus.
|