August 7, 2003
[6:57 PM]
...the optimist sees the
doughnut
but the pessimist sees the hole...
Ada sesuatu yang baik yang akan aku dapat daripada kesibukan
melampau ini, 'kan? Tiap-tiap hari aku kena balik lewat sama
ada menghabiskan kerja di wad yang sememangnya tak akan habis
atau pergi makan cucoq dan minum milo ais dengan rakan
sekerja meluahkan ke-tension-an tentang kesibukan melampau
masing-masing.
Ada sesuatu yang baik yang akan aku dapat daripada kesibukan
melampau ini cuma aku belum tahu apa bendanya...
-----
"Pukul berapa?" tanya aku pada staf pagi tadi sesampai
aku di wad.
Kak Ida segera faham yang aku merujuk pada nama makcik Mah yang
telah dipadam dari papan putih.
Entah. Dari dulu lagi aku sudah buat keputusan, Onkologi bukan
untuk aku. Usaha sekeras mana pun kau pasti akan kalah dengan
kanser. Dia mati sebelum maghrib semalam dengan morphine
infusion untuk menahan sakit, dengan sanak saudara di
sekeliling, dengan surah Yaasin di bawah bantal.
"Did she die peacefully?" tanya Boss.
Mungkin.
Al-fatihah.
-----
"Kita tunggu apa sekarang?" tanya Boss.
Makcik H tunggu CT scan, chemo lagi 4 hari. Makcik Y tunggu
aspiration under ultrasound sembilan haribulan. Kak A
tunggu demamnya sembuh kemudian chemo. Makcik R sudah merajuk
langsung tak mahu pandang muka aku. Tunggu dimasukkan darah,
diberi seminggu TPN, keputusan cytology kemudian
pembedahan.
"Kita tunggu nak bercakap dengan keluarga dia. Kalau ada,"
kata aku.
Makcik K penghuni rumah orang tua-tua di pekan B, walaupun dia
sebenarnya tidaklah tua. Dia buta. Sekarang dia ada barah
ovari. Dia perlukan pembedahan. Selepas pembedahan dia mungkin
akan dipakaikan colostomy bag, supaya dia dapat membuang
najisnya melalui satu bukaan di perut. Dia buta. Mana dia
boleh buat itu sendiri. Dia ada abang dan seorang anak
saudara. Mereka sudah tidak mahu ambil tahu tentang makcik K.
Sebelum makcik K kalah kepada kanser, dia sudah lebih dahulu
kalah kepada keadaan.
-----
Optimist : Sees the doughnut, not the hole.
Pessimist : Sees the hole, not the doughnut.
Realist : Sees both the doughnut and the hole.
Diplomat : Talks through the hole.
Dreamer : Only cares for the icing on the doughnut.
English Teacher : Checks the spelling of "doughnut."
Baker : His job is to make the doughnut...
August 2, 2003
[6:44 PM]
...dalam dada ada batu...
"Apa yang tension sangat?" tanya suara dalam telefon.
Aku tak tahu mana satu harus diceritakan dahulu. Aku sudah mula
tidak makan tengahari. Aku sudah boleh pakai semula jeans lama
aku yang dulunya ketat. Kebaya aku sudah longgar, rasa macam
pakai kebarung. Muka aku penuh jerawat-jerawat kecil yang
cermin-boleh-bercakap aku kata besar macam bisul. Ada perubahan
biokimia dalam perut aku selepas melihat Sharifah menyusu. Ada
perubahan biokimia yang lain pula selepas melihat Mak mula
menjahit langsir. Tapi yang meruntuhkan tujuh petala langit
atas dada aku ialah bila aku ditinggalkan seorang diri di wad 4
sementara CK mengganti tugas di hospital K selama seminggu.
Membancuh chemo, aku. Menyelia houseman, aku.
Menyediakan senarai pembedahan, aku. Membahagi-bahagikan kes
untuk pre-op, aku. Buat itu, aku. Buat ini, aku. Kena marah,
masih aku juga.
"Tensionnnn...," itu saja yang aku boleh kata dengan muka
ditutup bantal.
-----
Mula-mula Murali ditukarkan ke bandar S. Kemudian Dr BV
melanjutkan pelajaran di Australia. Dr AN pun keluar. Ke
hospital swasta. Yang terbaru, CK tiba-tiba dapat surat
pertukaran ke pulau.
Rasa macam bekerja di Hospital Fantasia. Seorang demi seorang
diundi keluar.