|
Tanah indah pusaka moyang
di bawak percik sinar kebesaran
gahnya tersebar seluruh benua
agungnya dalam ukiran cetera
Tanah pusaka tanah tercinta
pernah berlangsir darah manusia
tersula hayat dalam tuntutan
terpanggang derita di tangan zaman
Tegak sendiri gigih sendiri
ditatang bicara sepenuh hati
peribangunnya dalam riak gelombang
mengembang kebesaran di sayap zaman
Tegak engkau dari kudrat bangsamu
mengisi perjuangan atas kemerdekaanmu
inilah dermabakti tumpahan darah di bumi
inilah sumbangsih atas hakikat cinta abadi
Tiada yang lebih bererti dari kasih sayang ini
tanah pusaka belaian jiwa penuh hakiki
di sini tubuh-tubuh kerdil memagar pantaimu
di sini dada-dada perwira menahan tembusan peluru
Tiada yang lebih bererti dari pengorbananmu
jika bukan pada bumi ini rebah bangunmu
taat setia abadi engkau pemilik kesayangan
tanah ini pusaka moyang yang tunggal.
--AHMAD SARJI--
August
31,
2002
[9:09 PM]...merdeka...
Umurnya baru 2 tahun 4 bulan. Pagi tadi dia riang
bernyanyi-nyanyi mengikut liuk-lenggok penari-penari berpakaian
berwarna-warni. Pagi tadi dia sama-sama megah merayakan
ulangtahun kemerdekaan. Siapa sangka pukul 3.30 petang tadi
dia akan mati. Pergi meninggalkan aku tanpa sempat
mengucapkan selamat tinggal.
Itulah yang dinamakan ajal.
Dengan tak semena-mena, televisyen aku mati petang tadi.
Langsung tak ada gambar, tak ada suara. Lampu merah kecil
itu pun sudah tidak mahu menyala lagi. Mungkin dia sudah
penat, si Panasonic itu, dia pilih hari ini untuk memerdekakan
dirinya.
Okay. Lupakan Forrest Gump malam ini.
Aku boleh tidur awal. Esok aku kena bangun pagi pergi kerja
yang aku tak suka. Itu pun sudah kira nasib baik, aku tidak
hidup di zaman orang putih. Perempuan seperti aku mungkin
tidak ada kerja langsung.
Aku cuma ada sebuah radio kecil untuk menghilangkan sunyi aku
malam ini dan malam-malam selepas ini hingga televisyen aku hidup
semula. Aku cuma boleh dapat Era di ruang tamu, MixFM di
dapur dan RTM di mana-mana. Itu pun sudah kira nasib baik,
aku tidak hidup di zaman jepun. Dengar radio pun
sembunyi-sembunyi.
-----
Bersyukurlah atas nasib baik kita hari ini. Apa akan jadi
esok, lusa kita tak tahu. August
2 6,
2002
[9:59 PM]...arang...
"Dah
berapa lama adik kahwin?"
Diam. Tunduk meneliti setiap fiber pada cadar hospital itu
macam dia lebih berminat berbicara tentang jenis fabrik daripada
soal hidup dia sendiri.
Aku tarik tirai keliling katil, pura-pura itu dinding kalis
bunyi.
"Saya tak kahwin lagi," katanya
perlahan.
Tiba-tiba dia jadi sungguh jijik di mata aku. Berkhutbah aku
pagi-pagi Isnin ini tentang halal haram, dosa pahala, syurga
neraka, HIV AIDS, arang. Bersyarah ketika perut lapar buat
perut aku lebih lapar. Mungkin aku tidak pernah berada dalam
situasi sepertinya jadi seorang ortodoks seperti aku tidak dapat
faham. Aku harap janin 8 minggu dalam rahimnya dapat fahami
situasi ini lebih baik daripada aku suatu hari nanti. August
24,
2002
[4:49 PM]...kesabaran membakar fikiran...
Aku tidak sanggup lagi makan gaji buta. Aku tidak
sanggup lagi duduk ternganga dalam mesyuarat tidak
berfaedah. Give me some real work.
Aku bawa cross stitch aku ke tempat kerja. Satu hari suntuk
mengunci diri dalam bilik on-call menyulam benang dan manik
pelbagai warna menjadi bunga. Sesekali membelek kalendar
mencari masa sesuai untuk ambil cuti lagi. Bosan.
Mungkin aku sudah tersilap pilih kerjaya.
Hospital besar kata lagi dua-tiga bulan. Tapi itu dua-tiga
bulan yang lalu. Tahun ini tahun menguji kesabaran. August
11,
2002
[8:02 PM]...sukarnya memadam bayangan masa
silam...
Buang. Buang semua.
Aku mahu buang semua. Pura-pura aku tidak ada sejarah.
Tapi semua 'sampah' itu macam terlalu berharga.
Buku teks. Banyak buku teks. Buku kerja Sains Paduan
Tingkatan satu, dua, tiga, dengan tulisan pensil aku yang
bulat-bulat. Buku Laporan darjah satu sampai enam. Aku
dapat E dalam mata pelajaran lukisan darjah satu. Aku dapat
C dalam Ilmu Hisab.
Aku tak boleh buang. Aku keluarkan dari almari kecil bawah
meja tulis dan masukkan dalam beg lama Adik yang sudah terlalu
buruk untuk digunakan.
Riben hitam yang aku guna untuk ikat tocang aku, pertama kali ke
sekolah darjah satu. Riben kuning yang aku guna untuk
menanda beg aku, pertama kali keluar negara. Pertama kali
menaiki kapalterbang sebenarnya. Ada kisah lucu di
sebaliknya. Mungkin lain kali. Kad menu penerbangan
terakhir aku dari Heathrow ke Subang dengan MH002. Ada
tulisan Dibah, ucap forget-me-not. Buat aku
rindu.
Dompet kecil The Beatles yang Shera belikan di Liverpool
Docks. Rantai kunci bertulis 'Fiona' hadiah harijadi dari
Ujah. Bagaimana aku boleh dapat gelaran itu dulu, itu cerita
lain. Sikat kecil warna hijau pemberian Mona dan Has di hari
terakhir SPM. Hari berpeluk-pelukan dan
bertangis-tangisan. Banyaknya. Banyaknya benda
kecil-kecil yang membawa makna besar.
Aku tak boleh buang. Aku keluarkan dari laci meja
solek. Masuk dalam beg buruk itu.
Surat. Kad harijadi. Kad raya. Satu mukasurat
diari aku pada hari aku dapat tahu Duy dimasukkan ke wad
psikiatri. Cuma tinggal satu mukasurat, yang lain aku sudah
bakar.
Sampul 'angpow' pelbagai rupa dari zaman aku masih layak menerima
duit raya. Buku-buku setem. The Adventures of Brer
Rabbit, buku cerita kesayangan aku. Mak Teh belikan di Kedah
Supermarket masa aku darjah enam. The Secret Garden.
Ayah belikan di Pesta Buku UUM masa IPTA itu mula-mula
dibuka. Aku masih dapat rasakan keseronokan aku pertama kali
'masuk universiti.'
Aku tak boleh buang. Keluar dari laci meja tulis, masuk
dalam beg. Aku tak tahu apa perlu dibuat dengan kapsul masa,
my-life-in-a-bag itu lalu aku masukkan semula dalam
almari.
Aku belum bersedia untuk tinggalkan kenangan alam kanak-kanak dan
remaja aku. Tapi aku sedar, aku perlu juga melangkah ke alam
satu lagi yang penuh dengan ketidakpastian itu. Aku cuma
perlukan sedikit lagi masa. Kau faham, kan? August
9, 2002
[11:32 PM]...cuti (lagi)...
Aku
ambil cuti lagi. Borang cuti jabatan aku tidak ada ruang
kosong untuk diisi dengan sebab bercuti. Kalau ada, aku akan
tulis sebab bercuti: fed up.
Aku serah tugas pada pengganti aku. Dia datang dari hospital
besar dan akan berada di sini sepanjang sembilan hari ketiadaan
aku ini. Senyum dan berlaku sopan. Cuma di dalam bot
tadi aku teringat siapa dia. Murali. Aku sudah jumpa
Murali.
|