Make your own free website on Tripod.com

 

 

 

Special edition 

...buaya sungai vs. buaya darat...

Pada suatu hari di zaman dahulukala, di sebuah kampung terpencil ada seorang gadis bernama Kesuma Dewi yang mempunyai seorang kekasih bernama Andika.  Andika tinggal di tebing sebuah sungai dan Kesuma Dewi tinggal di seberang sungai tersebut.  Sungai yang memisahkan pasangan kekasih ini pula mempunyai banyak buaya.  Terlalu lama tidak berjumpa tidaklah dapat lagi Kesuma dewi menahan rindu jadi suatu hari Kesuma Dewi bernekad untuk menyeberangi sungai dan melepaskan rindunya kepada Andika.  Masalahnya, jambatan yang ada telah runtuh dan dihanyutkan air.  Oleh kerana tiada pilihanraya kecil di kawasan itu pada waktu yang terdekat, belum adalah lagi cadangan untuk membina jambatan baru. 

Kesuma Dewi telah pergi berjumpa dan meminta pertolongan Jalak, satu-satunya pemuda di kampung itu yang mempunyai sampan, untuk membawanya menyeberangi sungai.  Pada hari tersebut, heroin kita ini telah memakai kebaya pendek dari sutera Korea berlabuci-labuci dan berkain ketat dengan warna yang 'matching' untuk menawan hati Andika si jantung hati.  Jalak bersetuju tetapi cara Jalak memandang Kesuma Dewi dengan air liur meleleh sangat menakutkannya.

Kesuma Dewi telah pergi berjumpa dengan seorang tua berpangkat pakcik, Pak Malau, dan menceritakan tentang perlakuan Jalak yang mencurigakan itu.  Pak Malau tidak mahu terlibat dalam perkara ini.  Kesuma Dewi tiada pilihan lain.  Dia terpaksa juga menaiki sampan Jalak sungguhpun tidak mempercayainya.

Sebaik meninggalkan tebing sungai, Jalak menyuarakan hasratnya untuk berasmara dengan Kesuma Dewi.  Kesuma Dewi menolak.  Jalak mengugut untuk mencampakkannya ke dalam sungai yang penuh dengan buaya ganas itu tetapi jika Kesuma Dewi setuju, dia akan menghantarnya ke seberang dengan selamat.  Kesuma Dewi, merasakan dirinya tiada pilihan, terpaksa mengikut kemahuan Jalak.  Selepas memenuhi kehendaknya, Kesuma Dewi pun dihantar ke seberang sungai di mana Andika sedang menunggu.

Kesuma Dewi, dalam esak tangis yang sedikit 'over-acting' telah menceritakan kisahnya kepada Andika.  Andika berang.  Dituduhnya Kesuma Dewi yang gatal dan menyalahkan Kesuma Dewi kerana berpakaian menjolok mata.  Kesuma Dewi, baginya sudah tercemar dan Andika tidak mahukannya lagi.

"No! No! Why Andika? Why? Why?"

Kesuma Dewi yang sakit hati, geram dan kecewa dengan sikap heronya itu telah pergi berjumpa dengan Samseng Kampung, atau nama glamornya Sam, yang terkenal dengan kehandalannya ber-kick boxing.  Sam sangat marah kepada Andika dan kasihan kepada Kesuma Dewi.  Dia mencari Andika dan memukulnya dengan teruk.  Masalah Kesuma Dewi tidak juga selesai.  Andika cedera parah.  Sam balik rumah berehat.  Jalak terlepas.  Pak Malau, well, Pak Malau tak mau campur.

Okay.

Semua kelima-lima watak dalam cerita ini telah melakukan kesilapan.  Kesilapan siapakah yang dianggap paling buruk sehingga berlakunya insiden ini?  Kesuma Dewikah kerana berpakaian seksi?  Andikakah kerana buruk sangka? Atau Jalak kerana berdarah buaya?  Sam?  Pak Malau?