Make your own free website on Tripod.com

Norshamsul perlu RM45,000 biayai rawatan barah tulang

 

SUPIAH menggosok kesan biopsi
yang dijalankan pada paha
kanan Norshamsul di Balai
Berita, semalam.



KUALA LUMPUR, Selasa: Hasrat seorang ibu yang ingin melihat anaknya menamatkan kursus diploma dalam bidang perladangan dan berbakti kepada keluarga tertangguh apabila anaknya, pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Mara, didapati menghidap penyakit barah tulang paha kanan, dua bulan lalu.

Wanita itu, Supiah Abdul Rahman, berkata beliau tidak menyangka sakit anaknya yang hanya dirawat dengan pil tahan sakit dibekalkan oleh klinik kerajaan sejak Disember lalu itu adalah barah sehinggalah pakar Hospital Kangar mengenal pasti penyakit itu sebagai barah.

Anaknya, Norshamsul Abdul Razak, 21, yang sedang menuntut di tahun akhir Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mungkin kehilangan kaki kanannya dari peha jika pembedahan membuang barah dan menggantikan tulang femur kanan dengan alat gantian itu tidak dilaksanakan segera.

“Tak terfikir pula makcik sakit itu barah, terkejut kami sekeluarga. Makcik dah tak tahu nak buat apa, dia pun dah menangis bila tahu belanja besar. Sayang sangat sebab dia terlalu muda untuk hilang kemampuan berjalan,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.

Katanya keluarganya tidak mampu menanggung pembedahan bernilai RM45,000 itu memandangkan suaminya, Abdul Razak Salleh, 56, seorang pesara tentera, hanya menerima RM477 sebulan bagi menanggung hidup mereka dan persekolahan empat lagi anaknya di sekolah menengah sementara beliau tidak bekerja.

Norshamsul berkata, pembedahan dijangka dijalankan awal September ini selepas selesai sesi ketiga rawatan kemoterapinya.

“Walaupun sekarang cita-cita saya tidak banyak terjejas selain ditangguh hingga Disember ini, kalau saya tidak menjalani pembedahan dan hilang kaki kanan, mungkin terpaksa menukar kerjaya kerana mobiliti terjejas,” katanya.

Katanya beliau mula merasa sakit terutama ada waktu pagi dan malam sejak Disember lalu tetapi klinik kerajaan yang dikunjunginya untuk mendapatkan rawatan hanya membekalkan pil tahan sakit kepadanya walaupun sudah mendapatkan rawatan berulang kali.

Bagaimanapun, katanya beliau akhirnya mendapatkan rawatan di Hospital Kangar apabila tidak lagi dapat menahan sakit selain sudah habis ikhtiar menerusi rawatan alternatif seperti mengurut, berbekam dan akupuntur.

“Ubat tahan sakit yang dibekalkan ibu dari klinik kerajaan sudah habis dan saya tidak dapat tahan sakit lagi. Pada masa itu baru seminggu memulakan semester baru. Apabila menjalani X-ray di Hospital Kangar mereka terus syak ia mungkin barah pada femur,” katanya.

Beliau sebelum ini dirujuk oleh Hospital Kangar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor sebelum dirujuk semula ke Hospital Kuala Lumpur di mana biopsi daging dan tulang serta rawatan kemoterapi dijalankan.

Beliau yang botak sejak rawatan kemoterapi pertama 2 Julai lalu itu berkata beliau tidak kisah terpaksa menjalani dua lagi rawatan kemoterapi yang sangat menyakitkan itu asalkan dapat berjalan dan menjalani hidup seperti biasa apabila selesai rawatan kelak.

Orang ramai yang ingin menderma kepada Norshamsul boleh berbuat demikian dengan datang sendiri ke pejabat NSTP atau menghantar cek yang ditulis nama pesakit di belakangnya dan dialamatkan kepada Unit Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.