…I wish I could carry your smile in my heart
for times when my life seems so low
it would make me believe what tomorrow could bring
when today doesn’t really know…
Aku bukan mahu meraih simpati. Jauh sekali meraih trofi.
Jurnal Paling Lama Berhibernasi barangkali. Ini saja
caranya untuk mengawal imej-imej itu daripada bermain-main di
benak, berlumba-lumba untuk timbul di retina, lalu terjun
membasahi bantal. Aku terpaksa tulis sebagai terapi.
Lalu, inilah dia.
Inilah kisah Adam.
Oktober 8, 2005
Malam celaka itu telah merampas segalanya daripada aku.
Segala mimpi aku. Segala harapan aku. Segala
kebahagiaan aku. Segala-gala.
Merasakan diri kurang sihat, setelah memuntahkan terubuk bakar
dan nasi dan tembikai hidangan berbuka puasa ke dalam sinki
bilik air, aku minta izin untuk tidur awal. Abang ulang
masuk ke bilik tengokkan aku, bertanyakan apa mahu aku tapi aku
tak mahu apa-apa. Rasa kembung itu akan segera hilang.
Rasa loya itu akan segera pergi. Macam biasa. Macam
selalu. Esok.
Aku gantung baju baru warna merah jambu dan seluar matching
warna sama di kerusi. Pertama kali aku akan memakai
baju itu ke tempat kerja esok dengan tudung merah jambu juga.
Biar perut sudah mahu menunjukkan ‘kebesaran’nya pada usia 25
minggu baru sekarang baju-baju kembang itu aku keluarkan dari
almari. Aku mahu tukar busana. Baru. Esok.
Namun, esok yang aku tunggu tidak datang-datang sebab malam
celaka itu sudah merampasnya.
Oktober 9, 2005
Basah.
Baju basah. Cadar basah. Mungkin juga matress protector
basah. Aku tiada masa untuk meraba dalam kebasahan itu untuk
memastikannya. Jantung seakan terhenti memikirkan yang basah itu
aku.
Air. Bukan darah. Banyak. Basah. Lagi.
Di bilik air. Duduk. Sekejap. Atas mangkuk tandas. Fikir.
“Abang,” panggilku.
Ada jasad bergerak-gerak malas di bawah selimut.
“Saya dah turun air.”
“Huh?”
“Saya dah turun air!”
Senyap.
“Air mentuban!”
Dan jasad itu bingkas bangun, selimut dicampak ke lantai.
-----
Pukul 4.30 pagi aku tercegat depan kaunter PAC. Aku lebih yakin
berurusan di tempat kerja aku sendiri, dirawat oleh rakan-rakan
aku sendiri, biar tempat ini 45 minit perjalanan daripada rumah. Biar ada 3 buah hospital yang lebih dekat.
Air mencurah ke atas lantai. Tuala wanita sudah tidak dapat
menampungnya lagi. Aku disorong ke Bilik Bersalin, perasaan malu
terpaksa ditolak ke tepi.
Air masih banyak mengalir keluar. Denyutan nadi dia yang di
dalam sudah terlalu perlahan. Tidak lagi dapat didengar. Hanya
nampak melalui mesin scan. Aku pejam mata rapat-rapat. Dia yang
di dalam akan pergi meninggalkan akukah?
-----
Pukul 8 pagi. Rakan-rakan sekerja sudah ramai yang tahu, datang
mengerumuni katil aku tunjuk simpati.
“You shouldn’t give up!” tiba-tiba suara Dr NZ, seakan menjerit,
terbit dari muka pintu.
Dr BV berhenti bersuara. Semua wajah dalam bilik kecil itu
memandang ke arah Dr NZ, yang nampak marah. Bertanya-tanya
tentang Dexa. Wajarkah aku diberi Dexamethasone pada usia
kandungan 25 minggu, itu soal mereka.
“I think you should kan? Eventhough RCOG kata to start giving
only at 26 weeks. Let’s give her the benefit of doubt,”
putus Dr
NZ dan yang lain mengiyakan saja.
Mungkin. Mungkin usia dia yang di dalam bukan 25 minggu 1 hari. Mungkin sudah 26 minggu. Mungkin aku tersilap perkiraan. Mungkin
dia yang di dalam sudah ada Type II pneumocytes untuk
bertindakbalas dengan suntikan Dexa itu. Mungkin dia yang di
dalam bila di luar nanti tidak akan dapat RDS.
Scan dilakukan lagi. Denyut nadi dia yang di dalam kembali laju. Mungkin masih ada harapan.
“You shouldn’t give up without trying! Kan?” katanya dengan muka
merah sambil menulis laju-laju dalam case notes.
Aku tak tahu apa yang dimarahkannya. Akukah?
-----
Pukul 11 pagi. Aku sudah suruh Abang balik ke rumah pagi tadi. Kasihan, dia mesti letih tak sempat bersahur. Tinggal aku
seorang dalam bilik kecil yang digelar Bilik VIP itu. Tiada yang
VIP tentang bilik itu. Macam almari saja aku rasa, dalam
kebingungan.
Basah. Lagi. Banyak.
Merah. Berketul-ketul.
Aku berdoa untuk dia yang di dalam, merayu jangan pergi.
Dr NZ dipanggil balik. Mesin scan disorong ke sisi katil.
Abruptio placentae.
“Prognosis is not good lah Max (bukan nama sebenar) ye?”
kata Dr
NZ, perlahan dengan mata masih memandang ke monitor mesin scan.
Air mentuban sudahlah sangat kurang. Darah pula turun dari uri
yang lekang. Aku bagai boleh mendengar dia yang di dalam
menangis meminta tolong, semakin lama semakin perlahan. Semakin
jauh.
Dan aku tenggelam-timbul dalam lali Pethidine.
Oktober 10, 2005
Pagi. Kakak Guard datang membawa barang-barang yang Abang
kirimkan. Abang tak dibenarkan masuk melawat aku. Sedih juga aku
rasa.
Semalam Abang bercadang berbuka puasa dengan aku di CMR. Tepat
pukul 7 petang datang Kakak Guard itu menyuruh Abang balik. Kasihan Abang, dia sudah bersedia dengan kuih dan Nescafe panas.
Aku minta Kakak Guard beri kami 10 minit saja lagi.
“Kalau macam tu semua orang nak 10 minit lagi!” jawabnya kasar.
Air mata aku mengalir. Abang nampak marah.
Kakak Guard yang seorang lagi datang. Dia kenal aku. Aku selalu
tegur dia dan anaknya bila dia jaga pintu belakang wad semasa
aku on call.
Dia tarik Kakak Guard garang itu keluar wad.
“Oh! Tak apa, duduklah,” katanya selepas masuk semula.
Hipokrit.
-----
Tengah hari. Ditukar ke wad kelas 1. Lega rasa dapat mandi.
“Doktor dulu kerja wad sana ‘kan? Dulu saya pernah masuk situ,”
tegur kakak katil sebelah.
Aku tersenyum malu.
Aku bukan doktor lagi. Aku pesakit sama macam dia.
Oktober 11, 2005
Masih sama. Air bercampur darah. Sakit kadang-kadang. Dia yang
di dalam bergerak kadang-kadang.
Aku beranikan diri membuka case notes aku, mencuri-curi baca apa
yang ditulis orang tentang aku.
Sampai ke nota 7.50 pagi 9 Oktober 2005, aku jadi faham kenapa
Dr NZ marah benar. Tiada siapa mahu memberi aku antibiotik. Tiada siapa mahu memberi aku Dexa. Semua yang merawat aku hingga
saat itu hanya mahu dia yang di dalam dilahirkan dan mati kerana
dia hanya 25 minggu, hanya 740 gram anggaran scan. Dia yang di
dalam macam tiada harga. Macam tidak perlu diberi peluang hidup.
Atau mereka tidak mahu beri aku harapan palsu.
Menyesal aku baca case notes itu. Aku patut sambung baca Jiwa
Kacau pemberian Adik atau Anjung Seri yang dibekalkan Abang.
“Doktor Max kan? Doktor yang suruh saya masuk wad untuk ECV hari
tu kan?” tegur adik katil depan.
Aku senyum.
Berapa lamakah lagi aku harus berada di sini, dalam keadaan ini?
Oktober 12, 2005
Air sudah tidak bercampur darah lagi tapi masih banyak yang
turun, turun dan turun. Macam hujan di luar sana sepanjang malam. Kakak katil sebelah tetap mengadu bilik ini panas, walaupun
pendingin hawa pada tahap kesejukan maksimum dan aku tidur
berselimut sampai ke kepala. Pelik.
Ke klinik hari ini. Disorong dengan kerusi roda lagi.
Scan di bilik Dr BV. Aku kasihankan dia. Dia seperti serba-salah
mahu melayan aku seperti seorang MO atau pesakit. Dia terangkan
setiap detail pada scan macam memberi kuliah tentang Fetal
Medicine. Aku angguk-angguk saja.
S/D ratio kurang daripada empat, itu bagus katanya. Aku sudah
tidak dengar semua itu. Aku cuma nampak dia yang di dalam, lebih
jelas kali ini kerana mesin ini resolusinya tinggi, mengerekot
seakan tersepit di dalam rahim aku yang semakin menyempit. Aku
cuma nampak dia yang di dalam menguis-nguis kakinya tanda protes
ingin bergerak lebih bebas. Aku cuma nampak dia yang di dalam
semakin tersiksa.
Hati aku menjadi belas. Kasihan yang amat sangat kepada dia yang
di dalam.
Aku teringat scan terakhir yang Dr MR buat hanya 3 hari sebelum
malam celaka itu. Nampak jelas bezanya.
“Hidung mancung Kak Max!” usik Era (bukan nama sebenar).
“Tinggi baby ni. Tengok femur length panjang,” kata Dr MR.
“Dah tau kan XY?” kata Dr MR lagi.
“Tengok. Tengok. Ada misai dak?” tanya aku.
Dan mereka pecah perut ketawa dalam bilik gelap itu sampai Boss
datang menjenguk.
Saat-saat bahagia yang dirampas.
-----
Petang. Tukar ke bilik dua katil. Dr BV kata lebih
privacy, tapi
aku rasa lebih sunyi.
Abang datang lewat. Tiga minit sebelum waktu melawat tamat baru
dia sampai, bersama-sama dengan Kakak Guard yang tak jemu-jemu
menyuruh Abang balik setiap hari. Aku jadi benci pada Kakak
Guard itu, walaupun dia hanya buat kerja dia.
“Esok nak makan apa?” tanya Abang, sebelum pergi.
Tiba-tiba saja air mata aku tumpah. Seharian aku tunggu dia
datang supaya aku boleh bercerita. Mana mungkin aku pendekkan
sehari menjadi tiga minit?
Aku menangis dan menangis sedang Abang bertanya dan bertanya.
“Baby ke? Baby okay?”
Oktober 13, 2005
“Skg 7.30 abg nak terus balik ke pejabat. Esok kalau dapat abg
nak ambil cuti, kalau tak dapat tengah hari abg akan dtg. Jgn
sedih kalau menangis abg lagi susah hati bersabar dan serahkan
pada Allah.”
Aku mengulang baca SMS itu berkali-kali sejak semalam. Rasa bersalah pada Abang. Lepas kerja dia keluar beli makanan untuk
aku, datang jenguk aku sekejap kemudian berbuka ala kadar di
gerai dan pukul 7.30 malam sudah perlu balik semula ke pejabat
menyambung kerja.
Kenapa aku hanya memikirkan diri sendiri?
Oktober 16, 2005
Aku bangun dari tidur dengan rasa seram sejuk. Jantung aku rasa
berdegup lebih laju daripada biasa. Aku rasa rimas. Aku periksa
nadi sendiri: 108 bpm. Aku capai jangkasuhu dari meja sisi: 37.4
celcius. Gila! Hidup aku macam perenggan dalam buku teks. Selepas PPROM dan
abruptio, aku sudah dapat chorioamnionitis pula.
Dr NZ sahkan aku sudah chorio. Tidak banyak pilihan yang aku ada. Dia yang di dalam tidak dapat bertahan lama kalau sudah
dijangkiti begitu, perlu dilahirkan saja. Dr BV pula kata dengan
antibiotik aku mungkin boleh tunggu seminggu lagi, beri lebih
harapan kepada dia yang di dalam.
Aku telefon Abang datang segera. Aku celaru. Perlukah aku
pentingkan diri di saat begini? Kalau tunggu seminggu, aku
mungkin dapat septicaemia sedangkan nasib dia yang di dalam
belum tentu. Kalau dia yang di dalam dilahirkan hari ini, aku
terselamat dari jangkitan kuman yang mengancam nyawa aku tapi
dia hampir pasti akan dilahirkan dengan RDS.
10 pagi. Demam aku sudah mencecah 38.5 Celcius. Aku rasa sesak
nafas. Dada aku rasa tidak dapat menampung denyut jantung yang
sudah terlalu laju hingga 124 bpm. Keputusan belum dibuat. Dr BV mahu bincang dengan
paediatric team terlebih dahulu. Dr NZ rasa
itu tidak perlu.
Abang kata kalau dia yang di dalam mati, anggap itu takdir. Lahirkan saja kalau
diri aku dalam bahaya. Semudah itukah?
Yati (bukan nama sebenar) kata aku patut lepaskan dia yang di
dalam. Aku patut ‘let go of the baby.’ Kalau dia dilahirkan
seawal ini, banyak komplikasi yang harus ditempuhi. Kalau bukan
IVH, mungkin ROP. Mungkin CP. Mungkin itu dan ini yang aku
pernah lihat jadi pada anak orang lain.
Yati kata lagi, selepas ini boleh mengandung sekali lagi. Dia
tak tahu betapa pedihnya kata-kata itu. Senang-senang mahu aku
ganti dia yang di dalam dengan yang lain. Dia tak tahu betapa
bermaknanya dia yang di dalam bagi aku. Sepanjang 26 minggu ini,
dia yang di dalam sudah jadi sebahagian daripada aku. Nyawa dia
yang di dalam juga nyawa aku.
“Kalau dia hidup... Abang nak bela dia tak?” tanya aku pada
Abang kemudian.
-----
Semasa semua orang bedolak-dalih tentang kelahirannya, dia yang
di dalam membuat keputusan sendiri. Dia mahu keluar. Aku mula
berasa sakit sekitar jam 11.30 pagi. Keputusan untuk aku jalani
pembedahan Caesarian dibatalkan kerana dia yang di dalam seorang
anak yang bijak dan sayangkan ibunya. Dia sendiri menukarkan
kedudukannya daripada transverse lie kepada cephalic. Daripada
melintang dalam rahim aku, dia pusing kepala ke bawah.
Lalu aku dipindahkan ke CMR untuk induction. Aku terpaksa
mengambil risiko.
Sakit semakin kuat menjelang jam 6 petang. Abang menemani aku
dengan wajah risau.
“Sakit tu rasa macam mana?” tanya Abang.
“Rasa macam orang ramas t***r Abang tiga minit sekali!” jawab
aku.
Abang hanya sengih sambil mengepit kedua-dua belah kaki.
-----
Menjelang 10 malam sakit semakin kuat tapi pemeriksaan
menunjukkan perjalanan dia yang di dalam masih jauh. Aku minta
epidural analgesia. Oh! Betapa nyenyaknya aku tidur selepas itu.
“Kak Max, ni CTG Kak Max,” Ani (bukan nama sebenar) mengejutkan
aku jam 11.30 malam.
“Type two,” kata aku, kecewa.
“Saya dah telefon bagitau Dr NZ, dia suruh tanya Kak Max nak
Caesar ke nak biar je?” terang Ani.
Denyut nadi dia yang di dalam sudah menunjukkan tanda-tanda
bahaya. Dia mungkin lemas. Aku perlu buat keputusan segera. Aku
baru 10 minit menyuruh Abang pulang, menjangkakan semuanya elok
dan aku lambat lagi mahu ke Bilik Bersalin. Oh, Tuhan! Kalau
dibiar, dia yang di dalam mungkin mati. Kalau dibedah, aku tidak
yakin dia yang di dalam boleh selamat sedangkan aku sendiri
berdepan risiko jangkitan lebih teruk dan risiko hysterotomy
yang melibatkan upper segment. Aku selalu mudah membuat
keputusan kalau ini masalah pesakit tapi untuk diri aku sendiri? Tawakkalhi’alallah...
“Tunggu next review pukul 2 lah. Kak Max tak mau Caesar,” jawab
aku.
Keputusan yang kontras dengan apa aku selalu putuskan untuk
pesakit. Aku harap dia yang di dalam memaafkan aku.
Oktober 17, 2005
Dia lahir ke dunia pada jam 12.12 tengah malam disambut oleh
rakan aku, Dahlia (bukan nama sebenar). Dia tidak bersuara. Hanya segumpal daging yang mengerekot atas tilam katil aku. Kaku.
Aku hanya sempat melihat sekejap kelibatnya sebelum dia dibawa
pergi. Dr MC, MO paediatrik, sedang menunggu di bilik resuscitation. Aku hanya berdoa dalam hati agar Tuhan jangan
ambil dia sekarang. Jangan, sebelum aku sempat tengok dia sekali
lagi. Jangan, sebelum aku sempat sentuh dia.
“Kak Max, 890 gram!” hebah Dahlia, seraya meletak gagang telefon.
Dia sudah sampai ke SCN. Timbangannya 890 gram, berat sedikit
daripada jangkaan.
Aku tak tahu apa perasaan yang harus aku rasa ketika itu. Syukur
sebab dia dilahirkan hidup? Kesal sebab aku tidak sempat panggil
Abang datang ketika aku melahirkan? Risau sebab aku tak dapat
menjaganya sendiri? Marah pada keadaan yang aku tak jangka ini?
Pasrah, mungkin.
-----
Abang kata dia cukup sifat. Abang kata dia nampak okay. Abang
kata doktor itu sudah terangkan semuanya. Abang kata serah saja
pada Tuhan.
“Abang dah azankan dia?”
Abang hanya pandang aku.
Dia belum diazankan. Abang kata dia tak boleh disentuh dengan
tiub-tiub berselirat di badan. Abang kata nak azan kena sentuh
dia.
Aku rasa abang terlupa.
Hati aku rasa sedih memikirkan kalau-kalau dia tidak sempat
diazankan esok kerana aku sudah tidak boleh percaya pada
perkataan esok. Esok mungkin tidak ada bila aku bangun. Malam
mungkin akan merampasnya sekali lagi.
Bukan ini yang aku bayangkan selama ini. Aku bayangkan aku
ditemani Abang dalam Bilik Bersalin, tiga bulan dari sekarang,
dengan dia yang di dalam menari-nari atas kertas CTG. Aku
bayangkan suasana gembira menyambut kelahirannya, cucu sulung
dalam keluarga. Aku bayangkan betapa berbunganya hati aku
mendengar Abang mengalunkan azan ke telinga kanannya, sejelas
akad yang Abang lafazkan dulu.
Bukan ini.
Bukan.
-----
Tengah hari. Rasa tidak sabar menunggu Abang datang.
Kami ke SCN berjalan kaki. Aku tak mahu disorong dengan kerusi
roda. Aku mahu nampak sihat di depan anak aku. Moga-moga dia
juga cuba tunjuk dirinya kuat di depan aku.
Dia sangat sempurna di mata aku. Sangat sempurna. Hidung mancung
macam dalam gambar scan itu. Bibir comelnya kadang-kadang
bergerak seakan mahu memberitahu dia kurang selesa ada ET tube
dalam mulutnya. Kepalanya dipakaikan topi menahan kehilangan
haba dan dia nampak lebih comel. Kulit yang hampir lutsinar
kerana masih belum matang menampakkan segala urat darah. Ada
kesan lebam di beberapa tempat, mungkin sukar juga untuk MC yang
cekap itu untuk memasukkan IV line pada urat sekecil dia.
Aku sentuh lengannya dengan jari kelingking aku. Dia bergerak
balas. Tangan seolah mahu diangkat. Jari-jarinya yang panjang
dan runcing bergerak-gerak. Aku belek kuku ibu jari tangannya
dan tersenyum sendiri. Dia tidak mewarisi ibu jari aku dan Mak,
yang pendek dan lebar. Bukan juga kuku Abang yang clubbed. Dia
adalah dia, dengan segala kesempurnaan.
Aku usap dadanya, cuba membayangkan betapa sedikitnya tisu
paru-paru yang ada di dalam pada usia semuda itu. Kakinya
menendang-nendang lemah. Sama macam dulu bila perut aku diusap,
menendang refleks seperti itulah dia.
“Prognosis is still guarded,” kata MC perlahan, mematahkan angan
aku apa mungkin kaki-kaki panjang itu suatu hari menendang bola
bersama Abang.
Grade IV RDS. Inotropes. Survanta. Aku bersyukur dia hidup.
-----
Malam. Mengiring ke kanan pun boleh. Mengiring ke kiri pun boleh. Menelentang, meniarap sekalipun, boleh. Tiada lagi benda
menendang-nendang dalam perut mengganggu tidur aku.
Aku rasa kosong.
Kosong.
Air mata jadi bantal aku malam itu. Rindu pada dia yang di dalam
tidak lagi dapat ditahan-tahan, menjadi selimut aku sehingga
siang.
Oktober 18, 2005
Setelah 10 hari dimasukkan ke wad, pagi ini Dr BV benarkan aku
pulang. Demam aku pun sudah pulih. Gembira tidak terkata dapat
melihat dunia luar.
Aku ke SCN melawatnya lagi. Dia masih dipasang ventilator. Nampak lebih banyak lebam di kulitnya hari ini. Dia menggerakkan
lidah, menendang-nendangkan kaki lebih aktif berbanding semalam.
“He had a bit of pulmonary haemorrhage last night,” kata MC.
Perdarahan dalam paru-paru. Dia rasa sakitkah?
Aku cuba bertanya pada Dr TH, pakar di situ, tentang keadaan
anak aku.
Dia macam cuba berdalih. Hanya mahu bercakap tentang susu ibu. Dia kata aku harus usahakan untuk beri anak aku susu ibu, bila
dia sudah sedia diberi minum esok. Dia kata aku boleh sewa pam
susu pada harga RM375.00 sebulan. Dia telefon agen pam susu itu
bertanya harga diskaun. Dia tidak mahu bercakap tentang pulmonary haemorrhage. Dia tak mahu bercakap tentang
blood gases
yang diambil berkali-kali sampai lebam anak aku itu. Dia tak
mahu bercakap tentang scan yang akan dibuat selepas ini untuk
tengok sama ada mimpi ngeri aku, intraventricular haemorrhage,
sudah berlaku.
Aku celaru.
-----
Pukul 5 petang. Pam susu yang aku beli di farmasi tadi masih ada
dalam kotaknya. Telefon berbunyi.
“Dr Max, it’s MC. Your child hasn’t recovered from his pulmonary haemorrhage. He has deteriorated since this morning,”
kata suara
yang keluar dari telefon itu.
Semasa aku dan Abang sampai di hospital dia sudah biru. Denyut
nadi yang pagi tadi 140 bpm sudah tinggal 70. Paras oksigen
dalam darah, ikut bacaan mesin, aku lihat kadang-kadang 1%. Kadang-kadang kosong. Ventilator masih dipasang. Aku minta mesin
dimatikan supaya dia dapat pergi dengan aman, tanpa rasa sakit. Dr TH mahu tunggu sampai denyut nadinya berhenti sendiri.
Mula-mula aku rasa mungkin lebih elok begini daripada dia hidup
dengan seribu satu komplikasi tapi lama-kelamaan rasa sakit yang
menyucuk-nyucuk itu datang juga.
“Dia belum ada nama pun.”
Aku sandarkan kepala ke dada Abang, bahu terhinggut-hinggut
dalam pelukannya.
-----
Pukul 8.30 malam. Dia disahkan sudah dijemput Izrail menemuiNya.
Satu-satunya anak aku. Yang sangat istimewa. Yang sangat
sempurna. Dipilih Tuhan untuk kembali ke sisiNya pada malam 15
Ramadhan.
Dan hidup tidak akan seperti dulu lagi.
Oktober 25, 2005
Kami namakan dia Adam. Sempena nama manusia ciptaan Allah yang
pertama. Sesempurna kejadian.
Aku keluar rumah buat kali pertama hari ini. Ke hospital untuk
menghantar surat penangguhan pengajian aku. Aku sudah tidak lagi
dalam mood untuk mengambil peperiksaan bulan depan. Lagi pula
dengan tiada peruntukan untuk cuti sakit dan cuti bersalin dalam
semester universiti, aku tiada pilihan lain.
“Dr BV talked to Dr TH about what happenned. She said you could
write a letter of complaint, if you like, so she can transfer
the staff out,” kata Dr NZ.
Aku diam. Aku cuma ceritakan kepada Abang, tidak pada orang
lain. Aku agak mesti Nor (bukan nama sebenar) yang hebahkan di
jabatan. Aku sendiri pun sudah lupa tentang hal itu.
Waktu itu lebih kurang pukul 8 malam. Aku SMS Nor beritahu
tentang keadaan anak aku jadi dia datang ke hospital untuk beri
aku semangat. Aku bawa dia ke SCN tengok anak aku yang biru.
Semua monitor sudah dimatikan. Pemanas pun sudah dimatikan.
Ventilator saja yang masih dibiar mengepam. Dia sejuk, biru dan
kaku. Aku nampak jururawat sedang menyusun borang-borang yang
sudah siap diisi. Semua bertulis ‘B/O Dr Max (bukan nama sebenar)’
dan ‘Cause of death: Severe prematurity with pulmonary
haemorrhage.’ Jadi aku pasti dia sudah tiada.
Aku usap kepalanya. Aku rapatkan kedua-dua kakinya. Aku cuba
qiamkan tangannya di atas dada tapi tangan-tangan itu sudah
keras, dengan pantas jatuh semula ke sisi.
“Dia ada lagi tu doktor,” kata jururawat yang dari tadi
memandang aku.
Jenaka apakah ini? Kalau anak aku masih hidup, kenapa dia sudah
ada burial permit, borang sijil mati dan body tag yang siap
ditandatangani pegawai perubatan?
“Dia belum mati tapi semua paperwork dah siap? Siapa punya kerja
ni? Get me the MO on call!”
Kemarahan aku sudah tidak boleh ditahan. Aku sudah sahkan
berpuluh kematian tapi aku tak pernah buat begini pada sesiapa. Kenapa ada orang sanggup buat begini kepada anak aku?
“Dr ZN, I want you to off the ventilator. I tak kira. Bagi you
baby ni memang dah mati pun. You dah sign semuanya. So just off
it,” kata aku.
Dia terkulat-kulat cuba beri penjelasan tapi dia sendiri tahu
dia salah, mengambil jalan mudah tanpa memikirkan sensitiviti
orang lain.
Aku tak mahu ungkit lagi. Adam sudah seminggu pergi. Aku cuma
mahu ingat yang baik-baik tentang Adam. Aku sudah lupakan yang
lain-lain. Lupakan, ya. Aku tidak kata maafkan.