Make your own free website on Tripod.com

 

 

November 17, 2002  [11:00 PM]

Telah bersabda Rasulullah (s.a.w), "Menjadi suatu keajaiban bagi orang yang beriman, semua perkara yang berlaku ke atas dirinya adalah baik.  Sifat ini hanya dimiliki oleh orang yang beriman, sekiranya dia beroleh kegembiraan, dia akan bersyukur.  Ini adalah suatu perkara yang baik bagi dirinya.  Sekiranya dia dilanda kesusahan, dia akan bersabar.  Maka itu adalah suatu kebaikan baginya."  [Riwayat Ahmad.]

-----

Lima beradik mati lemas di Air Terjun Batu Pecah.  Bayangkan, sekelip mata kau hilang lima orang anak.  Kalau kau tonton Buletin Utama semalam (baca: kalau kau tidak bertarawikh semalam), kau boleh lihat si ibu mengusap-usap kepala salah seorang anaknya yang telah meninggal.

"Adik...  Adik...  Awat Adik jadi lagu ni?"

Hati mana yang tak tersentuh menonton siaran berita itu?

-----

Aku dikejutkan jam 4.05 pagi tadi untuk 'bersahur' di OT.  Fetal distress.  Bayi lemas dalam kandungan.  

Skin-to-baby time hanya 3 minit, tapi menunggu semua staf on-call berkumpul sebelum Caesarian dapat dimulakan ambil masa hampir 45 minit.  Suatu keadaan yang biasa di sini kerana staf tidak semuanya tinggal dalam kawasan hospital.  Bila bayi lemas, kau tak mahu 45 minit untuk duduk saja.  Dalam keadaan kritikal sebegitu, nyawa bagai telur di hujung tanduk.  

Bila keluar, dia sudah kelabu.  Bukan lagi biru.  Kelabu.  Pucat.  Lembik.  

Berhempas-pulas Dr F dan Dr Y cuba selamatkan dia sementara aku selesaikan Caesarian.  Namun dia tetap lembik dan kelabu.  

"Misi, anak saya selamat?"

Aku rasa aku mahu namakannya Siti Aminah.  Siti Aminah dilahirkan jam 5.10 pagi.  Disahkan mati jam 8.30 pagi.

We were forty-five minutes too late, Izrail just won't wait.

-----

Tengahari aku ke Bilik Bersalin, dipanggil untuk membuat ultrasound scan.

Apa ni?  Berapa kematian boleh kau tangani dalam sehari?

"Maaf..."

"Dua belas tahun, doktor.  Saya tunggu 12 tahun.  Lapan tahun dengan suami dulu.  Empat tahun dengan...,"
dia ragu-ragu untuk menghabiskan ayatnya.

Aku hanya mengangguk tanda faham.

Peduli apa itu anak luar nikah?  Dia nampak sungguh sedih dan terkilan.  Anak yang ditunggu-tunggu, dinanti-nanti sudah disahkan mati dalam kandungan.  Cuma sempat hidup 28 minggu, menendang-nendang kemudian senyap.

"Anyway, happy belated birthday," katanya bila terpandang nombor kad pengenalan aku.

Aku cuma tersenyum tawar.  How ironic.

Birth.  And death.  Two ends of a spectrum.

-----

Al-fatihah buat ketujuh-tujuh roh yang telah dipanggilNya.  Semoga tenang bersemadi di alam sana.


ARCHIVE  |  GUESTBOOK