October 29, 2003  [9:52 PM]

Lama tak menulis.  Kurang sihat.  Mula-mula tonsils jadi sebesar bola ping-pong dan suara jadi macam anjing laut.  Kemudian tumbuh 3 biji lymph nodes.  Sekejap-sekejap demam.  Habis EES satu course.  Tonsils mula kecut tapi lymph nodes macam itu juga.  Lepas disiasat, sah aku kena juga cabut gigi bermasalah itu.  Sudah terkena jangkitan agaknya.  Pandai saja aku buat diagnosis sendiri.

Maka sehari sebelum puasa aku serah diri pada doktor gigi.  Ada satu lohong besar di mana gigi geraham itu dulunya berada.  Tapi sakit juga lagi sebab gusi pula terkoyak sikit.  Menguji kesabaran sungguh berpuasa dengan sakit gusi.  Cubalah.

-----

"Ada jurnal dalam guestbook hang!" kata Adik.

Ya.  Ada jurnal dalam guestbook aku.  (D'arkampo, teruskanlah menulis.  Aku tak kisah.  Buat macam rumah sendiri.)

-----

Aku nak tidur.  Entah bila aku nak sihat sepenuhnya. 

Selamat berpuasa.


October 16, 2003  [7:09 PM]

Dan dia gelak lebih kuat lagi bila aku beritahu aku mahu pergi ke bulan. 

Kau tak mahu ke bulan?

-----

CK ditukarkan ke pulau.  Kami kurang seorang lagi.  Kerja bertambah bukan arihtmetically tapi logarithmically.  Berkali-kali ganda. 

Aku rasa cloning perlu diluluskan segera.  Dengan cara itu saja aku boleh ada di OT, di dewan syarahan dan di klinik pada masa yang sama.  Klon lebih banyak pegawai perubatan atau kementerian perlu beli robot macam Asimo.  Atau Doraemon boleh keluarkan mesin doktor mudah alih dari koceknya.

Atau bayar elaun tanggung kerja.

Itu penyelesaian Boss.  Buat surat minta Elaun Tanggung Kerja diluluskan.  Yang 4 bulan lepas telah ditolak sebab pengurusan tidak percaya kami banyak kerja. 

Aku masih pro-pengklonan.  Apa guna bagi aku duit kalau lepas kerja aku sudah terlalu letih unutk membelanjakan duit itu.  Aiskrim Cornetto aku beli 2 hari lepas pun masih ada dalam peti sejuk bilik CME sebab aku masih belum ada masa untuk memakannya.  Apa guna kumpul duit beli kereta baru kalau lepas dua bulan baru pandu 453 km?

-----

Kak T pula dijemput mengadapNya tengah hari tadi.  Macam biasa, mati seorang diri.  Tak ada seorang pun ahli keluarga.  Suami tidak sekali pun aku tengok datang menjenguk.  Anak-anak masih terlalu kecil untuk faham.  Kenapa dengan mereka ini?  Hospital bukan tempat untuk buang orang yang sudah tak boleh dipakai akibat barah.

-----

(Dia kata dia cuma mahu pergi bulan madu.  Sabar sajalah aku.)
 

October 8, 2003  [4:44 PM]

Dia gelak-gelak saja bila aku beritahu aku mahu jadi surirumah.  Aku pun ikut gelak-gelak.  Alangkah bahagianya hidup kalau setiap hari boleh gelak-gelak macam dalam kepala tak ada apa-apa yang berserabut.

-----

Makcik H akhirnya dipanggilNya minggu lepas.  Intestinal obtruction.

Yang bagusnya dia tidak perlu lagi menahan kesakitan setiap hari, yang sudah mangli walaupun pada morphine dos paling tinggi.  Yang tidak bagusnya, dia pergi berseorangan pada pagi yang hening tanpa anak-anak di sisi.  Aku malu kalau aku jadi anak-anaknya.  Setakat menggaji orang datang sehari sekali untuk memandikannya, terbalaskah jasa seorang ibu? 

-----

Dan Kak R pun dijemputNya 4 hari lepas.  Umur 33 tahun, bekas pegawai tadbir.  Anak dua.  Terlalu banyak yang masih ingin dia lakukan, aku rasa.  Tapi gilirannya sudah sampai.  Dia pergi tanpa banyak soal.

"You tak boleh emotional, Max," kata Boss.

Ya, aku beremosi.

Barah jahat.

-----

Mengapa, aku tidak faham, setiap kali aku perlu ambil gambar ukuran pasport jerawat tumbuh tepat di atas hidung.  Sibuk aku dua-tiga hari ini, mengisi borang segala jenis.  Bertelefon sana-sini.  Menerima panggilan telefon kawan-kawan yang sama cita-cita dengan aku menjawab soalan macam aku hotline UPU. 

Semoga segalanya berjalan lancar supaya aku boleh jadi surirumah berkelulusan Sarjana Obstetrik & Ginekologi.
 











 







 

This site supports: