October 30, 2001 [8:55 PM]

so never mind the darkness
we still can find a way
'cause nothin' lasts forever
even cold November rain...


Cepatlah habis Oktober.  Lekaslah datang November.  Aku rasa bulan ini terlalu panjang.  Macam lama sangat tapi masih juga bulan Oktober.  Bermula daripada September yang bengong itu, bersambung-sambung dengan Oktober yang bosan ini jadi macam satu musim yang bengong dan bosan.

Aku bangun pagi tadi dengan mata yang bengkak dan kering.  Aku rasa macam aku tertidur dengan kanta lekap, walhal aku sudah lebih enam bulan tidak pakai benda itu.  Aku rasa aku mungkin telah menangis semasa aku tidur.  Mahu tidak mahu aku pergi juga kerja dengan mata aku yang bengkak itu.  Tidak seorang pun bertanya, mungkin mereka terpaku dengan kebaya kuning-coklat-bunga merah aku hari ini.

Atau mereka sedikit pun tidak kisah pasal aku.

Cepatlah habis, Oktober.

Aku mahu November cepat-cepat datang.

October 29, 2001 [6:46 PM]

...tiba-tiba...

kerna rindu pasti 'kan lahir
air mata setia mengalir...


Tiba-tiba aku rindukan seseorang.

“Sha, kalau bulu mata sebelah kiri jatuh, tu tanda orang rindu kat kita,” dia kata suatu hari semasa kami sama-sama makan di kantin.

“Kalau bulu mata sebelah kanan pulak, maknanya kita rindukan orang,” dia sambung lagi sambil menyapu sehelai bulu mata dari pipi kanan aku.

Aku rindukan dia.

Tapi dia tidak rindukan aku.

Masa aku di tahun pertama di med school dulu, kami selalu berutus surat.  Aku jadikan dia tempat mengadu tentang rakan serumah yang aku tak senangi, tentang kawan sekelas yang aku sudah jatuh hati, tentang musim sejuk yang dingin tapi tak ada salji.  Untuk elak dikacau oleh lelaki-lelaki gatal di kampus, dia pula jadikan aku ‘teman lelaki yang belajar di oversea’.

Aku ceritakan semuanya kepada dia.  Dia ceritakan semuanya kepada aku.

Sekarang aku rindukan itu.

Aku mahu tulis surat dan ceritakan bagaimana aku bosan dengan rutin kerja aku sekarang.  Bagaimana aku mahu keluar dari tempat ini secepat mungkin.  Bagaimana apa yang aku idamkan selama ini aku tidak dapat.  Bagaimana aku kesal aku belum dapat cari pengganti dia.

Aku mahu dia tahu.

Aku mahu tahu di mana dia.

Aku mahukan seseorang yang boleh mendengar tanpa prejudis.

October 28, 2001 [5:47 PM]

...why are you smiling?...

Setelah seharian kebosanan semalam, hari ini aku ada banyak kerja.  Masa aku bangun pagi tadi, perkara pertama melapor diri ke otak aku ialah aku ada CME talk Khamis ini sedangkan aku belum sediakan Powerpoint presentation.  Hari yang sama Boss aku yang baru mahu buat lawatan sambil bercuti.  Aku sungguh pelupa sekarang.  Aku perlu seorang setiausaha untuk ingatkan aku itu dan ini.

Tadi Wanita UMNO, yang kebetulan ada Majlis Tilawah di pulau ini datang ke hospital untuk buat lawatan sambil berkempen.  Sungguh aktif mereka ini.  Menteri kaum aku datang membahagi-bahagikan hadiah kepada pesakit.

Aku memang sudah sejak azali lagi ada allergic reaction pada mak-mak datin jadi tidak hairanlah kalau sebelum ini aku selalu malas mengikut lawatan-lawatan seperti ini.  Aku rimas berada di kalangan wanita lewat 40-an, berbaju kurung kerawang sedondon kasut, tudung dan tas tangan. Labuci lagi, mutiara lagi.

Hari ini aku ikut.  Malah akulah antara orang pertama turun ke lobi, menunggu ketibaan YAB ini.  Aku teringin sekali melihat menteri glamour ini dari dekat.  Wahh, memang glamour dia.  Macam bintang filem hindustan.  Mak-mak menteri lain patut belajar sikit daripada dia tentang fesyen dan ketrampilan.

Kami ke wad paediatrics, semua bayi di situ dicuitnya, didukungnya, disalamnya, ditegurnya.  Orang politiklah katakan.  Dia hulur beg merah putih bertulis Wanita UMNO besar-besar berisi biskut dan minuman cokelat berkhasiat.  Dia salam.  Salamnya berisi sampul angpow.  Dia sebut kuat-kuat supaya semua orang dengar, “Ini dari Wanita UMNO…”

Okay.  Walaupun aku penyokong setia parti pemerintah yang sudah sekian lama memperjuangkan hak rakyat dan membawa pelbagai kemajuan kepada negara ini (Adik, jaga jangan muntah atas karpet. Muntah dalam bilik air.), aku sendiri naik jelak dengan lakonan ini.  Transparent.

Dari wad kanak-kanak, kami ke wad bersalin.  Aku ikut di belakang.  Dia berjenaka dengan pengarah, “Dah buat hospital cantik macam ni, kalau diaorang tak undi jugak tak taulah.”

Dr H cuit aku.  Aku cuit Dr H.  Dia pusing, pandang tag nama aku.

“Dr Max, why are you smiling?” dia tanya.

Haha.

Setelah pucat muka aku reda, senyum aku bertukar jadi ketawa kecil.

Di wad bersalin, aku kena iring dia.  Kenalkan pesakit satu-satu.  Ada makcik umur 42 tahun mengandung kali ke-10, ada makcik umur 43 tahun anak 8, ada adik umur 20 anak 3.  Dia tanya aku, “Dr Max, you dah kahwin?”

Aku ketawa kecil.

Dia kata bagus beranak ramai-ramai macam mereka.  Rugi dia tak beranak ramai-ramai dulu.  Dia suruh aku cepat-cepat kahwin dan beranak sepuluh juga.

Lawak, lawak juga.  Buat kelakar, buat kelakar juga.  She missed the point, sadly.

Dia pegang bayi mereka dan komen tentang betapa comelnya anak kecil itu.  Dia peluk, dia cium.  Dia tak tanya berapa ramai anak kecil di rumah yang dijaga oleh jiran-jiran semasa suami ke laut cari rezeki.  Dia tak tanya berapa pendapatan suami mereka, mampu menyara anak sampai sepuluh orang.  Dia tak tanya aku kenapa kakak itu masuk wad terlalu kerap.  Kalau dia tanya aku boleh beritahu dia sebab dia kurang zat makanan, sebab dia kurang pendidikan, sebab dia beranak sepuluh.

Dia orang politik.  Mungkin itu sudah jadi perkara biasa baginya.

Aku senyum.

Senyum aku bertukar jadi ketawa kecil.

[Why are you smiling?]

October 27, 2001 [9:53 PM]

...a... o...biskut rendam kopi o, a... o...jangan kecoh...

naik bukit kasi pelan pelan kayuh
baru ngam ho orang panggil hero...


Bosan.

Sungguh bosan.

Satu hari aku makan gaji buta.  Tahun depan aku akan dibayar 10% lagi buta-buta saja.  Aku rasa lebih baik aku cuti saja.  Pagi-pagi, aku pergi wad perempuan, discaj dua orang pesakit.  Turun ke bilik mesyuarat dengar taklimat pengarah kepada DG baru, Dato’ apa entah.  Lepas itu ada jamuan teh tapi aku puasa jadi aku ke pejabat turunkan tandatangan pada borang opsyen persaraan.  Aku tandatangan untuk bersara pada usia 56 tahun.  Dua puluh tahun lebih lagi.

Aku naik balik ke wad perempuan, bagi chemo pada pesakit kesayangan aku.  Aku sayang dia sebab hari itu dia hampir-hampir mati, tapi itu cerita lain.  Keseluruhan proses memasukkan ubat chemo ke dalam botol normal saline itu mengambil masa lebih kurang 1 minit tapi aku panjang-panjangkan sebab aku mahu halalkan gaji aku.  Aku rasa bersalah makan gaji buta.

Aku mahu jumpa Pengarah Negeri dan mengendeng-ngendeng pasal permohonan aku untuk bertukar, tapi aku rasa janggal untuk bersembang sambil melihat saja mereka minum teh dan makan kuih ketayap.  Aku batalkan niat murni aku itu.  Aku pergi ke kedai KESUKA untuk beli suratkhabar tapi kedai tutup.  Aku pergi ke Bilik Bersalin, ambil bil air aku atas kaunter, jeling-jeling pandang-pandang pada bilik-bilik yang kosong, tolak pelawaan staf aku untuk minum pagi dan masuk bilik pegawai bertugas.  Aku senyum di muka pintu. Bilik Pegawai Bertugas?  Aku bosan.  Aku tak ada tugas hari ini. Aku makan gaji buta.

Aku puasa.  Makan gaji buta tak dikira makan, kan?

Aku baca 2-3 chapter Roots.  Aku bosan.  Bahasanya terlalu klasik.  Sudah memang itu novel lama, apa nak buat.  Aku tertidur.  Telefon bunyi 3 kali.  Pesakit wad perempuan sedia untuk di-scan.  Pesakit FPA datang ambil surat rujukan.  Satu lagi aku tak ingat.  Mungkin tak penting.

Aku tidur waktu makan tengahari.  Aku terjaga pukul 2 petang.  Aku telefon ke kaunter, staf aku kata aku tak diperlukan.  Aku solat lambat-lambat.  Aku sambung baca Roots.  Tertidur lagi.

Oh, perlukah aku cerita semuanya?

Aku sungguh bosan hari ini.

October 25, 2001 [11:01 PM]

...biarkanlah engkau tiada tahu...

“If you were going to die soon and had only one phonecall you could make, who would you call and what would you say? And why are you waiting?”
(Stephen Levine, as quoted in A 2nd Helping of Chicken Soup for the Soul)



“I call semalam, you tak angkat-angkat phone.”

Oh, here we go again.

Aku kena berhati-hati dengan apa yang aku tulis sekarang sebab aku sudah jadi ‘paranoid.’  Aku rasa ada orang yang tidak sepatutnya membaca jurnal ini telah, atau sedang, membacanya di luar pengetahuan aku.  Kenapa aku ‘paranoid’?  Sebab aku belum jelaskan kenapa aku tak jawab semua panggilan telefon ke rumah aku selama tiga hari berturut-turut, tetapi dia seperti sudah tahu.  Sudahlah tu, dia sangka aku marahkan dia sebab ingat aku sengaja tak jawab telefon padahal aku marahkan orang lain.

Sama ada dia sudah baca jurnal ini atau dia clairvoyant.

Atau aku ada ‘pathological paranoia.’

Trafik ke journal ini naik mendadak secara tiba-tiba sejak akhir-akhir ini.  Aku rasa ini ada kena-mengena dengan adik mempromosikan log aku pasal pecah kepala itu di ruangan respon dia.  (Kenapa bila aku tulis dalam bahasa melayu ayat aku jadi lebih panjang? Ahh...)  Sekarang aku lebih ‘paranoid’ siapa yang membaca jurnal ini sekarang sampai trafik naik begitu ketara sekali?

Aku tak ada apa-apa rahsia yang aku tulis di sini.  Apa yang aku tulis ini bukan rahsia.  Apa yang rahsia aku tak akan tulis di sini.  Jadi kenapa aku perlu ‘paranoid’?  Sebab aku mahu beritahu sendiri, “Eh! you tau, phoneline I asyik terputus je sekarang ni.”  Kalau kau sudah baca semuanya di sini, apa lagi yang tinggal untuk aku ceritakan di luar jurnal?

[Lebih baik kau tidak tahu.]

Macam mana aku boleh sampai ke sini?  Mula-mula tadi aku mahu tulis tentang hal lain.  Aku sungguh pelupa sekarang. Kelmarin hujan jadi aku pandu kereta ke hospital yang sebenarnya hanya 2 minit berjalan kaki dari rumah aku.  Tengahari, aku balik rumah berjalan kaki.  Aku sampai rumah dan terkejut kereta aku tidak ada di tempat biasa.  Aku macam, “Eh! Mana kereta aku?”

Pelupanya aku sekarang.

[Tengok tu, aku sudah hilang satu cerita untuk aku beritahu kau sebab kau sudah baca di sini.]

Itu pun bukan apa yang aku mahu ceritakan asalnya tadi.  Aku sudah hantar borang pertukaran.  [Kau tak perlu risau, ini aku sudah ceritakan pada kau sebelum ini, kan?]  Hospital ini tidak perlukan CNN, berita cepat sungguh tersebar.  Sekarang semua orang sudah tahu tentang hal itu, padahal borang itu baru disahkan oleh pengarah.  Entah-entah masih dalam peti pos, belum sampai ke Pejabat Kesihatan Negeri.  Entah-entah terkandas sebab tercemar dengan anthrax.  (Aku benci bila anthrax dieja antraks dalam suratkhabar, kenapa perlu ditukar ejaannya?)  Tiba-tiba saja, semua orang macam, “Eh! Doktor dah nak tansfer?  Kita belum sempat nak mesra...”

Aku sudah hampir dua tahun di sini.  Orang tak pedulikan aku.  Aku hantar borang pertukaran dan tiba-tiba orang yang tak pernah bercakap dengan aku cuba untuk bersembang-sembang.  Tiba-tiba semua orang mahu buat Pap Smear sebab takut pengganti aku nanti doktor lelaki.  Tiba-tiba aku jadi popular.

Apakah teladan yang kita dapat daripada cerita ini, anak-anak?

Hargailah apa yang kita ada sebelum kita kehilangannya.  Never take anything (or anybody) for granted.

Macam tadi bila bekalan elektrik terputus dekat 12 jam.  Bosan main semua game dalam Nokia aku, entah berapa round.

Macam tadi ada orang kata dalam telefon, “Akak tak pernah sambut Hari Ibu?  Nanti Mami dah takde baru akak menyesal...”

Ohh.

Jadi, “Who would you call, what would you say and why are you waiting?”

October 24, 2001 [6:41 PM]

zahirnya tak kulihatkan...

di sebalik kata ada rahsia
di sebalik senyum ada makna...


Selalunya aku cuma marahkan TMNet sebab internet connection yang terlalu ‘laju.’  Sekarang bukan saja TMNet yang buat pasal, Telekom Malaysia pun sama.  Sudah tiga hari berturut-turut talian telefon aku terputus dari pukul 7 petang sampai dekat-dekat tengah malam.  Aku cuma boleh ber-internet-ria kalau aku balik rumah masa lunch atau betul-betul tengah malam.

Bosan.

Bila aku angkat gagang, tak ada dialing tone.  Bila aku nak masuk internet, PC aku marah.  Dia kata modem aku tak plugged in properly sebab itu tak ada dialing tone.  Tak adanya dia nak marah Telekom Malaysia.

Sudahlah tu, orang pun marah aku sebab bila call rumah tak berjawab.  Bila call handphone, aku ada kat rumah.  Telah berlaku pertengkaran kecil yang mencederakan ego kedua-dua belah pihak.  Aku dituduh sengaja tak jawab telefon.  Tak adanya nak marah Telekom Malaysia.

Maka sudah menjadi tanggungjwab akulah untuk marah Telekom Malaysia.  Aku pergi Kedai Telekom buat aduan.  Aku pergi tengahari, masa talian telefon aku tak ada masalah.  Mereka kata, “Talian telefon Puan tak ada masalah.”

Ya lah, aku tahulah.  Masalahnya malam.  Pukul 7 sampai ke tengah malam.  Masa aku nak update jurnal.  Masa aku nak jawab telefon bila orang call aku.

[Dan nama saya Cik, bukan Puan.]

Ohh.

Tak apalah.  Masalah kecil.

Bila masalah orang lain lebih besar daripada masalah aku, serta-merta masalah aku jadi kecil (rujukan: Einstein’s Theory of Relativity). Masalah dia lebih besar.  Lebih besar daripada yang aku sangkakan.  Lebih deep-seated daripada yang dia pernah ceritakan.  Aku terpegun.  Aku uhh-ahh, uhh-ahh saja dalam telefon sebab aku tak tahu apa nak cakap.  Aku harap dia cuma nak aku dengar, sebab itu saja aku boleh buat.  Maafkan akak, ye.

Aku hairan.  Aku kalau marah, aku bagi orang tau aku marah.  Kalau aku tak jerit-jerit histeria, aku sindir-sindir saja.  Aku kalau suka, aku bagi tau orang aku suka.  Aku gelak, aku senyum atau buat apa saja.

Aku kagum dengan orang yang boleh senyum, pura-pura hidup macam biasa tapi di sebalik semuanya ada kisah sedih, luka lama yang mereka simpan.  Mereka sabar, aku tidak.

October 20, 2001 [10:15 PM]

senyuman kuberi sungguh bermakna
tetapi sayang kau tak ketahui...


Aku rasa aku perlu cerita dari perspektif aku pula.

“Balik rumah sat,” kata ayah.

“La ni?” aku hairan.  Apa hal pulak suruh aku balik sekarang?

“Adik jatuh.  Pecah kepala!” jelas ayah.

Aku letak telefon.  Aku balik.

Macam mana boleh jatuh sampai pecah kepala?  Di rumah aku tu, mana ada perabot berbucu tajam.  Mana ada tangga.  Mungkin lantai bilik air aku licin sikit.  Mungkin ada surprise birthday party, beberapa minggu awal.  Bila aku buka pintu, mereka ramai-ramai akan jerit, “Surprise!”

Bila aku buka pintu, adik terlangkup atas sofa.  Kusyen aku dia alas dengan suratkhabar.  Baguslah.  Bukan senang nak cuci kesan darah pada kusyen itu.

Aku belek luka di kepala dia.  “Renggang,” aku kata.

Lukanya temporo-parietal sebelah kiri, lebih kurang 2.5 cm panjang, tidak dalam.  Ada salur darah pada tepi sebelah kiri yang sudah pecah.  Darah mengalir keluar dari salur darah yang pecah itu.  Sebahagian membentuk haematoma kecil di bawah kulit kepala dia, sebahagian lagi meleleh, menitik atas suratkhabar pengalas itu.  Aku telap dengan kertas tisu.  Seminit kemudian ada darah mengalir lagi.

Aku nampak ada cecair otak dia mengalir keluar sekali.  Syukurlah dia lelaki, lelaki tidak perlukan otak sangat – sebab itu kadang-kadang mereka tak gunakan.  Jadi aku telap saja dengan kertas tisu.

“Kena jahit nih. Alaa, tiga jarum je,” aku kata.

Dia tak mau. Dia pening. Dia nak muntah.

Degil.

----

Aku balik kampung dua hari.

Aku keluar membeli-belah (pegi beli-belah, yang!) macam aku ada kilang cap duit.  Eh, hujung bulan nih aku dapat bonus. EKLWBB naik 25-50% mulai bulan ni.  Gaji aku tahun depan tambah 10%.  Lagipun, dalam belanjawan 2002 semalam PM kata rakyat digalakkan berbelanja untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.  Aku cuma jalankan tanggungjawab aku.

Absolutely Fabulous no. 47, aku suka warnanya.  Atau mungkin aku suka salesgirl tu panggil aku adik.  Aku suka tudung baru aku yang ‘matching’ dengan baju baru aku.  Aku suka potongan 50% kat seluar hijau tu.  Aku suka album terbaru sebuah kumpulan muzik (apa? ahli musik?) tempatan, tapi ada orang dah nak belikan untuk harijadi aku tahun ni kan?  Aku tak sabar nak mula baca Alex Haley’s Roots dan Amy Tan’s The Bonesetter's Daughter.  Aku suka.

----

Aku nak tahu apa jadi pada dia.  Aku nak tahu kenapa dia tak buat apa yang dia kata dia akan buat.  Aku hanya perlu call dia dan tanya kan?

Tapi aku ego.

Degil.

October 11, 2001 [8:40 PM]

Apa perasaan kau?

Sedihkah?
Marahkah?
Insafkah?

Dia seorang perempuan yang kuat.  Lebih kuat dari aku atau kau atau mereka.  Dari sudut matanya mengalir air mata tapi dari suaranya mengalir semangat.  Aku suka itu. Aku kagum.

Suaranya bergetar.  Di selang-seli dengan hembusan nafas yang agak kasar, berombak dada turun naik.  Aku tahu dia marah.  Marah pada siapa?  Pada tuhankah?  Pada akukah?  Pada keadaan.  Dia berhenti setakat bintik-bintik merah di muka kerana rasa marah itulah.  Dia tak mahu mengaku kalah.  Dia marah dan perasaan marah itulah yang buat dia kuat.  Lebih kuat dari aku dan kau.

Jangan lagi ada sesiapa kata perempuan makhluk yang lemah.

Aku tak suka itu.

Aku sedih dengar luahan hati dia.  Lebih sedih lagi kerana dia terpaksa luahkannya pada aku.  Bukan pada ibu, teman karib, adik, abang atau kakak.  Kebanyakan pesakit aku memang begitu.  Kesempitan hidup membuatkan mereka tersisih dari masyarakat.

Aku terkilan.  Bagi kebanyakan wanita di sini, mereka cuma ada peluang berjumpa doktor sewaktu mereka mengandung.  Sistem kesihatan kita cuma mewajibkan wanita menjalani pemeriksaan sewaktu mengandung.  Jumpa jururawat sekurang-kurangnya sebulan sekali, jumpa doktor paling tidak dua kali sepanjang tempoh mengandung.

Bila aku tulis prescription, bagi ubat dan tarikh temujanji tapi mereka masih tidak berganjak dari kerusi, aku tahu ada lagi yang mereka belum beritahu.  Ada lebam dan kesan luka pada belakang badan.  Ada anak di rumah yang tidak makan.  Ada cerita mertua yang sakit hati.  Ada cerita suami yang bawa balik HIV.

Mereka tunggu sampai aku bertanya, kemudian mereka hamburkan semua keluh-kesah mereka pada aku.  Pada doktor mereka, yang punyai kuasa ajaib untuk menyembuhkan.  Apa daya aku, melainkan mendengar?

Kemudian mereka ucap terima kasih pada aku.  Kerana mendengar dan tidak buat apa-apa.  Sedangkan aku yang sepatutnya ucap terima kasih pada mereka kerana mengajar aku erti susah payah, pahit maung kehidupan.  Yang tidak tertulis dalam buku teks.  Yang sebelum ini aku cuma baca dalam novel yang pada ayat terakhir, bab terakhir akan tertulis, “...and they lived happily ever after.”

Apa perasaan kau?

Sedihkah, marahkah atau insafkah?

Aku rasa sungguh daif.


“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, ‘Kami beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan?” (Surah Al-Ankabut, ayat 2)

October 9, 2001 [8:32 PM]

...ibarat kapal tidak berhaluan...

Aku tahu aku patut ke OT tapi bila aku lalu depan bilik dia, aku macam terpanggil untuk masuk.

“Dah OK?” aku tanya.

Dia angguk.

“Tadi tu... Tiba-tiba je tak boleh bernafas tadi tu? Dah OK?”

Dia diam.

“Banyak masalah awak kan?”

Serkap jarang aku mengena.

Dia menangis.

-----

Kalau kau pun kau akan menangis.  Bayangkan, umur kau 27 tahun.  Kau sarat mengandung anak kedua.  Kau tinggal dengan ayah kau, isteri mudanya yang baru 25 tahun, 4 orang adik yang tak mahu dengar cakap, suami yang kerja tak tetap gaji tak seberapa dan anak perempuan umur 5 tahun dari perkahwinan pertama.  Memikirkannya saja dah buat aku sesak nafas. Kau?

Dua tahun lepas, kau bercerai dengan suami pertama sebab dia mahu rogol anak kau yang baru umur 3 tahun.  Sekarang dia tak hantar duit pun untuk sara anak.

Kau jadi anti-lelaki sekejap.  Kemudian kau jumpa suami kau sekarang, jatuh cinta, kahwin.  Tak ada tempat tinggal sebab RM 500 sebulan mahu dikongsi 3 kepala, mana cukup.  Kau balik ke kampung.  Ayah kau dah kahwin lagi.  Kau rasa merempat.  Mak tiri buat kau macam orang gaji.  Kau sarat mengandung tapi kain baju dia kau yang basuh, pinggan mangkuk dia kau yang cuci.

Ayah kau orang berada tapi selalu tak balik rumah, asyik melayan isteri-isteri dia yang lain.  Duit belanja rumah kau yang kadang-kadang keluarkan.  Daripada RM 500 itulah.  Adik-adik kaki ponteng sekolah, kau nasihat mereka bantah.

Suami izinkan kau bekerja untuk tambah pendapatan, mungkin sewa rumah sendiri.  Kau fobia.  Kau tak mahu tinggalkan anak kau di rumah dengan adik-adik kau.  Mereka semuanya lelaki dan kau sudah tidak percayakan lelaki.

Kau sakit buah pinggang sebab keturunan kau memang ada Polycystic Kidneys.  Mak kau meninggal kerana sakit itulah.  Satu sen harta tak tinggal sebab berhabis duit bayar haemodialysis, 3 kali seminggu tiap-tiap minggu, selama 3 tahun.

Kalau kau pun kau menangis, kan?

-----

“Doktor sibuk? Saya tak ada tempat lain nak bercerita,” dia kata dengan nada kesal.

Aku tak ingat apa yang aku kata kemudian.  Apa yang aku kata pun tak akan ubati keadaan, sekadar memecah kesunyian.

Dia pandang aku.

Berkelip-kelip menahan air mata yang makin ditahan, makin tumpah.

“Doktor sibuk?” dia tanya lagi.

Aku geleng.  Bohong sunat.  Tak apa, kan?

“Masa saya Form Five, Pak Lang saya rogol saya...,” dia sambung.

Perut aku rasa sebu.

-----

Kau doktor.  Kau dengar cerita sedih pesakit kau yang sudah 10 tahun simpan rahsianya.  Terguriskah hati perempuan kau?

“Saya kerja di Penang untuk sara anak saya tapi depa tuduh saya jual diri...”

“Saya dah berapa kali cuba bunuh diri.  Saya jerut leher sampai muka saya naik bintik-bintik merah...”

“Kengkadang saya harap bila bersalin nanti, saya mati.  Senang...”


-----

Aku mahu terus biar dia bercerita.

“Doktor, OT panggil. They’re ready for you,” jerit satu suara dari luar.

Lalu aku pegang tangan dia.  Aku senyum.

“Nanti saya mai balik, kita sambung.  Sementara tu pikir pasal apa saya kata tadi.  Pasal kaunselor tu,” aku kata.

Lega dapat keluar dari bilik itu.

Lega dapat menangis tanpa ada orang melihat.

October 7, 2001 [6:24 PM]

...sayang di sayang...

murai terkejut berkicau-kicauan
langit mendung diliputi awan
alamat bumi disirami hujan...


“Doktor, OT panggil.  They’re ready for you,” jerit satu suara dari luar.

(Kalau dalam ER, kau akan dengar, “Paging for Dr Max.  Dr Max, please report to the OR.”  Tapi ini bukan ER, ini hidup aku – low-budget drama.)

Lalu aku pegang tangan dia.  Aku senyum.

Nanti saya mai balik, kita sambung.  Sementara tu pikir pasal apa saya kata tadi.  Pasal kaunselor tu.” aku kata.

Lega dapat keluar dari bilik itu.

Lega dapat menangis tanpa ada orang melihat.

October 5, 2001 [10:46 PM]

ku suntingkan mama
sekuntum mawar putih
sebagai lambang kesucian cintaku...


Mungkin ini cuma kebetulan.  Mungkin ini memang ditakdirkan.

Semalam aku dapat surat panggilan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Kematian Ibu 3/2001.  Fikiran aku jadi tidak menentu.  Kes hari itu kes mudah.  Dia tak mati di tangan aku.  Laporannya nanti ‘simple’ tapi bukan itu yang aku risaukan.  Aku terfikir dua perkara: (i), pesakit aku mati 3 bulan sekali; (ii) setiap kali sebelum mortality meeting akan ada kes berat yang aku kena hantar ke tanah besar untuk masuk ke ICU.

Aku tertanya-tanya apakah mungkin itu cuma kebetulan?

Telefon berdering dan aku angkat.  Aku letak gagang tergesa-gesa, pakai baju tergesa-gesa, sarungkan tudung dalam perjalanan turun tangga.

Dr Z (bukan nama sebenar), do you want me to Caesar her here then send over for cerebral resus or send straight away?” aku tanya dalam telefon.

“What do you think?” dia tanya aku balik.  Pulak.

Akhirnya aku hantar dia ke ICU di tanah besar dengan bot sewa.  Macam 3 bulan lepas.  Macam seminggu sebelum mortality meeting yang lepas.

Sejarah macam berulang-ulang, macam drama melayu di TV.  Macam deja vu.

Sekarang nih, waktu aku menulis ni, dia masih dalam perjalanan.  Aku doakan dia selamat.  Aku doakan anak kembar yang dikandungnya selamat.  Aku doakan anak-anak itu, bila mereka besar kelak, akan menghargai susah-payah ibu mereka mengandung dan melahirkan mereka.  Aku sudah lakukan bahagian aku, selebihnya aku serahkan padaNya.

Aku balik, ada SMS menanti.

[Aku makin tak faham.]

October 3, 2001 [5:59 PM]

...setinggi, seluas...

setinggi seluas gunung dan lautan
sejuta harapan dipertaruhkan
beronak berliku jalan kulalui
selagi berupaya kuteruskan...


Aku naik ke tahap yang terlalu tinggi, rasa gayat terlalu kuat untuk dilawan. Kadar oksigen terlalu rendah pada tahap ketinggian sebegini, aku rasa sukar untuk bernafas.  Pandangan aku berpinar-pinar, persekitaran aku rasa berputar melawan arah jam.

Aku minta izin undur diri.

Aku turun, sebab aku takut jatuh.



Aku sedar prestasi kerja aku turun mendadak sejak akhir-akhir ini.  Aku sudah hilang minat dengan kerja-kerja rutin di hospital.  Aku tahu orang lain juga tahu.  Aku rasa bersalah tiba-tiba.  Selalunya aku, sebengong mana pun, tak akan abaikan kerja aku.  Cuma setakat makan, minum dan tidur, bangun aku saja yang terjejas.  Ini sudah kes serius.

Jadi, cukuplah.

Aku tak sanggup hadapi risiko.  Aku gayat.  Aku takut jatuh.

Walaupun aku tahu semuanya sudah selesai, senyum di muka aku masih ada.  Aku bersyukur kerana itu.  Aku senyum bila staf aku buat silap.  Aku senyum bila tengok keputusan exam aku, walaupun aku sepatutnya menangis.  Aku senyum bila Boss aku kata, “Try again next time,” walaupun aku sebenarnya patut menyesal.

Aku senyum bila telefon berdering.  Tiada lagi tekanan.  No strings attached.

Aku tahu ada yang tak faham.

Aku tahu ada yang cuba ingin faham.

Aku sendiri tak faham segala-galanya.  Mungkin aku sudah dewasa.  Mungkin semua ini sudah mendewasakan aku.

Hidup ini hidup aku, biar aku yang tentukan.





 







 







 

This site supports: