November 30, 2001 [9:57 PM]

...jalan-jalan cari  makan  ABC...

Terima kasih kerana berusaha memandu keliling bandar untuk carikan aku ABC.

Cheap thrill.

Cepat sungguh November berlalu kan?

November 27, 2001 [1:00 PM]

now, I don't want to lose you, but I don't want to use you
just to have somebody by my side
and I don't want to hate you, I don't want to take you
but I don't want to be the one to cry...


Kau tahu lagu ini?  Ini lagu duet Patti Smyth dengan Don Henley, Sometimes Love Just Ain’t Enough.  Mungkin ini bukan daripada genre lagu yang kau suka dengar.  Entah, aku tak tahu lagu apa yang kau suka. 

Lagu ini popular di UK masa aku di tahun satu.  Aku beli kaset Patti Smyth di Woolworths Stratford, dengan duit elaun JPA aku yang tak seberapa itu.  Aku dengar berulang-ulang kali di dalam bilik aku di Shadwell sampai Duy ingat aku tak ada kaset lain.  Aku salin liriknya dalam surat aku kepada Shera, sebab kami kongsi segala-gala.  Aku mahu dia juga menyanyi lagu kegemaran aku.  Aku bawa kaset itu ke flat Timmy di Tottenham Court Road suatu hujung minggu.  Apa nama students’ hall di Tottenham Ct Rd itu?  Aku sudah lupa.  

Timmy pun suka lagu ini. Hafal lirik macam mahu masuk pertandingan nyanyian.  Sinaran?  Sinaran Passport Kegemilangan aku rasa belum ada di TV3 waktu itu.  Kalau ada mungkin aku, Timmy dan Dibah sudah jadi anggota Senario sekarang. 

Timmy pinjam kaset itu.  Dia pasang berulang-ulang di flat dia.  Flat dia dan Lynn tapi Lynn jarang ada di situ, yang selalu ada ialah aku dan Dibah.  Kalau ikut logik Dibah, kami layak jadi lulusan London School of Economics tapi itu cerita lain.  Timmy suka sangat kaset itu aku rasa tidak sampai hati mahu minta dia pulangkan jadi aku berikan saja sebagai hadiah harijadi.  Jimat duit aku, tidak perlu beli kertas pembalut. 

“...itulah tadi saudara, Patti Smith dan Don Henley dengan lagu mereka – Sometimes Love Just Ain’t Enough.  Ya, saudara... kadang-kadang, selalunya ya... cinta sahaja tidak mencukupi.  Kita juga perlukan wang dan persefahaman,” kata Puan Juruhebah. 

Wang? 

Wang?? 

Aku yang tengah seronok melayan nostalgia jadi terbantut.  Aku perlahankan kereta, seolah-olah dengan cara itu, Puan Juruhebah juga akan bercakap perlahan-lahan dan ayatnya aku lebih mudah faham.
 
Cinta saja tidak mencukupi, kita juga perlukan wang dan persefahaman? 

Wang?

November 24, 2001 [3:24 PM]

...hidup memang begitu...

“Lima puluh enam ringgit, sembilan puluh lima sen,” kata juruwang Pasaraya TSH.

“Berapa?” aku tunduk mengira duit syiling dalam dompet aku.

“RM 56.95,” dia ulang.

“Okay, nah,” aku hulur duit.  Kalau ikut tanda nama yang dia pakai, Wati nama juruwang itu.

Wati hulurkan resit aku.  Aku ambil dengan tangan kiri sebab tangan kanan aku sudah penuh dengan barang.  Aku angkat muka mahu pergi. Ketika itulah aku nampak dia.

Dr Y sedang berjalan laju di depan aku.  Dia nampak aku.  Aku nampak dia.

Kami berlagak sivil.

Aku dan dia sama-sama tersenyum kelat.

Kalau aku senyum dengan ikhlas, mungkin aku boleh dapat pahala.  Tapi senyum aku cuma spinal cord reflex, aku bukan sengaja mahu senyum.

-----

Okay.

Aku bangun pagi semalam dengan kepala yang ‘clear’.  Kalau tidak kerana mata aku yang bengkak, aku sudah lupa pun hal itu.  Mungkin kerana aku sudah luahkan segala-gala yang menyumbat otak aku di sini.  Mungkin juga kerana Piriton 4 mg itu.

Mula-mula aku rasa sudah tidak perlu upload cerita itu sebab aku sudah okay tapi alang-alang aku sudah tulis, aku upload juga.  Terima kasih kepada yang memberi nasihat dan sokongan moral.

-----

Aku mahu beli kereta baru.

Aku bawa 6 keping duit RM 50 petang tadi.  Selepas 4 jam membeli-belah, bayar bil telefon dan elektrik, aku cuma ada RM 63.82 dalam dompet aku.

Mungkin aku kena tunggu tahun depan.

Dr T, yang duduk Blok A di depan rumah aku, sudah beli kereta baru.  Dada aku sakit akibat iri hati.  Dia beli Toyota Altis idaman aku.  Dia tak boleh pandu Altis, muka dia tak macam Brad Pitt.

Tapi aku suka bila Dr T beli Altis sebab Altis jauh lebih segak, lebih bergaya daripada Proton Waja Dr Y.

Aku mahu beli kereta baru juga.

-----

Kau ingat Abang Superman?  Kau ingat wira sepanjang zaman aku yang aku tidak sempat kenal namanya itu?

Tadi kereta aku buat lawak itu lagi.  Aku mahu start enjin tapi dia degil.  Bunyi alarm macam ada orang mahu rompak bank.  Aku teringat secret button yang Abang Superman buah hati pengarang jantung aku tunjukkan hari itu.  Tapi aku tak jumpa.

Puas aku fikir.

Akhirnya selepas hampir 10 minit kereta aku ber-nenong-nenong aku jumpa juga punat itu.

Di mana agaknya Abang Superman sekarang.

Jasa dia aku kenang sampai bila-bila.  Itulah.  Tak rugi kalau kita kongsi ilmu dengan orang lain.  Selagi orang itu amalkan ilmu yang kita ajar, selagi itu kita dapat pahala.  Kan?

-----

Clarence, dalam Survivor, sudah diundi keluar.  Aku suka Clarence, tapi dia diundi keluar.

Hidup memang begitu.

-----

Esok aku kerja.  Tengoklah apa jadi nanti.  Aku rasa aku okay.

November 22, 2001 [10:00 AM]

Aku tak tahu bagaimana mahu mulakan cerita ini, tapi aku perlu menulis di sini.  Aku mahu muntah.  Aku mahu muntahkan rasa marah aku.  Suka atau tidak, kau diam sajalah. 

-----  

Hari ini aku cuti sempena kemangkatan DYMM Yang di-Pertuan Agong.  Macam biasalah, cuti daripada pergi kerja tapi tidak cuti daripada standby.  Hari Jumaat dan Sabtu memang pun cuti umum jadi campur satu hari cuti hari ini, aku tiba-tiba ada 3 hari tanpa apa-apa rancangan.  Aku ingat mahu balik kampung bersahur dan berbuka bersama keluarga.  Seharian hari Rabu aku cari Boss aku di hospital besar tapi dia tidak dapat dihubungi.  Dia sibuk dan aku pun sibuk juga.  Bila aku call, dia dalam mesyuarat.  Bila dia call, aku dalam OT.  Jadi, aku terpaksa batalkan niat aku untuk balik.  Aku tidak berani keluar dari pulau ini tanpa kebenaran Boss.  

Aku bukanlah mahu puji diri atau apa.  Aku sebenarnya sangat-sangat tidak suka dengan sifat itu dan mohon dijauhkan Allah ada sifat itu dalam diri aku.  Aku bukan mahu rasa diri aku bagus tapi bagi aku, patients always come first.  Biar aku tidak makan, tidak tidur asal pesakit aku dapat rawatan paling baik yang aku boleh beri.  Aku rasa ini sifat semua doktor.  

Bila ada kes kecemasan petang tadi, aku lekas-lekas pergi ke hospital.  Sementara menunggu kakitangan OT sampai, aku duduk menongkat dagu di kaunter sambil mendengar talkin pemakaman Agong dibacakan di radio.  Dr Y datang duduk sebelah aku, menghabiskan paperwork.  

“Balik esok?” dia tiba-tiba bertanya.  

Aku geleng.  

“Haa… macam ni lah baru bertanggungjawab!” dia balas.  

Aku terkejut.  Telinga aku rasa terbakar.  

Dr Y ini, dari jenis yang perasan bagus.  Walaupun dia 3 tahun junior daripada aku, tiada pengalaman O&G tapi selalu rasa dia lebih tahu.  Selalu campur tangan dalam soal pesakit-pesakit aku.  Selalu mahu argue dengan keputusan yang aku buat, walaupun kadang-kadang keputusan itu sudah dipersetujui oleh pakar hospital besar.  

Sudah lama aku rasa tidak senang dengan sikap dia.  Kemuncaknya bulan lepas, masa aku cuti, dia call aku di kampung marah-marah bertanya kenapa aku cuti dan tinggalkan pesakit.  Dia kritik keputusan yang aku buat untuk seorang pesakit, macam dia lebih tahu.  Dia kata aku tak patut ‘lepas tangan’.  Ya, dia guna perkataan lepas tangan. Aku sangat marah hari itu tapi aku diamkan saja.  Terus hilang mood aku untuk bercuti.  

Sudahlah tu, dia tulis pula besar-besar dalam case notes.  Macam dia pakar.  Macam dia Boss aku.  Macam dia yang bagi aku makan.  

Aku rasa dia sangat tidak professional.  Aku diamkan sebab aku tak mahu layan ego dia.
 
Dia cuba sindir aku lagi tentang hal itu beberapa hari kemudian tapi waktu itu Dato’ Shahrizat datang melawat.  Aku tidak mahu buat adegan sinsing lengan baju, tarik-tarik rambut depan VIP.  Aku mahu elak bergaduh dengan rakan sekerja sebab aku tak mahu dia lepaskan kemarahan dia pada pesakit-pesakit aku pula nanti.    

Hubungan aku dengan dia aku hadkan setakat professional relationship.  Cakap bila perlu saja.  Kalau langsung tidak perlu bercakap lagi bagus.  

Jadi, bila dia sentuh soal tanggungjawab tadi, aku sangat-sangat terasa hati.  

“Oh! Kalau balik tu tak bertanggungjawablah?” aku tanya dia.  

“Memang tak bertanggungjawab,” dia kata.  

Telefon di depan aku berdering.  

Nasib baik telefon berdering.  Kalau tidak, mahu aku jerit saja di depan semua orang.  Apa masalah dia sebenarnya?  Aku pun ada hak untuk cuti juga.  Aku ada 30 hari cuti tahunan macam dia juga.  Dia ada cuti hujung minggu tapi aku standby 24 jam sehari, 7 hari seminggu.  Aku balik kampung selalu dengan kebenaran Boss aku di hospital besar.  Kalau Boss tak bagi lampu hijau, aku tidak pernah balik.  Aku balik kampung guna cuti tahun aku, bayar tambang pakai duit gaji aku bukan pakai duit bapa dia.
 
Aku diam saja menahan marah.  

Tiba masa untuk ke OT, dia hampiri aku.  Dia pesan kalau ada apa-apa masalah dengan bayi itu nanti, minta tolong Dr F tengokkan.
 
“Kalau flat, masuk ETT…,” dia sudah mula.  

Ruam-ruam merah sudah mula naik di seluruh badan aku.  Eh, allergic aku dengan dia ni.  

Aku tidak boleh tahan lagi.  Kenapa dia ni?  Aku tahulah.  Sudah 4 tahun aku buat kerja ini.  Sudah 4 tahun aku resuscitate 'flat babies'.  Aku tahulah apa nak buat kalau baby flat.  Kau buat kerja kau, aku buat kerja aku.  Sudah.  

Aku tak tunggu dia habiskan pesanan penaja dia.  Aku terus bangun, pandang dia dan kata, “Hey! I tau la tanggungjawab I!”

Sengaja aku kuatkan perkataan tanggungjawab itu. Lepas itu aku berlalu. Aku tak pernah tinggikan suara sesama staf.  Aku nampak staff nurse M pandang.  Pandanglah aku peduli apa.  Aku sudah tidak tahan lagi.  Puasakah, apakah aku sudah tidak peduli.  

Aku pergi ambil air sembahyang dan solat Asar.  Masuk rakaat kedua air mata aku tidak dapat dibendung lagi.  Aku solat sambil menangis.  Aku benci dia.  Aku benci tempat ini.  

Aku pergi OT dan buat 2 Caesarian.  Mata aku berkaca-kaca dengan air mata.  Aku terpaksa tahan supaya aku tak malukan diri aku di situ.  Aku cuba control macho dan teruskan juga.  Aku cukup tidak bersemangat waktu itu.  Aku boleh tinggalkan OT kalau aku mahu.  Biar dia tahu apa maksud sebenar tidak bertanggungjawab!  

Aku rasa aku pernah tulis di sini dulu, aku tidak harapkan balasan apa-apa daripada sesiapa.  Bukan bunga, kain batik, pulut kuning atau layanan VIP yang aku minta.  Itu semua tidak menjanjikan kebahagiaan bagi aku, cuma buat aku gembira sekejap.  Aku mahu job satisfaction, sesuatu yang aku tidak pernah dan tidak akan dapat di sini.  

Kenapa tuduh aku tidak bertanggungjawab?  Aku juga manusia biasa. Kalau aku ambil cuti untuk menenangkan fikiran aku daripada stress, tidak bertanggungjawabkah itu?  Kalau aku mahu rehat beberapa hari daripada standby 24/7, tidak bertanggungjawabkah?
 
Kenapa orang tidak boleh faham aku benci tempat ini dan jawatan ini tapi kerana rasa tanggungjawablah aku masih di sini?  Susah sangatkah mahu faham?  Kerana aku selalu tersenyumkah?  Kerana aku tidak pernah mengeluhkah?  Aku kena canangkan ke seluruh pulaukah baru orang boleh faham aku terus juga kerja di sini hanya kerana terpaksa?  Kerana tanggungjawab?  Sungguh ironic.

Sekarang aku rasa lebih tidak bersemangat lagi.  Apa pun yang aku buat, apa pun pengorbanan aku orang tidak hargai.  Aku rasa sangat-sangat demoralised.  Aku rasa sangat bodoh buat kerja sampai tidak makan, tidak tidur selama ini.  Aku sudah bazirkan 2 tahun mengabdikan diri kepada tempat ini tapi untuk apa?  Balasan daripada Allah sajalah yang aku harapkan sekarang tapi itu pun tidak pasti.  Aku sendiri tidak yakin dengan keikhlasan aku.  

Aku selesai kes di OT dan buka puasa pukul 8.20 malam.  Sekarang sudah 10.30 aku cuma minum secawan milo.  Aku tidak rasa mahu makan.  Aku cuma mahu menangis, melepaskan rasa self-pity aku.  Aahh… aku mahu cepat-cepat keluar dari pulau ini.  Aku mahu balik kepada mainstream O&G.  Aku harap transfer aku cepatlah diluluskan.  

Sudah.  Aku sangat marah, sangat kecewa dan rasa mahu ambil cuti raya yang sangat-sangat panjang.

November 21, 2001 [4:48 PM]

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :

Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah),
Ilmu yang berguna dan diamalkan,
Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya."

November 20, 2001 [1:05 PM]

kau, yang bernama hati
engkau yang ketahui perasaan ini...


Aku bagaikan hidup di tengah-tengah penggambaran National Geographic.  Kau suka National Geographic, kan?  Rumah aku, di kawasan kuarters hospital ini, dekat dengan hutan.  Ada bermacam-macam jenis serangga hutan yang masuk ke dalam rumah aku kalau aku terlewat menutup tingkap di waktu senja.  Ada yang rupanya macam ranting, ada yang macam daun kering, macam-macam.  

Reptilia pun banyak dan pelbagai.  Tahun lepas, aku nampak ular berwarna hitam metalik berekor oren terang, menjelir-jelirkan lidahnya yang bercabang di luar beranda belakang.  Ya, tempat aku sidai kain di malam-malam buta itu.  Tempat aku teraba-raba cari tuala di pagi-pagi hening itu.  Tidak jauh dari tingkap bilik air aku yang sentiasa terbuka itu.  Di situlah.  Seminggu aku tak berani buka pintu dapur. 

Tidak lama selepas itu, aku nampak sumpah-sumpah.  Ya, yang warna hijau itu.  Yang boleh camouflage, tukar-tukar warna itu.  Yang lehernya kembang-kuncup dan matanya tersembul keluar bila bernafas itu.  Yang itulah.  Seminggu pula aku tak buka sliding door beranda depan. 

Dua bulan lepas ada cicak ganjil seakan-akan mengkarung berwarna oren dekat mesin basuh.  Tiga hari aku tak berani basuh baju. 

Tapi yang paling banyak berkeliaran di dalam rumah aku ialah reptilia paling aku menyampah.  Cicak.  

Aku benci binatang ini sebab suka lepak-lepak bawah periuk nasi elektrik aku.  Setiap kali aku mahu senduk nasi dari periuk itu, mencicit cicak itu lari belakang peti sejuk.  Aku pula lari ke arah bertentangan.  Kadang-kadang aku sembur dengan Fumakila.  Cicak itu akan diam sebentar macam, “Hey! what’s going on?”  Lepas itu berpusing-pusing mencari arah sebelum bertukar menjadi biru.  Kemudian menggelepar macam orang kena epilepsy, lepas itu keras dan kaku. 

Kemudian tiba saat yang paling aku benci.  Aku kena kutip bangkai cicak itu dan buang.  Ohh, yucks

Satu hari, aku sudah lupa bila, ada cicak masuk ke dalam almari baju aku.  Seminggu aku tak pakai baju.  Eh! tak, tak.  Aku halau cicak itu keluar dengan pelbagai cara, tapi dia masuk pula almari sebelah yang kosong.  Aku ambil Fumakila aku.  Aku sembur dan tutup pintu almari.  Biar dia berpusing-pusing, menggelepar di situ.  Aku sangka dia akan mati. 

Kau tahu apa yang jadi kemudian?  

Secara tiba-tiba, ada seekor cicak lagi datang dari bawah katil.  Mencicit macam dalam distress.  Mencangak-cangak ke kiri-kanan.  Mula-mula aku agak mencari aku untuk balas dendam.  Aku lihat dari jauh, menahan geli.  Aku tidak tahan berada di dalam aura yang sama dengan seekor cicak.  Cicak kedua ini kemudian menyelinap masuk ke dalam almari melalui pintu yang sedikit renggang. 

Aku terpaku.  

Cicak kedua itu mungkin ibu, mungkin bapa, kawan karib, kekasih atau apa kepada cicak pertama.  Datang memberi bantuan.  Bagaimana dia tahu ada cicak disembur Fumakila dalam almari nombor dua?  Kenapa dia bahayakan nyawanya untuk buat Search and Rescue Operation seperti itu?  Cicak juga ada perasaan rupanya.  Subhanallah

Sebulan aku tidak buka almari itu, malah aku tidur di bilik lain!

----- 

Aku boleh bercerita tentang reptilia, mamalia, amfibia atau apa saja selagi kau mahu mendengar.  Aku boleh layan kau di telefon.  Aku boleh layan kau ber-SMS sampai tengah malam, sampai bateri handset aku habis.  Tapi perasaan itu sudah tidak ada. 

Aku sudah tawar hati.  Maafkan aku.

(Aku bukan sengaja mahu bermain dengan perasaan kau).

November 16, 2001 [3:19 PM]

selangkah demi selangkah
setahun sudah pun berlalu
masa yang pantas berlalu
hingga tak terasa ku berada
di bulan Ramadhan semula...


Esok satu Ramadhan.  Tapi awal-awal lagi aku sudah dapat pengecualian daripada berpuasa.  Okay.  Sekurang-kurangnya aku tahu kitaran biologi aku normal.

Normalkah kitaran hidup aku?  Apakah hidup aku cuma satu kitaran yang berpusing-pusing, mengulang rutin yang sama?  Macam kain baju dalam mesin basuh.  Kadang-kadang dibelai lembut dalam wash cycle, kadang-kadang berpusing laju dalam spin cycle.  Kemudian ulang lagi.

Ramadhan sudah jadi rutin.  Puasa sudah jadi rutin.

Aku tersentak pagi tadi bila aku dengar anak Kak G yang umur 5 tahun itu menyanyi lagu raya.  Raya? Esok baru nak puasa ‘dik.  Tapi itulah hakikatnya.  Puasa jadi pre-raya celebration.  Pasar Ramadhan pun boleh jadi tarikan pelancong.  Sebulan sebelum puasa, orang sudah tempah baju dan kuih raya.

“Dah dekat setahun, dah masuk Syaaban baru you nak ganti puasa?”  Kau yang kata hari itu kan?

Aku terkedu.

Terima kasih kerana menyedarkan aku.

Aku pun sudah jadi sama.  Ikut sama dalam rutin ini.

Apakah yang akan membezakan Ramadhan tahun ini dengan Ramadhan tahun-tahun lepas?

“Banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan pahala kecuali lapar, dan banyak orang yang solat (malam) tidak mendapat pahalanya kecuali berjaga” (Hadis riwayat Al Hakim)

Wallahua’lam.

November 13, 2001 [6:23 PM]

...try again later...

(If this is not annoying, then I don't know what is.)

TMNet memang sengaja nak cari pasal dengan aku agaknya.  Sejak aku balik cuti, aku tak boleh masuk ke internet pukul 7.30 malam sampai tengahari esoknya.  Asyik no answer, no answer.  Bosanlah aku. 

Untuk menyedapkan hati aku, aku cuba fikir positif.  Sekurang-kurangnya sekarang aku boleh jimat duit.  Satu, sebab TMNet bengong aku cuma online lebih kurang 2 jam sehari.  Dua, Adik dah balik ke Shah Alam bermakna bil TMNet bulan ini akan turun secara mendadak.  Makcik kaya, makcik kaya.

-----

Dua hari lepas ada seorang perempuan menghampiri aku di depan lif Tingkat 1.  Dia senyum sampai ke telinga lantas menyambar kedua-dua belah tangan aku untuk bersalam.  Aku beri dia senyuman aku yang paling manis, yang dalam body language boleh diterjemahkan kepada, “Maaf, saya tak kenal makcik.”

“Makcik ni mak Azita,” dia kata.

Kemudian dia ucap terima kasih entah berapa kali kerana aku sambut cucunya yang entah nombor berapa.  Dia tak lepas-lepas tangan aku.

Orang ramai depan ICU pandang-pandang.  Mesti mereka ingat aku superhero.

Lama lepas makcik itu pergi, aku masih terdiam depan pintu lif yang sudah terbuka.  Aku malu.  Aku malu sebab dia sungguh-sungguh berterima kasih kepada aku sedangkan aku sekarang sungguh tidak bersemangat untuk bekerja lagi.  Aku sudah bosan dengan rutin kerja aku.  Aku sudah bosan dengan tempat ini.  Aku tidak layak menerima bunga itu dan sanjungan seperti ini.

Aku malu.  Aku rasa bersalah.

-----

Semalam aku mimpi ganjil.

Aku ada di mana aku tidak pasti.  Aku nampak satu deretan rumah teres 2 tingkat, sedang marak dijilat api.  Mata aku silau dengan pancaran cahaya biru kereta polis dan ambulan.  Ada beberapa jentera bomba di situ.  Ahli-ahli bomba sedang menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam rumah-rumah itu.  Polis sedang menenangkan orang ramai. Aku tak tahu kenapa aku berada di situ, di mana aku, apa peranan aku.  Aku tanya orang di sekeliling aku apa sedang berlaku tapi semua orang tak mahu melayan aku.  Aku rasa aku tidak diperlukan jadi aku berjalan pergi saja.

Aku bangun dan tengok jam.  Lima setengah pagi.  Aku matikan kipas siling dan tidur semula.

“Airbus terhempas di New York.  Pesawat bawa 255 orang jatuh di kawasan perumahan sebaik berlepas,” kata muka depan Utusan Malaysia.

Mungkinkah?

-----

Setelah Innuendo gagal menghiburkan aku, sekarang aku mahu album baru Brian McKnight.  Esok Deepavali.  Secara teknikal, mengikut kalendar India, esok harijadi aku lagi sekali.  Jadi, sesiapa yang belum beri aku hadiah bolehlah belikan aku Brian McKnight’s Superhero.  Boleh?

Kau sudah tengok iklan Deepavali Perodua?  Bukan yang itu, yang satu lagi.  Yang ada lelaki India potong rumput (antara tugas-tugas di rumahnya).  Yang ada lelaki India bekerja di estet (sebagai pengurus).  Aku suka.

“Melayu jatuh kalu, orang kata dia pining.  Belakang, India jatuh, misti dia mabuk!  Apa pasai itu macam?” tanya isteri pesakit aku suatu hari pada tahun 1997.  Aku ingat sampai sekarang.

Selamat Menyambut Deepavali.

November 10, 2001 [6:28 PM]

...sekuntum mawar merah, sebuah puisi...

"Ooo... bercinta tak cerita kat kami," kata Kak M kat koridor masa aku nak masuk kerja tadi.

"Hah? Apa nih?" Aku terpinga-pinga.

Kak A kat sebelah gelak-gelak.

Aku ke Labour Room.  Kak H pula mengusik-usik.

Ada sejambak bunga mawar merah di atas kaunter.  Dua puluh empat kuntum semuanya.  Cantik.

"Doktor Max. Jutaan terima kasih -- keluarga Azita," tertulis besar-besar di kad itu.

Kembang juga hati aku.

Haha. Staf aku, kalau bab mengusik memang nombor satu.  Macamlah aku dapat bunga daripada buah hati.  Pesakit yang aku buat Caesarian semalam, buat kenduri bunga.  Terima kasih.  Kalau kau senyum saja pun sudah cukup, Azita.

Sekarang aku kena cari pasu.

-----

Badan aku sakit.

Semalam lepas Caesarian, aku cuci kereta aku.  Sudah terlalu lama aku tak mandikan Iswara aku itu, aku sudah lupa apa warnanya.  Putih rupa-rupanya.  Yang kelabu itu rupa-rupanya habuk, kotoran dan debu.  Wow.

November 8, 2001 [5:05 PM]

I’m back. (Well, that’s not entirely correct because I was never really gone.)

Aku balik kampung 5 hari.

Aku lari.  Malas mahu fikir lagi tentang kerja, tekanan dan gossip setempat.

Aku baru tengok VCD Seri Dewi Malam yang aku beli kali terakhir aku cuti.  Aku teringin benar mahu menonton cerita yang menang banyak anugerah ini.  Aku mahu tengok teknik CGI yang suratkhabar gahkan itu. Aku mahu sama-sama rasa bangga dengan filem Malaysia.

Aku tengok.  Aku keliru.  Sampai sekarang aku masih keliru.

Tolong jawab soalan aku:

1 – Kalau Seri sudah tidak ada harapan untuk pulih, kenapa Azri tidak dibenarkan membawa Seri keluar dari hospital?

2 – Kenapa pihak hospital panggil majistret untuk me'mati'kan Seri?  Kalau dia sudah tidak ada harapan hidup, biarkan dia mati secara natural, bukan minta court order untuk euthanasia.  Setahu aku, euthanasia masih lagi tidak dibenarkan di negara ini.

3 – Azri bawa keluar Seri dari hospital against medical advice.  Dia bawa Seri keluar sebab Seri tidak ada harapan pulih.  Kenapa gambar Azri keluar muka depan suratkhabar, macam penjenayah?  Jenayah apa yang Azri telah lakukan?

Okay.

Pesakit aku tidak ada harapan sembuh.  Kalau aku biarkan dia akan jadi statistik kematian di hospital aku, jadi aku kata pada warisnya, “Eloklah bawa isteri Encik balik.  Mengaji atau baca Yaasin.  Panggil kaum keluarga yang jauh semua balik.”  Selalunya itu sudah cukup.  Mereka selalunya faham.  Kalau mereka tidak faham, mereka bawa ke hospital lain.

Tidak ada harapan sembuh tidak bermakna pesakit harus di'mati'kan.  Macam suis elektrik, boleh main on, off.  Soal nyawa soal sensitif.  Seri koma.  Self-paralysed and breathing spontaneously, tidak perlu ventilator.  Bukanlah beban yang besar pada hospital itu.  Majistret dipanggil ke hospital rasa aku hanya untuk memeriahkan majlis.

Pesakit aku dibawa lari keluar dari hospital.  Aku tunggu 24 jam.  Aku buat laporan polis.  Polis cari waris pesakit, nasihat supaya datang ke hospital untuk jelaskan bil.  Tak perlu keluar suratkhabar.  Tak perlu adegan kejar-mengejar dan dilanggar kereta di kaki tapi berdarah di mulut.

Banyak lagi yang aku tidak puas hati.  Adegan-adegan di hospital macam pementasan sketsa hari penyampaian hadiah sekolah rendah.  Pakai teknik CGIlah apalah yang canggih-canggih, boleh.  Bilalah filem melayu boleh ambil seorang penasihat untuk adegan-adegan perubatan?  Aku rasa diperbodohkan.

Aku menonton hingga ke akhir sebab aku sangka ada unexpected twist dalam filem ini.  Aku sangka mereka jadi buruan polis sebab mereka saksi penting dalam kes rompakan yang dalangnya adalah pihak pengurusan hospital Mawar itu.  Atau Seri tidak dibenarkan dibawa pulang dari hospital sebab pihak hospital terbabit dalam kes penjualan organ manusia untuk tujuan transplant.  Atau Dewi akhirnya boleh melihat sebab terima pemindahan kornea dari Seri.

Aku kecewa.

Aku sepatutnya menangis atau sebak atau apa di akhir filem ini, tapi aku sudah hilang penghayatan kerana kesilapan-kesilapan kecil itu.  Elok juga aku beli yang cetak rompak.

Aku letak harapan setinggi gunung.  Yang aku dapat setinggi bukit.

-----

Adik belikan aku BrandNuendo sebagai hadiah harijadi.  Aku dengar dan oh! aku patut minta digicam.  Mana lagu yang patut aku dengar siang-malam tanpa henti itu?  Aku tidak ada lagu yang aku minat dalam album baru Innuendo ini.  Aku lebih suka Innuendo yang lama.

Aku kecewa.

Aku letak harapan setinggi bukit.  Yang aku dapat setinggi busut.

-----

Dan sekarang, kau.  (Ya, kau.)  Kaulah kekecewaan aku yang terbesar hari ini.

Aku letak harapan setinggi busut.  Jariku bengkak digigit semut.

Kecewa aku bertukar menjadi sakit.

November 4, 2001 [12:02 PM]

...age is just a number?...

<flashback>"...semalam aku cakap Dr Karamona sudah ada online journal, Dr S bila lagi?  akak aku rasa tercabar dan, ya, dia pun buat satu jugak! tuan² dan puan² dijemput beramai-ramai melawat journal dia dan mengesain gesbook dia.  ini alamatnya: http://maxalon.blogspot.com..." [Jongkang Jongket 4 November 2000] </flashback>

Dari situlah bermulanya Nauseated! seperti yang kau kenal hari ini.  Aku bosan asyik dicabar oleh Adik yang perasan dan riak itu.  Apa dia ingat aku buta IT sangatkah?  Aku pun berkenalan dengan Blogger, daftar URL di blogspot.com dan meng-edit template sesuka hati, semuanya dalam masa 5 jam.  Daripada semangat kiasu itu, aku sekarang bolehlah juga faham HTML.  Boleh pula cabar dia balik!  Haha.  [Adik, jangan marah nanti elaun tak naik.]

Sekarang, terima kasih kepada Adik kerana mencabar aku, Nauseated! sudah berumur satu tahun.

November 1, 2001 [10:09 PM]

...daripadaNya kita datang...

Dan kepadaNya kita kembali.

Telefon berdering lebih kurang 9.55 tadi.  Aku bangun lambat-lambat.  Labour Room mungkin ada kes lagi.

“Hello? Dok buat apa tu?” aku dengar suara Kak ZZ, staff nurse aku.

“Tak buat apa-apa,” kata aku.

“Sister M meninggal, tau dah?” kata Kak ZZ perlahan.

Terkejutnya aku masa itu, tak dapat aku ceritakan dengan perkataan.  Memang aku tahu dia ada sakit buah pinggang.  Memang aku tahu dia sudah sampai ke tahap yang memerlukan dialysis.  Memang aku tahu dia dimasukkan ke wad di hospital besar semalam.  Tapi meninggal?  Macam tak boleh percaya.

Aku sambung makan nasi goreng aku.  Aku kunyah perlahan-lahan.  Aku telan butir-butir nasi yang belum lumat itu.

Aku ambil album gambar yang ada di atas televisyen.  Dia nampak ceria berjoget di Malam Mesra bulan lepas.  Baru kelmarin kami sama-sama makan di jamuan perpisahan Sister N, seorang lagi ketua jururawat di sini.  Aku tak percaya.

Telefon berdering lagi.

Jantung aku terhenti sekejap.  Mungkin itu Kak ZZ lagi.  Mahu beritahu aku berita tadi tidak betul.

“Max, ko dah tahu berita?” tanya Dr H pula.

Aku rasa macam nak menangis.  Jadi betullah?

Tiba-tiba aku teringat bergurau dengan dia masa borang opsyen persaraan diedarkan.

Aku tanya dia mahu pencen umur berapa.

“Sister takut tak sempat nak pencen je!” dia kata.  Dia masih boleh bergurau.

Memang dia nampak lain.  Sakit buah pinggang memang begitulah.  Perubahan pada warna kulit yang paling ketara sekali.  Tapi dia masih pergi kerja, buat macam biasa.  Masa menunggu ketibaan menteri hari itu, dia sekejap-sekejap duduk.  Sekejap-sekejap duduk. Letih agaknya, tapi dia buat macam biasa.

Aku masih tidak percaya.  Rasa sejuk kaki, tangan.  Rasa nak muntah.

Rasa hidup ini terlalu singkat.

Yang peliknya, aku dengan Sister M bukan rapat pun.  Tapi mungkin kerana kami tidak rapatlah maka aku rasa begini.  Terkilan.

Semoga Allah cucurkan rahmat ke atas rohnya dan tempatkan dia di kalangan para solehah.  Amin.





 







 







 

This site supports: