March 29, 2002  [1:25 PM]

..."Out!"...

Aku sudah tukar modem baru.  Modem yang dulu itu sudah 'out' kata budak kedai komputer itu.  Aku kerutkan dahi sampai kening bertemu di tengah-tengah, bila dia kata, "Out."  

Dia terjemahkan semula kepada aku, "Tak boleh repair dah, kak."

Aku bukan kerutkan dahi sebab aku tidak faham.  Aku kerutkan dahi fikir berapa ratus harga modem baru.  Campur insurans kereta, cukai jalan, lesen memandu, servis kereta... aduh!  

Gaji empat hari yang lalu.

March 21, 2002  [10:05 PM]

...langit mendung hujan tak jadi...

Jadi kau mahu aku tulis cerpen?  Buat permulaan aku tulis tajuknya dulu: Langit Mendung Hujan Tak Jadi.  Ataupun, aku buat tajuk, kau tolong habiskan saja cerpen itu.  


Jawapan aku kepada soalan, "Kenapa akak tak cuba tulis cerpen?" samalah dengan jawapan aku kepada satu lagi soalan lazim: Kenapa kau tak tengok Mis 3 Hermanas macam orang lain?  

Jawapannya, aku cepat bosan.  Attention span aku pendek.  Aku tak boleh tahan menonton cerita bersambung-sambung sampai berpuluh-puluh episod.  Sama jugalah, aku tidak boleh menulis apa-apa yang mengambil masa lebih daripada separuh hari.  

(Kau boleh terima alasan ini?  Atau aku perlu kembali kepada alasan cuaca terlalu panas itu?)

-----

Aku tengah bercuti sebenarnya.  Hari ini, masuk tujuh hari aku tidak pergi kerja, tidak jumpa pesakit, tidak hadiri mesyuarat dan tidak tandatangani akujanji.  Aku baru balik dari satu lokasi rahsia, membeli-belah macam perempuan cina dalam iklan itu kata, "Jualan Mega -- setahun tiga kali je!" 

Alasan aku, kalau aku ada pakaian baru bukankah aku akan lebih bersemangat untuk bekerja, berjumpa pesakit, menghadiri mesyuarat, mengaku dan berjanji?  

Gaji lagi empat hari.

March 11, 2002  [7:05 PM]

...the heat is on...

Cuaca sekarang semakin menjadi-jadi panasnya.  Pukul 4.30 petang matahari raasa sejengkal atas kepala.  Peluh meleleh-leleh macam dalam sauna. 

Pertembungan dua monsun, kalau tak silap pendengaran aku.  Kata encik juruhebah radio.  Cuaca panas sebab itu dan satu dua perkara lagi yang aku tak faham.  Aku tidur masa kelas Geografi Puan Latifah dulu.

Di luar panas.

Di dalam pun panas.

Air-cond pula rosak terus.

Monitor pada GA machine di OT meletup sebab suhu panas sangat.  Berasap-asap.  Aku tidak ada di situ semalam.  Ini aku dengar daripada staf. Ada letupan kecil kemudian keluar asap.  Nasib baik tak ada litar pintas. 

Sekarang aku tak boleh buat kes elektif aku.  Satu monitor meletup, tinggal satu.  Suhu OT sampai 28 celsius, semua jenis bakteria boleh hidup dan beranak-pinak, berkenduri-kendara di situ.  Cuma boleh buat kes-kes kecil.

OT panas, Labour Room panas, bilik on-call panas.  Semua tempat panas.  Aku lari ke klinik, duduk bawah kipas angin pun panas juga.  Kepala aku rasa berdenyut-denyut.  Jangan meletup dan berasap macam monitor di OT sudah.

Bila cuaca panas, hati pun panas jugalah.  Bagi kontrak ribu-ribu ringgit pada syarikat swasta, ambil-alih pengurusan perkhidmatan sokongan hospital tapi air-cond sudah dekat sebulan rosak tak ada tindakan pun. 

Asyik-asyik, "Sorry, chiller rosak."

Hai, kalau dah tahu rosak pandai-pandailah baiki.

Panas.

Pentadbiran ada kipas angin.  Ketiak mereka tak basah.  Sebab itu mereka tak ambil pusing.  Air-cond tak baiki sebulan lagi pun bagi mereka tak apa.  Masing-masing jaga ketiak sendiri.

Panaslah.

Aku rasa aku banyak dosa sebab itu aku panas sangat.

March 7, 2002  [11:44 PM]

Nama dia Muralitharan a/l Subramaniam (bukan nama sebenar.)

Aku hangatkan murtabak semalam dalam kuali leper.  Aku makan depan Pi Mai Pi Mai Tang Tu sambil teringatkan Murali.  Aku sebut berkali-kali dan biarkan phonetic-nya bergulung-gulung antara lidah dan langit-langit aku.  Nama dia Murali. 

Manis.  Masin.  Sedap.  Tiba-tiba lidah aku dapat rasa kesedapan makanan semula.  Makanan bukan lagi hanya bahan organik untuk memadatkan perut saja.  Makanan untuk dinikmati.  Aku dapat rasakan semula nikmat hidup sebab Murali.

Nama dia Murali.

Aku rasa mahu hidup.  Aku mahu hidup supaya aku dapat jumpa Murali dan ucap terima kasih sebab nama dia Murali.  Bukan Kumar atau Cynthia atau Milah.

Pukul tiga petang aku keluar ke Pos Malaysia sebab mahu pos borang cukai pendapatan.  Bila aku sampai depan kaunter jual setem baru aku sedar borang itu tertinggal di rumah.  Jadi, aku turun ke gerai pesan roti canai.  Aku ke pasar beli sotong dan balik rumah masak sambal tumis. 

Aku rasa mahu hidup.  Untuk hidup, aku perlu makan.

-----

"Now let's talk about your situation," kata Dr BV sebelum klinik pagi tadi.

"I've spoken to Milah...," kata Dr BV lagi.

Aku rasa kurang sopan (dan kurang siuman) kalau aku menjerit di situ jadi aku senyum dan geleng kepala.

Dr BV faham masalah aku.  Malah, aku rasa dia terlebih faham.  Dia sudah psychoanalyse aku dan mengangkat masalah aku jadi masalah dia sendiri, padahal dia boleh buat tak tahu.  Aku tak tahu kenapa dia begitu beria-ia mahu membantu selain daripada dia memang seorang Boss yang baik.

"There's one MO, Murali.  He's new.  Been with us for about 6 months.  I've asked him and he said he doesn't mind...," Dr BV bercerita.

He doesn't mind?  Kau dengar tu?  Dia tak kisah datang sini dan buat kerja ini. 

Tetapi... Ya, ada tapinya pula.  Tapi Murali masih junior, dia perlu 5-6 bulan lagi sebelum Dr BV berani hantar dia ke sini.  Aku tak kisah.  Bagi aku ini pun sudah cukup bagus.  Sekurang-kurangnya aku sudah tahu siapa orangnya.  


Nama dia Murali.

March 6, 2002 [9:43 PM]

Dia duduk di kaki jambatan yang menyeberangi anak sungai yang aku tidak tahu namanya itu.  Duduk bersila sambil main gendang.  Kadang-kadang ada sekumpulan kanak-kanak berhimpun di sekeliling tengok pakcik buta itu main gendang.  Di kaki jambatan yang menyeberangi anak sungai yang mereka tidak tahu namanya itu.

Orang lalu-lalang. Ada yang pandang.  Ada yang buat tak tahu. Ada yang lempar sepuluh sen, dua puluh sen dalam mangkuk ayannya.  Pakcik buta itu raba-raba dalam mangkuk ayan, senyum.  Dia sambung main gendang di kaki jambatan yang menyeberangi anak sungai yang namanya mungkin dia tahu.

Kadang-kadang ada pelancong berseluar pendek, berbaju nampak ketiak ambil gambar.  Macam dia monumen, barang pameran.

Aku rasa bersalah bila aku lalu depan pakcik buta bergendang itu tiap kali aku meniti jambatan itu untuk ke pasar malam di seberang sana.  Aku rasa bersalah sebab mangkuk ayan punca rezekinya ada di kaki aku.  Aku rasa aku menghina dia meletakkan mangkuk ayan dia di kaki aku. 

Orang lalu-lalang.  Dia tetap main gendang.

Aku lalu bawa sate sepuluh cucuk, murtabak sekeping, polisterin isi nasi ayam dan sepuluh biji limau Sunkist 4014.  Dia main gendang sambil menghidu aroma makanan dari beg-beg plastik di tangan aku dan di tangan orang lain yang lalu-lalang.  Tiba-tiba aku rasa sedih.  Aku patah balik dan letak seringgit dalam mangkuk ayannya.

Harap-harap malam ini dia dapat makan.

Kadang-kadang benda-benda kecil seperti ini buat kita lebih menghargai kehidupan. 

(Sudahkah kau bersyukur hari ini?)

March 3, 2002 [4:20 AM]

hendak tidur, tidurlah mata
jangan dikenang orang  jauh  bodoh...


Pukul 4.20 pagi.  Aku tak boleh tidur.  Habis satu kandang kambing biri-biri aku kira, aku masih tak boleh tidur.

Aku sudah tidur tadi.  Pukul 1.20 pagi Dr Y telefon pasal kes di Labour Room.  Bukan urgent sangat pun.  Aku suruh dia buat sesuatu tapi seperti biasa dia mesti lebih pandai daripada aku, tidak setuju dengan pandangan aku.  Pukul 1.20 pagi, tolonglah.

Pukul 1.25 pagi dia telefon lagi.  Aku pergi Labour Room, tengok CTG itu dan rasa mahu makan Dr Y hidup-hidup.  Kau kejut aku pagi-pagi buta untuk ini?  Mereka tahan pertukaran aku hanya untuk ini?

Alang-alang aku sudah bangun, aku ambil keputusan untuk buat Caesarian.  Sementara menunggu staf OT sampai, dia duduk sebelah aku dan ajak bertengkar pasal keputusan aku yang awal tadi.  Pukul 1.30 pagi, tolonglah.

Aku gigit lidah sampai rasa nak putus tapi mulut aku lancang juga keluarkan serangan balas.  Aku tahu itu bukan masa atau tempatnya tapi aku sudah naik angin satu kepala.  Aku masuk Call Room dan mengadu pada cermin dalam tandas.  Air mata aku biarkan turun macam hujan dipanggil katak yang mahu dimakan ular.  (Memang itu makanan dia, memang itu makanan dia.)

Pukul 3 pagi aku balik.  Mahu sambung tidur tapi aku masih rasa marah. Aku menggelisah di tempat tidur, akhirnya aku bangun makan sebelas biji cucur bawang pukul 4 pagi.

Pukul 4.20 pagi.  Aku tak boleh tidur.  Habis satu kandang kambing biri-biri aku kira, aku masih tak boleh tidur.

Aku rasa aku tak akan tidur sampai pagi.  Bodoh.

 





 







 







 

This site supports: