July 12, 2003  [9:48 PM]

"Mak, saya dah balik."

Dan 'mak' pun masakkan nasi pasir dalam periuk tempurung, goreng ikan polisterin dalam kuali kotak untuk hidangan makan tengah hari 'anak'nya yang baru pulang dari sekolah.  Tak ada sayur hari itu, Tok kata jangan kacau pokok bunga, nanti Tata balik masjid dia marah.

Susah juga aku hendak bayangkan perempuan yang terbaring depan aku itu sama dengan budak perempuan yang main masak-masak dengan aku lebih 20 tahun dulu. 

Kali ini bukan lagi main-main.  Dia sudah betul-betul jadi emak. 

-----

Selamat hari lahir kepada Syarifah Nurul Asyiqah (ventouse extraction, 4.28 PM 11 Julai 2003).  Tahniah kepada pasangan Tutuya dan suami.  Aku bangga dapat menjadi sebahagian daripada detik manis itu.
 

July 8, 2003  [10:00 PM]

"Bahawasanya aduan telah dibuat di hadapan saya bahawa xx-xx/03 beralamat xxx telah disyaki melakukan kesalahan Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan pada pendapat saya kamu mungkin boleh memberi keterangan matan mengenai perkara aduan itu.

Maka dengan ini kamu adalah disaman supaya hadir di hadapan Mahkamah Sesyen 1 di bandar A pada 8-9 haribulan 7 tahun 2003 yang akan datang pada pukul 8.30 pagi untuk memberi keterangan tentang apa yang kamu tahu mengenai aduan yang tersebut; dan kamu tidak boleh berlepas dari situ tanpa kebenaran Mahkamah; DAN KAMU ADALAH DENGAN INI DIBERI AMARAN bahawa jika kamu cuai atau enggan hadir pada tarikh yang tersebut tanpa sebab yang berpatutan, suatu waran akan dikeluarkan bagi memaksa kehadiran kamu."


Cikgu BM aku masa tingkatan tiga dulu boleh kena sawan agaknya kalau terbaca supina yang aku dapat ini.  Dia cukup pantang kalau aku tulis karangan guna ayat panjang-panjang dengan 2-3 tanda koma dan koma bertindih.

Aku belum pernah pergi mahkamah.

Jadi, aku tanya Dr NZ apa yang perlu aku buat.

"Oh.  You have to bow to the magistrate.  Well, actually not the magistrate lah, the polis tu kata you're actually bowing to the mahkamah.  Bow to the sistem perundangan.  It just so happens you have to bow in the direction of the magistrate.  Ha Ha," Dr NZ kata.

Okay.

Adik kata bukan majistret.  Hakim mahkamah sesyen.

"Ada majistret, hakim mahkamah sesyen dan hakim," kata SMS Adik. 

Okay.  Tunduk.  Angkat sumpah berkata benar.  Sebut nama aku, bila ditanya.  Berapa tahun aku kerja.  Nama orang yang aku periksa.  Tunjuk pada orang itu kalau dia ada dalam mahkamah.  Jawab soalan, yes, no, alright.  Tunduk.  Keluar.

-----

Aku pun pergilah.  Lapan setengah dalam supina patut dibaca sebagai pukul sembilan pagi rupanya jadi aku pergi baca suratkhabar dalam Bilik Saksi.  Pukul sembilan pergi lagi. 

"Tak jalan kot," kata Inspektor Bibi.

Memang tak jalan.  Mahkamah tangguh kes sejam sebagai menghormati kematian Tan Sri Mokhtar.  Kemudian tertuduh (atau kalau ikut TV3, 'tersangka' -- sekali lagi cikgu BM aku sawan) yang 2 orang itu dibawa masuk menghadap hakim mahkamah sesyen.  Mereka tunduk, tapi tunduk mereka mungkin tunduk malu, kemudian mereka keluar. 

"Kes tangguh esok.  Doktor standby ye?" kata Inspektor Bibi.

Tangguh?  Aku tak berpeluang buat tunduk hormat aku pada sistem keadilan.  Letih aku berlatih depan cermin semalam.


July 3, 2003  [10:00 PM]

Ada orang cuba buat kelakar pagi tadi.  Dia meluru masuk ke lorong aku dengan keretanya secara tiba-tiba, kemudian pandu perlahan pula.  Tersekat rezeki aku hari ini, pagi-pagi lagi sudah menyumpah orang.  Aku memang sudah lambat, dilambatkan lagi oleh Tok Janggut depan aku.  Di lampu isyarat pertama, dia buka songkok.  Keluarkan sikat, sikat rambut.  Cabut uban.  Mungkin bukan uban.  Betul-betulkan rambut tepi telinga.

Lampu hijau.  Dia masuk gear satu.  Kedua-dua tangan masih lagi membetulkan rambut sambil kereta bergerak perlahan-lahan.  Kemudian dia sikat misai.  Aku tak pernah tahu orang lelaki ada menyikat misai.  Aku perlu double-check dengan tunang aku.  Sampai lampu isyarat kedua.  Dia masih memandang cermin pandang belakang sambil menyisir janggut pula.  Kemudian, macam saja nak menambahkan sakit hati aku, dia pandu 20km/jam sambil sikat bulu kening.  Bulu kening pun sikat?

Aku tak tipu. 

Mujur sebelum lampu isyarat ketiga dia belok kanan ke sebuah bangunan kerajaan.  Kalau tidak aku mungkin terpaksa menyaksikan dia menyikat bulu hidung dan bulu ketiak.

Dunia hari ini dipenuhi oleh orang pelik-peliklah.


July 1, 2003  [10:02 PM]

Dah Julai.  Dah Julai?  Dah Julai! 

Kalau main bola, separuh masa pertama sekadar mengotorkan but dan jersi, panaskan badan lebih kurang.  Separuh masa kedua baru nak main betul-betul, harap-harap boleh menang.  Dah Julai.  Dah separuh masa kedua.  Pulun.  Jangan tak pulun.

 










 







 

This site supports: