July 31, 2002  [2:55 AM]

...Buaya darat vs. buaya sungai...


Cerita buaya sungai yang aku siarkan secara sukahati tanpa merujuk kepada penulis asalnya itu aku dapat daripada kursus Child Sexual Abuse yang aku hadiri minggu lepas.  Cerita asalnya lebih kurang begitulah tapi versi baru ini telah aku tokok tambah dengan sewenang-wenangnya untuk memberatkan fakta kes.

Kesuma Dewi dalam cerita itu ialah seorang mangsa rogol.  Perogolnya Jalak.  Watak Andika simbolik kepada keluarga mangsa rogol.  Pak Malau simbolik kepada sebahagian besar masyarakat kita yang berpegang kepada prinsip 'aku-aku, kau-kau'.  Sam pula sebahagian lagi masyarakat kita yang suka mengambil tindakan membabi-buta dan membelakangkan undang-undang.

Seperti yang aku jangka, kebanyakan pembaca menghukum Kesuma Dewi sebagai watak yang paling bersalah. 

"Pakai seksi-seksi macam tu, memang patut kena rogol!" memang selalu kita dengar. (Kadang-kadang kita sendiri yang kata.)

Mangsa rogol sering disalahkan.  Mereka sengaja mencari penyakit.  Mereka itu dan mereka ini.  Sudahlah dirogol, dilabel pula perempuan murahan, rosak akhlak, itu dan ini.  Masyarakat tidak pandang mereka sebagai 'mangsa.' 

(Tapi bila Nor Suzaili Mokhtar dirogol-bunuh itu salah pemandu bas psycho sebab arwah seorang yang berpelajaran dan berpakaian sopan. Come on people, show me some justice.)

Andika, kekasih hati pengarang jantung Kesuma Dewi sendiri menyalahkannya.  Aku tidak ada statistik untuk aku bentangkan tapi bukan sedikit mangsa rogol yang tidak diterima kembali dalam keluarga selepas kejadian yang menimpa diri mereka.  Ketika mereka memerlukan sokongan dan bantuan untuk terus hidup mereka bukan saja dipersalahkan, malah dibuang.  Kalau mereka pelajar sekolah, sekolah juga tidak mahu terima mereka kembali kerana mereka 'rosak akhlak.'  Kerana mereka perempuan jahat, mereka bukan 'mangsa.'

Jalak.  Jalak is Jalak.  Jalak ada di mana-mana.  Jalak boleh jadi siapa-siapa.  Pakai purdah atau pakai mikro-skirt, kelenjar liur Jalak tetap merembes.  Cuma dapat atau tidak dapat, itu cerita lain.  Perogol merogol bila dia nampak peluang terbuka.  Salah Kesuma Dewi, aku setuju, ialah dengan tidak berfikir panjang dia membuka peluang kepada Jalak untuk merembeskan kelenjar yang lain pula.

Pak Malau itu aku, kau dan dia.  Kita.  Pak Malau boleh bantu Kesuma Dewi bila mendapat tahu tentang perilaku Jalak.  Dia boleh syorkan seseorang menemani Kesuma Dewi.  Dia boleh hantarkan pesan kepada Andika untuk datang bertemu dengan Kesuma Dewi.  Dia boleh nasihat Kesuma Dewi berpakaian lebih sopan.  Dia boleh buat itu, ini dan banyak lagi tapi dia tidak mahu.  Bagi aku salah Pak Malau jauh lebih berat daripada salah Kesuma Dewi atau Jalak. 

Ambil contoh lain.  Ada orang koyak telinganya dikerjakan mat fit kerana Pak-pak Malau di sekelilingnya tidak mahu ambil tahulah.  (Sorry, Adik.) 

Masyarakat boleh mainkan peranan lebih hebat dalam menangani jenayah seksual tapi masyarakat tidak mahu.  Dia perempuan jahat.  Dia rosak akhlak.  Dia mangsa perbuatan kita yang tidak mengambil berat.

Sam dengar cerita Kesuma Dewi.  Dia ambil tindakan sendiri.  Dia tidak diupah oleh Kesuma Dewi untuk memukul sesiapa.  Kerana membuat pertimbangan sendiri, dia membelasah Andika bila dia sebenarnya patut mencari Jalak.  Membelakangkan undang-undang tidak bawa faedah.  Tidak ada keadilan.  Akhirnya Sam sendiri yang kena naik-turun mahkamah disaman oleh Andika.  Yang kaya tuan loyar juga.

Kerajaan salah sebab tidak bina jambatan.  Aku suka komen itu.  Semuanya salah kerajaan.  Jangan harapkan kerajaan untuk buat semuanya, kawan. 

-----

Akhir sekali Jalak dan Sam yang akan dihukum oleh mahkamah. Akan ada Jalak yang lain merogol Kesuma Dewi yang lain sebab Pak Malau yang lain lebih suka buat hal lain. 

Plan tindakan:

(1) Kurangkan Jalak dalam masyarakat kita.  Dengan didikan agama dan moral yang sempurna, dalam institusi kekeluargaan yang kukuh, Jalak tidak akan jadi Jalak.  Akan ada sifat menghormati hak orang lain.

(2) Hasilkan Kesuma Dewi yang kurang rapist-friendly.  Menghalang Kesuma Dewi bersolek ke pejabat atau bekerja syif malam atau mewajibkan cawat besi bukan jalan penyelesaian.  Didik Kesuma Dewi dalam masyarakat kita supaya mengamalkan gaya hidup yang selamat.  Tidak berpakaian menjolok mata, tidak terlalu mengikut emosi, tidak terlalu mempercayai dan mengambil risiko keterlaluan.  Tahu membezakan yang OK dan tak OK.

(3) Seks bukan sesuatu yang kotor.  Mangsa rogol bukan kotor. Mereka tidak perlu disisih. Andika memang jantan tak guna (err, maaf aku terlalu emosionalkah?)

(4) Imbangkan Pak Malau dan Sam.  Kita tak mahu masyarakat yang terlalu mengambil tahu sampai ke tepi dan dalam kain orang lain.  Kita juga tak mahu masyarakat yang langsung tak ambil tahu sampai kain sendiri koyak pun tak sedar.  Mula dari rumah sendiri, didik anak-anak sendiri supaya mereka tidak jadi Jalak atau Kesuma Dewi.  Kenal jiran-jiran.  Tolong-menolong sesama sendiri.  Jangan hanya balik kampung pada musim raya, bawa balik sifat orang kampung.  Hidup macam satu keluarga.

(5) Sex education?  (Kes kerajaan tak bina jambatan??)

Mungkin sebab aku perempuan.  Aku tak suka baca kisah rogol di dada akhbar atau dengar di radio dan televisyen.  Apa lagi kalau berhadapan dengan mangsa rogol.  Aku bukan mahu membuktikan siapa salah atau siapa betul.  Jauh sekali memperkecilkan pendapat sesiapa yang telah mengambil bahagian dalam undian olok-olok aku.  Anggaplah ini jeritan fed-up aku dan sumbangan kecil aku kepada masyarakat Pak Malau.

July 16, 2002  [8:00 PM]

...buaya sungai vs. buaya darat...

Pada suatu hari di zaman dahulukala, di sebuah kampung terpencil ada seorang gadis bernama Kesuma Dewi yang mempunyai seorang kekasih bernama Andika.  Andika tinggal di tebing sebuah sungai dan Kesuma Dewi tinggal di seberang sungai tersebut.  Sungai yang memisahkan pasangan kekasih ini pula mempunyai banyak buaya.  Terlalu lama tidak berjumpa tidaklah dapat lagi Kesuma dewi menahan rindu jadi suatu hari Kesuma Dewi bernekad untuk menyeberangi sungai dan melepaskan rindunya kepada Andika.  Masalahnya, jambatan yang ada telah runtuh dan dihanyutkan air.  Oleh kerana tiada pilihanraya kecil di kawasan itu pada waktu yang terdekat, belum adalah lagi cadangan untuk membina jambatan baru. 

Kesuma Dewi telah pergi berjumpa dan meminta pertolongan Jalak, satu-satunya pemuda di kampung itu yang mempunyai sampan, untuk membawanya menyeberangi sungai.  Pada hari tersebut, heroin kita ini telah memakai kebaya pendek dari sutera Korea berlabuci-labuci dan berkain ketat dengan warna yang 'matching' untuk menawan hati Andika si jantung hati.  Jalak bersetuju tetapi cara Jalak memandang Kesuma Dewi dengan air liur meleleh sangat menakutkannya.

Kesuma Dewi telah pergi berjumpa dengan seorang tua berpangkat pakcik, Pak Malau, dan menceritakan tentang perlakuan Jalak yang mencurigakan itu.  Pak Malau tidak mahu terlibat dalam perkara ini.  Kesuma Dewi tiada pilihan lain.  Dia terpaksa juga menaiki sampan Jalak sungguhpun tidak mempercayainya.

Sebaik meninggalkan tebing sungai, Jalak menyuarakan hasratnya untuk berasmara dengan Kesuma Dewi.  Kesuma Dewi menolak.  Jalak mengugut untuk mencampakkannya ke dalam sungai yang penuh dengan buaya ganas itu tetapi jika Kesuma Dewi setuju, dia akan menghantarnya ke seberang dengan selamat.  Kesuma Dewi, merasakan dirinya tiada pilihan, terpaksa mengikut kemahuan Jalak.  Selepas memenuhi kehendaknya, Kesuma Dewi pun dihantar ke seberang sungai di mana Andika sedang menunggu.

Kesuma Dewi, dalam esak tangis yang sedikit 'over-acting' telah menceritakan kisahnya kepada Andika.  Andika berang.  Dituduhnya Kesuma Dewi yang gatal dan menyalahkan Kesuma Dewi kerana berpakaian menjolok mata.  Kesuma Dewi, baginya sudah tercemar dan Andika tidak mahukannya lagi.

"No! No! Why Andika? Why? Why?"

Kesuma Dewi yang sakit hati, geram dan kecewa dengan sikap heronya itu telah pergi berjumpa dengan Samseng Kampung, atau nama glamornya Sam, yang terkenal dengan kehandalannya ber-kick boxing.  Sam sangat marah kepada Andika dan kasihan kepada Kesuma Dewi.  Dia mencari Andika dan memukulnya dengan teruk.  Masalah Kesuma Dewi tidak juga selesai.  Andika cedera parah.  Sam balik rumah berehat.  Jalak terlepas.  Pak Malau, well, Pak Malau tak mau campur.

Okay.

Semua kelima-lima watak dalam cerita ini telah melakukan kesilapan.  Kesilapan siapakah yang dianggap paling buruk sehingga berlakunya insiden ini?  Kesuma Dewikah kerana berpakaian seksi?  Andikakah kerana buruk sangka? Atau Jalak kerana berdarah buaya?  Sam?  Pak Malau? 

July 15, 2002  [6:21 PM]

...harapkan pagar...


Lima belas minit pertama dalam berita waktu perdana sekarang sungguh membosankan.  Pasang saja televisyen, ada orang tua selak kain.  Ada orang tua maki-hamun di khalayak ramai, beruhh-uhh-uhh-uhhH macam orang dalam 'rumah kecil' saja bunyinya.  Ada orang muda kena tumbuk di pipi.  Ada orang berbaju batik beri ceramah tentang pembangunan.  Ada orang ber'bush jacket' di upacara pecah tanah untuk buat bangunan.  Bina bangunan dan pembangunan rupa-rupanya sama.  Lagi banyak bangunan kita dirikan, lagi kita nampak membangun.  Dan orang tua itu selak kain. 

Aku tidak suka bila tiba pilihanraya kecil.  Cerita yang sama diulang-ulang sampai aku naik jelak mendengar yang aku sudah dengar.  Kempen dalam media massa tentang uhh-uhh-uhh dan orang tua selak kain hanya untuk pengundi atas pagar yang tidak tahu mahu pangkah kati atau bulan lalu dipangkah kedua-dua.  Padan muka.  

Kempen ini bukan untuk aku.  Aku pengundi yang sudah dipagari dengan kawat duri dan tembok batu.  Aku tandatangani akujanji bersumpah taat setia dengan mulut terkunci.  Pilihanraya 1999 aku pangkah yang itu, 2003 atau 2004 insya-Allah yang itu juga.  Cuma sekali-sekala aku teringin menjenguk keluar pagar, aku teringin mendengar cerita pihak di sebelah sana.  Cukuplah ber-uhh-uhh-uhh dan menyelak kain, surprise us with some real news.

July 9, 2002  [11:24 PM]

...dua, tiga kucing berlari...


(Mana nak sama si kucing hitam-oren-putih.)  Sang kucing macam rasa bersalah.  Kucing durjana itu tidak lagi tidur bawah kereta aku sekarang, sebaliknya berpindah ke Asrama Jururawat.  Aku bermimpi aku mencabut misainya tanpa bius. Rasakan.

"Rehat.  Esok ambil MC," kata satu SMS.

Rehat dan ambil cuti sakitlah yang paling aku tidak boleh lakukan sekarang.  (But thanks for the thoughts.)

Kaki aku sudah hilang bengkak.  Lebam pada kaki kiri dan lutut kanan sudah tidak hijau.  Sudah jadi ungu.  Luka sudah baik.  Buku lali sudah boleh digerakkan.  Sakit pada tulang metatarsal kelima aku masih ada tapi aku sudah boleh kembali berkasut tumit tinggi dan berjalan laju seperti biasa.  Aku sudah boleh senyum dan staf aku tidak lagi terpaksa menerima tempias bad mood aku. 

Cerita ini ada happy ending tetapi tidak ada teladan.  Sesuai untuk slot Kisah Benar di sebuah stesen televisyen tempatan.

July 6, 2002  [10:55 PM]

...di mana bumi dipijak...

Kucing itulah.  Kucing itulah yang jadi penyebabnya, kau tahu?  Kucing hitam-oren-putih, mata lebam sebelah kiri macam orang pakai maskara di hari hujan itulah penyebabnya.

Aku mahu ke hospital tengahari tadi untuk buat Caesarian.  Aku nampak kucing bertuah itu sedang enak tidur di bawah kereta aku, hampir dengan tayar depan sebelah pemandu, seperti biasa.  Lalu aku pun terfikir, kalaulah suatu hari aku tidak nampak kucing itu sahih aku akan terus menggilisnya.  Baik 'kan aku?  Sungguh mesra haiwan.

Ketika itulah ia berlaku.  Sesuatu yang telah lama tidak aku lakukan.  Dek teringatkan nasib sang kucing yang bakal aku tindih dengan tayar kereta aku, aku tidak nampak longkang kecil di hadapan aku maka dengan penuh tragisnya kaki kiri aku tersadung tebing longkang manakala kaki kanan aku pula gagal melakukan rebound.  Beberapa mili-saat kemudian aku terpaksa akur pada tarikan graviti lalu jatuh tersembam.  Buku lali aku ter'peleot' dan betis kiri aku menghentak tebing longkang.  Lutut kanan aku terhempas ke simen.  Hidung aku mencium bumi yang selalunya aku pijak. 

Angkara kucing itulah. 

Aku bingkas bangun.  Pura-pura tidak nampak tukang kebun di depan Blok A yang sedang berpura-pura tidak nampak aku.  Sakit sebab kaki ter'peleot' satu hal, sakit menahan malu lagi satu hal. 

Suatu hari aku akan tindih juga kucing itu.












 







 

This site supports: