January 15, 2002 [11:54 PM]

...plan c...

Setahun.

Setahun itu satu tempoh yang sangat lama.  Mungkin tidak bagi kau tapi sangat lama bagi aku.  Aku tidak dapat bayangkan setahun lagi di sini, membuat kerja ini dalam atmosfera nyah-oksigen yang menyesakkan ini.

Ketika ini jugalah mereka mahu wujudkan credentialing.  

Mengikut arahan baru, Pegawai Perubatan U3 seperti aku dibenarkan 'handle' kes tertentu sahaja.  Yang tidak termasuk dalam senarai credentials aku mesti di'handle' oleh pakar yang berada dua setengah jam perjalanan melalui jalan laut dan darat.  Bermakna beban kerja Pegawai Perubatan U3 O&G jadi semakin kurang.  Kebanyakan kes yang dahulunya aku 'handle' di sini dengan kebenaran Boss lama sekarang kena dihantar ke seberang atas arahan Boss baru.  Sudahlah selama ini pun aku bagai tidak ada kerja.  Lima belas hari dalam sebulan, aku makan gaji buta.

Mereka yang lain pula asyik bertanya kenapa aku tidak balik ke hospital besar.  Mereka kekurangan tenaga kerja. Kehadiran aku boleh bantu ringankan beban yang mereka tanggung.

Tapi pertukaran aku mereka (yang lain pula) gantung hingga ada Pegawai Perubatan U3 yang baru.

Kesimpulannya, aku akan terpaksa ada di sini setahun lagi tanpa kerja untuk dibuat.  Ada kekosongan di tempat lain, tetapi aku tidak boleh isi sebab aku terpaksa menunggu orang baru yang entah bila mahu tiba.

Apa logiknya semua ini?

Aku duduk menongkat dagu dengar Dr MR bercerita tentang plan B yang Boss cadangkan pada kementerian untuk selesaikan soal penempatan Pegawai Perubatan U3 O&G di pulau ini.  Aku kira butir-butir nasi dalam pinggan aku, tidak mahu dengar. 

Boss dan Plan B-nya sudah ditukarkan ke Bandar I, efektif enam belas haribulan ini.  Apa guna bercerita lagi?

Plan C? 

January 10, 2002 [10:09 PM]

Selamat hari raya. Aku sudah habis ganti puasa aku. Ini pencapaian aku yang paling membanggakan tahun ini. Secara teknikal, hari ini hari raya. Makanlah ketupat, kuih-muih yang ada.

-----

Aku bangun lewat. Buka mata terus teringat hari ini ada LSCS. Jenguk keluar tingkap tengok kereta Dr F, anaesthetist aku, masih di bawah. Aku lupa bertanya pukul berapa mahu mula LSCS itu. Aku harap bukan pukul lapan, sebab masa itu sudah 7.52 pagi.

“Mak mentua saya kata kat saya macam-macam. Dia suruh abang tinggal saya sebab saya bawak penyakit...”

Aahh...

Sudah 3 hari aku tanya, baru hari ini dia mahu bercerita.

Aku lupa bertanya pukul berapa mahu mula LSCS itu. Aku harap bukan pukul lapan, sebab masa itu sudah 9.15 pagi.

Alang-alang sudah lewat biar lewat terus. Dengar saja cerita pesakit kanser aku tentang kisah dia dibenci ibu mertua, tentang jiran-jiran bermulut jahat, tentang hidup yang nampaknya tidak pernah adil.

Sabar perkataan yang aku suka sebut, tapi tidak suka dengar.

LSCS mula pukul 9.55 pagi. Bukan pukul lapan.

Itu saja kisah benar aku hari ini.

-----

Entah apa jembalanglah yang sudah merasuk aku malam ini. Aku tonton Kisah Benar di TV3. Kau tengok cerita itu?

Ada seorang bernama X kena buang kerja sebab kilang dia tengah down-sizing. Dia guna duit pampasan dari majikan dia untuk buka warung makan. Perniagaan dia maju. Perniagaan Y di warung sebelah rugi sebab pelanggan lari ke warung X. Y serang X tapi ada polis leraikan. Y lingkupkan perniagaan X secara ‘halus.’ Perniagaan Y maju semula tanpa saingan. X rugi, berhenti berniaga.

Sampai situ aku rasa boleh tengok lagi. Tapi tiba-tiba aku rasa pengarah cerita ini baru sedar tempoh setengah jam tayangan sudah hampir tamat. Jadi majikan X tiba-tiba muncul dan berkata, “X, pengurusan kilang mahu mengambil awak bekerja semula.” X seronok melompat-lompat dan berkata, “Jadi saya dapat bekerja semula?” TAMAT.

Hello?

Jadi, ini idea aku. Pilih satu cerita yang kau anggap terbaik daripada jurnal kau. Olahkan menjadi skrip drama untuk tayangan 30 minit, hantarkan kepada penerbit Kisah Benar kerana kalau orang mahu kisah benar (tentang manusia, tentang dunia yang berat sebelah, tentang politik kampus yang macam mangkuk tandas), mereka patut menonton online journal bukan sampah seperti itu.

Aku akan bawa usul ini ke AGM Geng Jernel yang akan datang. Sementara itu terpaksalah aku tukar saluran televisyen setiap hari Khamis pukul 9.30 – 10.00 malam.

-----

Makanlah ketupat, kuih-muih yang ada.

January 9, 2002 [6:13 PM]

Satu haribulan Januari tahun dua ribu dua. Beberapa minit selepas pukul sembilan pagi. Dua bungkus nasi lemak dalam beg plastik hijau, duit kertas seringgit baki dalam tangan. Aku jalan sambil berfikir berapa lama lagi aku harus begini.

Aku nampak dia. Apa dia buat di pulau ini aku tidak tahu. Peluang datang tanpa dicari, jangan sia-siakan.

Dia yang tegur aku dulu. TPP yang pangkatnya jauh lebih tinggi, yang umurnya jauh lebih tua, hulur tangan untuk bersalam dengan aku.

“Max... selamat hari raya!” kata dia.

Kami bersalaman.

Inilah masanya.

“Tanyalah dia. Tanyalah. TANYA...,” hati aku meronta-ronta.

“Bagi peluang saya train orang lain dulu Max ya... awak duduk sini dulu sekejap...” dia kata, dalam intonasi seperti merayu.

Aku senyum. Belum tanya dia dah tahu?

Dia kata dia sedang cari orang baru untuk dilatih di hospital besar sebagai pengganti aku. Dia tidak kata sekejap itu berapa lama. Dia tidak perlu pun.

Setahun.

Itu tempoh minima untuk melatih orang baru sebelum boleh dianggap layak untuk tidak dipedulikan, dibiar bekerja seorang diri tanpa kawal-selia di pulau ini macam aku.

Setahun lagi aku kena tunggu nampaknya.

Tunggu.

-----

Aku tak marah Milah (bukan nama sebenar). Milah ada hak untuk berkata tidak. Cuma bagi aku dia tidak ada sebab untuk berkata tidak. Aku rasa dia takut sebab itu perasaan pertama aku bila aku dapat surat pertukaran ke sini dulu. Takut dibiarkan bekerja tanpa pengawasan pakar, takut tidak boleh keluar.

Dulu dia mahu tapi lepas setahun di KKIA dia ubah fikiran.

Soal pertukaran aku boleh cepat selesai kalau Milah setuju sebab Milah sudah ada pengalaman setahun dalam O&G, dia tahu semua yang aku tahu. Dia boleh buat semua yang aku boleh buat. Aku baru kenal Milah tapi aku tahu dia boleh buat kerja. Dia boleh dipercayai. Dia calon yang cukup sesuai. Suami Milah kerja di pulau ini, markah bonus untuk Milah ambil alih jawatan aku tapi Milah kata tidak, dia tidak mahu. Dia lebih selesa terus kerja di KKIA. Ada lebih masa untuk suami dan anak dia.

Aku tak marah Milah.

Aku cuma geram saja.

-----

Iklan untuk jawatan pegawai perubatan U3 O&G di hospital besar sudah ada di sekitar hospital. Di sini dan di semua hospital daerah di seluruh negeri. Aku terkejut juga bila aku baca. Aku ingat TPP cuma kata dia cari orang baru untuk sedapkan hati aku.

Jadi itulah ceritanya. Pertukaran aku bukan bulan tiga, bukan bulan sembilan. Jangkaan semua orang salah. Pertukaran aku ‘bila ada orang baru.’

Sabar bukan lagi perkataan yang aku suka dengar.

January 8, 2002 [10:06 PM]

bila rasa gembira, beginilah caranya
bila rasa gembira, tepuk tangan pergi McDonald’s beli Monster Meal...


Buat pertama kalinya dalam lebih dua minggu, hari ini aku ada kerja untuk dibuat di hospital selain daripada menguncikan diri aku dalam Bilik Pegawai Bertugas hampir sepanjang hari sambil berbaring dan membaca Roots sampai tertidur, jaga dan tertidur semula.

Kalau hospital serba canggih dan lengkap dibina dengan belanja berjuta-juta untuk jumlah penduduk 54,000 orang tetapi pegawai perubatannya terpaksa duduk saja, ada sesuatu yang tidak kena...

Kau tahu betapa siksanya pergi kerja tapi tidak ada kerja untuk dibuat? Kau tahu betapa membebankan pergi kerja setiap hari tapi rasa seolah-olah kau tidak diperlukan?

Aku tahu.

Hari ini aku ada banyak kerja dan aku rasa sangat gembira. Aku habiskan klinik aku pukul 12.30 kemudian aku pergi cari kerja di Labour Room sampai lupa waktu makan tengahari. Petang aku hubungi hospital besar ambil temujanji, tulis semua surat rujukan, telefon sendiri semua pesakit, review semua keputusan makmal dan memandu ke McDonald’s buat pertama kalinya dalam dua minggu. Aku raikan Hari Ada Kerja hari ini dengan satu Monster Meal... yum! yum!

Kau tahu betapa ringannya rasa badan bila kau gembira? Kau tahu betapa seronoknya bila kau ada alasan yang munasabah untuk memandu ke McDonald’s dan membawa balik Monster Meal walaupun kau tahu sundae akan cair dalam perjalanan pulang?

Aku tahu.

-----

Aku duduk dalam kereta di tengah-tengah medan letak kereta di depan McDonald’s cuba memberitahu seseorang yang makan bila lapar, tidur bila mengantuk dan menangis bila sedih adalah sifat orang normal. Tangan kanan aku memegang telefon, tangan kiri aku memutar-mutar pelaras suhu pendingin hawa kereta tanpa sebab. Tombolnya tertanggal tapi pendingin hawa masih berfungsi. Aku yakin ini bukanlah sebab yang logik untuk membeli kereta baru.

Di kelilingi kereta-kereta baru serba cantik dan berkilat, membuatkan kereta kau nampak buruk. Samalah juga, di kelilingi orang-orang ‘gila’ tidak bermakna kau gila, tetapi membuat kau nampak normal sebab kau berbeza. (Kau faham?)

*wink*

-----

Ini untuk peringatan aku: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum papa, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.” ~ hadis Rasulullah saw.






 









 









 

This site supports: