February 27, 2002 [9:34 PM]

katak oh, katak
kenapa kau panggil hujan?


Cuaca sekarang terlalu panas.  Aku tak boleh menulis dalam cuaca panas dengan peluh menyimbah.  Aku guna alasan yang sama kenapa aku tidak boleh cuci kereta aku.  Panas terik, aku takut hitam.

Katak panggil hujan sebab ular nak makan dia.

Hari ini, buat pertama kali dalam dua bulan, hujan pun turun.  Sekarang pun masih hujan.  Lebat.  Petir sambar menyambar.  Aku masih tak boleh menulis.  Aku tak boleh menulis dalam hujan dengan kilat sambar menyambar.  Aku guna alasan yang sama kenapa aku tak boleh cuci kereta aku.  Hujan lebat, aku takut katak  demam.

Sebenarnya kau tahu kan?  Aku malas.  Aku guna alasan yang sama kenapa aku tak boleh cuci kereta aku.  Sebab aku malas.

Tidur pun sedap.


February 17, 2002 [5:51 PM]

sungguh-sungguh aku mengharapkan
kiranya kau mendengar ketika ini...

(Allah maha mendengar 'kan?)

"Doktor, nih ada orang nak jumpa," kata Z dari sebalik skrin.

"Siapa?"

Aku jenguk keluar Bilik Pemeriksaan.  Aku seseorang di depan kaunter tengah bersembang dengan Dr L.  Aku kenal dia.  Dialah yang selalu mendatangi mimpi aku sejak akhir-akhir ini. Apa dia mahu agaknya?
Mungkinkah dia sudah berubah hati?

Mungkinkah?

"Tunggu eh? I habiskan VE dulu."

Dia mengangguk, senyum dan sambung bersembang dengan Dr L.  Bayi perempuankah lelaki?  Mahu bersalin di sinikah di sana?  Aku dengar perbualan mereka melalui pintu Bilik Pemeriksaan yang aku biar renggang, sambil hati aku tertanya-tanya kenapa dia datang cari aku.

-----

"So? Apa cerita?" 

"You ingat tak HDP course di SP yang you tak pi dulu tu? CD-ROM Dr M dia tak tau dia letak kat mana. Kita kena buat 5 sessions untuk tahun nih. Mana nak dapat CD-ROM tu you agak?" dia mulakan.

Aku tersenyum sendiri. Ternyata aku salah tanggapan. Dia datang bukan kerana hal yang lagi satu itu.  

"CD-ROM I kan ada? Dengan buku dia sekali. Kita pakai yang itulah," aku jelaskan.

Perbualan beranjak ke mesyuarat yang bakal diadakan sebelum kursus itu.  Soal tempat, hari dan masa.  Soal Mesyuarat Eclampsia minggu lepas.  Kursus Baby Friendly tahun ini.  Kes Saonah yang tidak habis-habis lagi.

"You tau, mak dia kata kalau depa nak saman pun boleh. I kata kalau makcik nak saman, samanlah!" 

Sampai begitu sekali?

"Eh! Dr HS ada call you?"  

Aku ceritakan apa yang Dr J ceritakan kepada aku minggu lepas.  Tentang pertukaran aku.  Tentang keadaan di hospital besar. Tentang ketiadaan 'orang baru' yang sesuai.

Telefon berbunyi dua kali, mengganggu perbualan kami.  Mr M, pakar Bedah perlukan aku di OT.  Acute appendicitis yang dia sangka sebenarnya ovarian tumour.  

Ahh... kacau daun saja.  

-----

"Apa hal Milah cari you tadi, Max?" tanya Dr N di klinik.

"Dia nak arrange kursus."

"Laa... I ingat dia dah nak transfer sini!" Dr N tergelak.

Memang lucu. Aku pun sangka begitu.  Aku sangka Milah sudah terbuka hati untuk membantu aku.

Tadi bila aku tanya Milah, dia masih kata tidak mahu tapi aku rasa kali ini dia sudah tidak begitu berkeras.  Mungkin betul seperti kata Dr BV, kalau dipujuk-pujuk berulang-ulang, pendirian Milah masih boleh diubah.

Milah, Milah... entahlah.

(Hari ini 17 Februari. Genap dua tahun aku di pulau ini.)

February 14, 2002 [6:00 PM]  

...marooned...

Dr J datang buat lawatan bulanan.  Kali ini tanpa dipaksa.

Aku tunggu di lobi.  Dia datang lewat sejam tapi dia masih mahu ajak aku minum di kantin.  

Lepas soalan-soalan lazim macam, "How are you?" dan "Is everything OK?" aku pesan Milo ais untuk aku dan teh ais untuk dia.

"I've got good news for you, Max!" kata Dr J dengan senyuman.

Senyap.

Milo ais itu terlebih susu.  Tumpah sedikit atas alas meja merah jambu itu.  Warnanya jadi seakan jingga.

"Please tell me it's about my transfer."

"Yes.  We've found a solution," kata Dr J.

Aku tahan nafas.  Cepatlah beritahu.

Tapi dia tidak terus beritahu berita baik itu.  Dia cerita tentang keadaan di hospital besar.  Mereka tidak cukup MO.  Mereka mahu aku balik.  Mereka sedang usahakan sebelum Boss baru datang, sebab Boss baru nanti tidak kenal aku.  Boss baru itu nanti tidak akan faham janji mereka kepada aku.

"We are trying to get Milah to agree.  We're persuading Milah to come here."

Nafas aku rasa tersangkut di dada.

Lagi-lagi Milah.  Lagi-lagi Milah.  Milah sudah kata dia tidak mahu, 'kan?  Apa cara lagi untuk pujuk Milah?  

"We?  Who's we?"

"Dr NR.  TPP, Dr HS.  Dr CP.  Dr BV.  The whole gang.  We promised to get you out so we will."

Mungkin ini rasanya jadi salah seorang tebusan di Jolo itu dulu.  Tunggu diselamatkan.  Tunggu mereka habiskan rundingan.  Tunggu Milah datang bawa wang tebusan.

Aku tak tahu apa nak rasa.  Aku belum habis ikhtiar.  Aku mahu pergi jumpa Milah sekali lagi.  Cuma Milahlah harapan aku sekarang.

Jemput minum.  Milo ais.  Terlebih susu.

February 13, 2002 [8:09 PM]

malam ku bermimpi
hai dengan satu bintang
berkata denganku di jendela...


Plotnya kabur, cinematografi tidak menarik, camera angle tidak strategik, tidak memanipulasi keseluruhan set.  Aku tak ingat keseluruhan mimpi itu tapi aku terjaga dengan sakit perut yang amat sangat, macam ada lebih daripada seekor kala jengking dalam rahim aku sedang mengguris-guris lapisan endometrium.  

Pukul lima pagi, aku bangun minum susu dan telan Brufen 400mg, mengejutkan cicak bawah periuk nasi dari tidurnya.   Tunggu setengah jam, berpeluh macam apa.  Rasa mahu muntah pun ada.

Padanlah dua-tiga hari kebelakangan ini aku asyik teringat nak bunuh orang, termasuk kau.  Sakit bersalin sepuluh kali ganda sakit ini kata orang.  

Tak boleh tidur.

Pasang radio.  

"Ladja, ladja...," lagu hindustan pukul enam pagi.  

Tutup radio, ambil buku dari dalam beg.  Mukasurat 665 sekarang ada bekas minyak cap kapak dari ibu jari kanan aku.

Masa staf syif pagi pergi kerja, aku sudah habis baca Roots.  Rasa kagum aku tak habis-habis sampai sekarang.  

Aku masih kecil lagi masa Roots ditayangkan di televisyen.  Kau ingat Roots?  Kunta Kinte?  Mungkin kau terlalu muda, bukan dari generasi itu.  Sepanjang tahun lepas aku teringin sangat mahu menonton Roots semula, entah kenapa.  Aku agak bila kau sampai ke umur aku sekarang, kau mahu hidupkan semula sebahagian daripada zaman kanak-kanak kau.  Agaknyalah.  Itu teori aku.  Max's Theory of Ageing.

Satu hari, bulan Oktober lepas aku ke kedai buku mahu cari novel Amy Tan yang baru.  Ada selonggok buku hard-cover atas kaunter.  Buku paling atas buku Roots, by Alex Haley.  Macam tak percaya.  Aku terus beli.  Lupa mahu tengok harga.

Aku suka buku ini.  Kisah 200 tahun, tujuh keturunan keluarga Kinte.  Kisah penindasan dan perjuangan mengembalikan hak.  Kisah kehidupan.  Bila sampai muka terakhir, aku rasa nak balik ke muka satu dan ulang baca dari mula.  Kau pernah rasa macam tu?  Kalau kau ada masa, bacalah.  Lebih seronok daripada menontonnya di televisyen.

Aku perlu cari buku baru untuk hilangkan kebosanan aku.  Ada idea?  

Aku mahu makan nasi.  Siang tadi aku cuma makan roti.  Kala jengking dalam rahim aku sudah jadi semut api.  Aku masih rasa mahu muntah.  Esok aku ada klinik.  Jumpa pesakit-pesakit yang senasib dengan aku.  (Aku kena pura-pura sihat, nanti mereka tak percaya ubat aku mujarab.)

February 12, 2002 [3:01 AM]

...diindang ditampi beras, dipilih antah satu-satu...

Baca kalau kau mahu, aku tidak paksa.  Senyum kalau kau rasa perlu, aku tidak larang.  Cuma untuk sekali ini, diamlah.

Susahnya menjadi aku, hanya aku yang tahu.

Aku telefon untuk beritahu kau sesuatu.  Aku mahu suruh kau diam tadi tapi aku tidak sampai hati.  Aku tahu kau perlukan tempat untuk bercerita, jadi aku yang diam.  Cerita, dan aku akan dengar.  Itulah pun yang aku lakukan tujuh bulan kebelakangan ini, dengar setiap keluh-kesah kau sedangkan apa yang ada dalam hati aku, kau tidak pernah ambil peduli.

Aku telefon kerana SMS itu.  Aku mahu suruh kau diam tapi aku tidak sampai hati, jadi aku yang diam. 

Sekarang, kau diam.  Biar aku cerita.

Aku rasa aku tidak boleh bersaing dengan kerjaya kau.  Aku tidak boleh jadi satu lagi tugasan untuk kau buat sebelum deadline, ditolak ke tengah ke tepi dalam jadual kau yang sentiasa penuh.  Aku tidak boleh lagi telan kekecewaan aku setiap kali 'bukan janji' kau tidak dipenuhi. Aku tidak boleh terima jarak sebagai pemisah.

(Dan teori pipit-enggang kau itu, buat aku tersinggung.)

Itu yang aku mahu beritahu kau tadi.  Aku mahu suruh kau diam tapi aku tidak sampai hati, jadi aku yang diam.

Aku sudah timbang.  Aku sudah ukur dan aku sudah sukat.  Aku sudah fikir masak-masak.  Kalau kau mahu bercerita, aku masih boleh mendengar kerana kau aku anggap kawan.  Itulah yang aku mahu beritahu kau tadi.  Itulah yang seeloknya.

Kau tahu apa jadi?

Aku rasa aku sudah temui hikmah di sebalik semua ini.  Pertukaran aku yang tak jadi.  Kau.  Semuanya.  Aku harap kau jumpa apa dan siapa yang kau cari.  Cuma apa yang kau cari itu tidak akan kau jumpa di sini.  Siapa yang kau cari itu bukannya aku.  

Sehari-dua lagi, aku akan menyesal menulis semua ini di sini tapi sesudah beras ditampi antah dibuang, inilah keputusan aku.

February 10, 2002 [11:21 PM]

...ada otak letak di kepala lutut...

Umur dia 14 tahun. 

Masa aku umur sebaya dia, aku masih ikat rambut tocang dua.  Pergi-balik ke sekolah, belajar benda-benda yang sekarang aku sudah lupa.  Bawa duit lima puluh sen, yang Mak suruh aku ambil sendiri pagi-pagi dari bekas duit sekolah belakang cermin meja solek.  Aku boleh ambil lebih kalau aku mahu, pergi pasaraya belakang sekolah habiskan beli sticker Garfield atau letter pad gambar bunga-bunga bau macam gula-gula getah.  Tapi aku ambil lima puluh sen saja, setiap pagi.

Betapa mentahnya aku, umur 14 tahun.

Umur dia 14 tahun, mengandung lima bulan, berada dalam Bilik Bersalin.

Aku tidak mahu tahu bagaimana dia bernikah bulan satu tapi sekarang sudah ada dalam Bilik Bersalin.  Aku mahu tahu kenapa dia ikut lelaki umur 25 tahun itu main pondok-pondok dalam semak belakang rumah.

"Doktor, mak boleh masuk sekali tak?" dia tanya.

Aku kata tak boleh, lalu dia menangis macam budak kecil.

Aku kasihan. Rasa dia macam adik aku.  Aku suruh staf hidangkan dia sarapan.  Roti bertangkup dua sapu jem strawberry, dengan kopi-O suam. 

Mungkin dia pandai berlakon, atau memang dia teraniaya.  Aku tiba-tiba rasa marah pada lelaki yang umur 25 tahun itu.  Dia baru umur 14 tahun, kau tahu tak?  Kau tahu tak?  Ada otak letak di kepala lutut. 

Oh, bayi itu mati. 

Tiada siapa pun, aku lihat, meratap kematian itu.

February 8, 2002 [12:01 PM]



...jadikan ini satu pengajaran...

Aku bukannya kaya.

Cuma rezeki aku Allah murahkan.  

Berdasarkan baki akaun aku di sebuah bank komersil, aku dapat status pelanggan istimewa sejak Oktober 2000.  Tanpa diminta, aku diberi Priority Card.  (Tanpa diminta juga setiap bulan tong sampah aku dapat risalah tentang insurans, kad kredit dan entah apa lagi.)

Hari ini aku ada urusan di bank.  Aku isi borang, tekan punat kecil pada mesin ambil nombor giliran.  Aku duduk menunggu dengan sabar.

Aku dapat nombor 3040.  Nombor 3037 sedang berurusan di kaunter Priority bank itu.  Seorang lelaki berbangsa cina, lewat 30-an, berseluar pendek berbaju batik bermotif bunga raya.  Pelancong mungkin.  Ada banyak urusan agaknya.  Lama juga dia di kaunter itu.

Nombor 3038 juga berbangsa cina, berpakaian kasual, berkaca mata.  Sekejap saja dia di kaunter kemudian dia beredar dengan senyum di bibir dan wang tunai di tangan.

Nombor 3039 seorang lagi berbangsa cina.  Dia dalam awal 50-an, berperut buncit, berpakaian kemas lengkap bertali leher, menjinjit briefcase di tangan kanan dan telefon genggam di tangan kiri.  Aku agak dia mesti tauke.

Nombor 3040.  Aku.  Seorang wanita melayu, di penghujung era 20-an, berblaus hijau dan tudung sedondon, berseluar jeans dan bersandal.

"Eh!  Adik mana boleh datang sini!  Adik tekan butang mana tadi?"  tanya petugas kaunter dengan nada yang bagi aku, agak kasar.

[Excuse me?  Adik?  I don't think so...]

"Butang C...," kata aku, tenang.

"Tak boleh nih...," kata Hartini (bukan nama sebenar), petugas kaunter.

"Pasal apa tak boleh?" aku sudah sedikit malu.

"Ada kad nih?" dia tanya sambil menuding kepada replika kad Priority depan muka aku.  Ada nada mengejek pada suaranya.

Kerana aku tidak ber-'three-piece-suit', berkasut tumit tinggi rekaan terkini dari Italikah?  

Dengan sukacitanya aku tayang kad Priority aku.  Sekali-sekala dapat tunjuk 'power' seronok juga.

Dia teruskan transaksi aku di kaunter tanpa berani memandang anak mata aku.  Dari raut wajahnya aku tahu dia tentu rasa seperti sudah tertelan selipar waktu itu.   Kasihan pula aku pada dia.  

Jadikan ini satu pengajaran. 

February 7, 2002 [11:40 PM]

...permata  bayi yang hilang...

Okay.

Sekurang-kurangnya orang sudah berhenti bertanya soal pertukaran aku.  Diganti pula dengan soalan lain.

Satu perkara yang aku sudah lama perhatikan di pulau ini ialah gossip dan cerita-cerita separa benar begitu cepat tersebar.  Penduduk pulau ini bagaikan tidak ada kerja lain selain menjaja dari rumah ke rumah kisah si polan yang berbini empat, cucu si polan si polan yang ditangkap basah, bersanding dengan perut memboyot.  Laki aruah entah siapa pergi entah ke mana dengan anak siapa pula tiga minggu selepas aruah meninggal, semua mereka tahu.

Aku peduli apa.  Sibuk menjaga tepi kain orang nanti tepi kain sendiri meleret ke tanah menyapu najis.

Tapi kali ini aku kena ambil peduli sebab cerita separa-benar itu sudah ada pelbagai versi.  Orang surakhabar sudah cari Pengarah.  Pengarah pula cari aku.  Aku pun sudah kena buat Incident Reporting.  PKD, boss si Milah pun cari aku.  PKD, KJ, aku dan JT KKPM sudah jadi penyiasat persendirian, jejak Saonah (bukan nama sebenar) di rumahnya semalam.  Dapatkan versi sebenar cerita itu sebelum orang suratkhabar dapat dulu.

-----

Ceritanya begini.  Saonah, seorang wanita dalam lingkungan usia 20-an, datang ke Bilik Bersalin pada malam Isnin minggu lepas.  Ceritanya tidak ada beza dengan yang lain.  Kalau datang ke Unit Kecemasan sakit perut malam-malam itu mungkin kes cirit-birit.  Kalau datang ke unit aku, kes apa lagi?

Dia datang membawa Antenatal Card yang biasa dibawa oleh ibu-ibu mengandung.  Sekali pandang memang tidak ada celanya kandungan Saonah itu kecuali berat badannya yang statik, tidak naik-naik.  Kalau ikut Antenatal Card itu, Saonah sudah hampir tarikh jangka bersalin.

Satu Bilik Bersalin jadi kecoh bila semua yang memeriksa, termasuk Dr N, tidak dapat mencari denyutan jantung bayinya.  Perutnya juga tidaklah besar, rahim langsung tidak dapat dirasai dari luar perut.

"Tak sure lah, Max.  Tolong scan balik esok eh?"  Dr N beritahu aku kemudian.  Dia tidak percaya apa yang dia lihat pada mesin scan.

-----

Aku lihat Saonah keesokan harinya.  Saonah tidak nampak pelik.  Malah dia nampak normal.  Mundar-mandir dalam wad bertanya bila aku mahu scan perutnya, tidak bolehkah kerja-kerja aku yang lain ditangguh saja.  

Perutnya sudah kempis.  Janinnya sudah berhenti menendang.  Sakit perut sudah hilang.

Air kencing negatif bagi ujian mengandung.  Scan tunjuk tidak ada apa-apa dalam rahim Saonah.

Aku beritahu Saonah.  Aku beritahu suami dia.  Aku tunjuk-tunjuk pada skrin mesin scan walaupun aku tahu mereka tidak tahu apa yang aku tunjuk.

Saonah tidak terkejut.  Aku sangka dia akan meraung minta bayi itu digantikan dengan yang baru.  Rupa-rupanya dia sudah mimpi semuanya sebelum itu.  Seorang tua hodoh datang ambil bayi dalam perutnya.  Sejak itu perut Saonah kempis.  Dia sudah tahu.  

-----

Aku sudah pernah ada kes seperti ini dulu masa di hospital besar.  

Saonah bukan yang pertama.  Bukan juga yang terakhir.

"Kak J kata bapak dia tu, sepupu dia kata bela hantu raya tau doktor?  Hantu raya macam tu la kalau lapar, dia makan keluarga tuan dia," Kak M melaporkan tanpa perlu ke tempat kejadian.

Aku mengangguk saja.  Tidak mahu dituduh biadap.

Ada yang kata bunian.  Ada yang kata hantu raya.  Ada yang percaya, ada yang tidak.

Aku sudah bosan menjelaskan kepada semua orang.  

-----

Pseudocyesis.

Itu penjelasan aku.

Pseudocyesis.  Pseudo-pregnancy.  Phantom pregnancy.  Delusional pregnancy.  Semuanya bawa erti yang sama.

Saonah tidak mengandung.  Dia tidak pernah buat ujian air kencing.  Dia cuma percaya dia mengandung sebab dia terlalu ingin mengandung sejak keguguran dua kali.  Dia tambah percaya lagi bila bidan di klinik desa buat pemeriksaan ala kadar, merekodkan butir-butir pemeriksaan yang dia tidak lakukan.

Kes pseudocyesis yang klasik.  Kau boleh cari dalam internet dan baca.  Aku sudah jemu mengulang-ulang cerita yang sama.

Nota kaki:  Bukan perempuan saja boleh kena pseudocyesis.  Lelaki pun.  Menarik bukan?

-----

Kami ke rumah Saonah semalam.  Ambil nota dan bahan untuk dijadikan bukti.  (Aku rasa majalah Mastika yang banyak di dalam bakul pakaian Saonah itu agak mencurigakan.)

Saonah masih percaya dia mengandung dan bayinya diambil 'orang tua hodoh.'  Masa di wad dia kata sakit perut.  Sekarang cerita sudah jadi lain.  Dia tumpah darah pula.  Masa di wad dia kata tidak pernah buat scan.  Sekarang dia kata dia buat scan di klinik swasta di seberang.  Sekejap dia kata doktor nampak anak kembar.  Sekejap dia kata bukan.  

Kemudian bapa mertua Saonah pula cerita doktor scan nampak batu hempedu.  Batu hempedu?

Pembedahannya harga RM3 ribu.  Pembedahan? 

Dia pun mahu peranan dalam cerita ini.  Aku sungguh keliru.

"Nak tengok parut operation pakcik?" tanya dia.

Tak apalah.

Biar Saonah percaya dengan orang tua hodohnya dan aku percaya dengan apa yang aku percaya.  

"Kita merancang.  Tuhan menentukan," kata Saonah.

Kalau yang itu, aku setuju.

Aku minum secawan Milo yang kakak Saonah bancuhkan.  Jemput Saonah minum tapi dia 'dalam pantang.'  Jemput bapa mertua Saonah minum tapi dia tidak boleh minum susu sebab baru lepas laparoscopic cholecystectomy.

"Nak tengok parut operation pakcik?"

Hai, sabar sajalah.

February 5, 2002 [8:00 PM]

"Orang suratkhabar cari saya.  Ada kes hilang baby ke kat hospital kita?" Pengarah tiba-tiba tanya aku dengan wajah bimbang.

"Mana ada.  Kalau ada mesti Boss dah tau dah," balas aku.

Dua minit berlalu.

Kemudian aku ingat.  Memang ada.  Memang ada kes hilang bayi.

"Err, Boss.  Hilang dari wad ya Boss?"

"Huh."

"Bukan kes baby hilang dari perut?"

Pengarah pandang aku macam aku dah hilang akal.  

Betul, memang ada.  Kes hilang bayi, dari perut ibunya.  Malam Isnin minggu lepas.

Kau tahu lagu tema X-Files?  Ini masa yang sesuai untuk melagukannya.

Lagukannya sehingga aku sambung cerita ini.

February 4, 2002 [8:40 PM]

...cukuplah sekali ...

Bukan aku tak pujuk Milah (bukan nama sebenar).  Aku tidak mahu kelihatan terlalu memaksa.  

Milah singgah rumah aku lepas mesyuarat minggu lepas.  Aku ambil peluang itu untuk mencucuk jarum aku.  Dia masih tidak mahu.  

Bukan aku tak pujuk Milah.  Aku sudah pujuk, dia tidak mahu.

"Max, when are you coming out?" tanya Dr BV di telefon tadi.

Aku ceritakan pada dia masalah aku.

"Our MO's are too junior.  You have to persuade Milah.  Try harder."

Bukan aku tak pujuk Milah.  Aku... ah, sudahlah.

-----

Belum pun sepuluh minit aku akhiri perbualan dengan Dr BV, telefon berdering lagi.  Dr L, dengan soalan yang hampir sama.

Bila aku mahu keluar dari pulau ini.

Aku bosan.  Soalannya bukan bila aku mahu keluar, tapi bila aku boleh keluar.  

-----

Tiga jam selepas itu aku rujuk kes ke hospital besar.  Ina (bukan nama sebenar) terima panggilan aku.  

"Kak Max tak ingat saya?  I used to be your houseman."

Masa aku ditukarkan ke sini, Ina budak hingusan lagi.  Sekarang dia pegang jawatan lama aku.  

-----

Aku jumpa sehelai prescription di bawah alas meja PC aku.  Ada beberapa nombor tertulis di atasnya.  Ada anak panah berselirat.  Ada perkataan-perkataan yang tidak membentuk ayat lengkap.  

"Form?"

"? blood loss"

"chronologically"

"4 LR + 5 OT + 3 OT + 2 ICU + 4 cryo"

Aku tulis semua itu seminggu sebelum aku sepatutnya minta ditukarkan tahun lepas.  

Tujuh Februari.  Dia mati.  Bawa semangat aku sekali bersama-sama ke kubur.

Al-Fatihah pada rohnya.

Aku keronyokkan prescription itu.  Cukuplah sekali.

-----

Aku asyik bercerita tentang aku saja.  

Kau apa khabar?

February 2, 2002 [11:34 AM]

...yang laut balik ke laut ...

Apa yang aku tulis di sini bukan rahsia, apa yang rahsia aku tak akan tulis di sini.

Mula-mula jurnal ini hanya benda suka-suka.   Aku tulis, kau baca.  Aku tidak kenal kau, dan kau tidak kenal aku.  Aku bagi kau cuma beberapa ayat yang tersusun membentuk cerita.  Kau bagi aku cuma angka pada site tracker.  Jurnal ini masih benda suka-suka.

Kemudian aku jadi semakin suka pada jurnal ini.  Isinya jadi semakin peribadi.  Aku tulis, kau baca.  Jurnal ini bukan setakat suka-suka lagi .  Jurnal ini sudah jadi therapeutic.

Aku marahkan kau, aku tulis di sini.  Aku kecewa dengan kau, aku tulis di sini.  Aku mahu menangis, aku menangis di sini.  

Aku tulis.

Aku tidak sangka langsung kau membaca.

-----

Itu risiko yang aku ambil bila aku buka jurnal online.  Hidup aku macam mukasurat yang semua orang boleh baca.  Semua, termasuk orang yang aku kenali di luar dunia cyber.

Aku tidak senang lagi menulis.  Bila aku menulis tanpa menyebut nama sesiapa, terlalu ramai yang termakan cili.  Mereka sangka aku bercerita tentang mereka.

Aku mula menapis cerita aku.  Ada yang sesuai ditulis di sini, ada yang lebih baik dibiarkan offline.  Aku ada dua versi jurnal.  Lama kelamaan, lebih banyak cerita yang offline, tidak ada lagi untuk aku tulis online.  Aku temui jalan buntu.  

Dead end.

-----

"Akak pun depressed, cuma akak tak mahu mengaku je!" dia tulis dalam SMS beberapa hari lepas aku lancarkan ops: Dead End.

Aku kata 'unhappy' tidak sama dengan 'depressed.'  Memang bukan lagi rahsia aku tidak happy.  Aku boleh senaraikan semua sebabnya di sini tapi apalah gunanya.

Aku sebenarnya kecewa bila TPP tidak luluskan pertukaran aku.  Aku mahu cerita di sini tapi apalah gunanya.  Sabar bukan lagi perkataan yang aku suka dengar tapi sabar jugalah yang kau sebut.

Jadi, satu lagi cerita masuk dalam kategori 'offline sahaja -- tidak sesuai untuk bacaan umum.'

Tiap-tiap hari akan ada yang bertanya pasal pertukaran aku.  Jawapan aku semakin hari jadi semakin pendek, daripada satu ayat penuh kepada hanya satu senyuman kelat. 

The bottom line is this:  aku boleh menangis, aku boleh menjerit, aku boleh mengamuk.  Kau boleh dengar, kau boleh suruh aku bersabar.  Tapi pertukaran aku masih diluluskan dengan pengganti serta-merta.  Pertukaran aku masih diluluskan hanya bila ada orang baru.

Aku boleh menangis, aku boleh menjerit, aku boleh mengamuk.

Atau aku boleh teruskan hidup dengan senyuman...

Sekarang, yang laut baliklah ke laut, yang darat baliklah ke darat.  Hidup mesti terus.  




 









 









 

This site supports: