December 29, 2001 [9:56 PM]

kupandu ke kiri, kupandu ke kanan
ke mana sahaja asal tak merbahaya
oh mari mariiiii… naik keretaku…


Quote of the day: “Itulah pompuan.  I tengok pompuan nih, tau start kereta je…” (Ewahh…)

Keinginan untuk membeli kereta baru akan meluap-luap bila:

  • Jiran depan rumah kau tidak pernah dilihat menggilap Altis barunya.
  •  
  • Pemandu ambulan di tempat kerja kau, beli Altis.  Dia jadikan Altis itu teksi.  Ya, teksi.  Altis pertama di Malaysia yang dijadikan teksi.  (Handal, kan?)  Kau pandu Iswara Aeroback…
  •  
  • Kereta kau selalu buat lawak bodoh.
  •  
  • Kereta kau buat satu lagi lawak daripada koleksi lawak-lawak bodohnya selepas seminggu kau beri derma ikhlas kepada uncle pomen.

Mula-mula nenong-nenong macam biasa.  Kemudian langsung merajuk tak mahu hidup.  Aku bagi uncle pomen duit raya RM138.00 tukar bateri, tukar filter, tukar minyak enjin.  Itu tanda aku sayanglah.  Bagaimana lagi harus aku buktikan kasih sayang aku?

Dia buat lawak bodoh lagi hari ini.

Tayar depan pancit.  Okay, no sweat.  Tukarlah.  Aku ingat senang.  Macam hari itu.  Tukar tayar kereta Ayah dalam hujan renyai-renyai.

Aku buka boot.  Keluarkan tayar spare.

Okay.

Ada benda tiga segi kecemasan itu apa entah namanya.  Ada air bateri.  Ada wedge.  Ada botor air kosong.  Ada borang keahlian MMA.  Oh, di situ rupa-rupanya borang MMA itu (Boss, I’ve found it!).  Mana jack?  Mana benda satu lagi yang nak buang nat tayar itu?  Apa, wrenchWhatever.

Okay.

Perkataan suwey mengalir keluar daripada sel otak aku macam hujan di musim tengkujuh.  Naik tingkat 4, minta Naz pinjamkan jack dia.  Turun semula dengan Naz.  Jack kereta naik sedikit.  Cungkil wheel cover macam nak kopak peti besi bank.  Suwey bertukar menjadi sial.

Pasang wrench.  Buang nat saja lepas itu, habislah bahagian yang susahnya, kan?  Tapi nat tak mahu pusing.  Puas aku cuba.  Ayah cuba.  Mak pun cuba.  Aku berdiri atas wrench.  Empat puluh sembilan kilogram pun tak boleh putar wrench itu.  Sial sudah bertukar jadi satu perkataan dalam bahasa asing yang ada empat huruf.

Uncle pomen tutup kedai dia pukul berapa?  Aku menapak turun bukit pergi kedai pomen Uncle Yong (nama sebenar, promosi ini aku beri percuma).  Uncle sudah mahu tutup kedai tapi dia baik dia datang juga tengok kereta aku buat persembahan lawak.  Dia naik motor tapi aku menapak semula naik bukit.

Dr F bawa tayar spare aku ke kedai, isikan angin.  Anak Uncle Yong tukar tayar ke tayar spare.  Free of charge.  Ayah anjurkan lawatan-sambil-belajar ke kedai tayar.  Adik di kedai tayar itu kata apa, kepala tiub?  Kepala tiub pecah.  Ganti baru.  RM3.00.

Apakah yang kita dapat pelajari daripada episod ini, anak-anak?

December 21, 2001 [10:32 AM]

"...hang kan AJK..."

Segmen seterusnya akan disampaikan dalam loghat Kedah sempena peluang aku berjumpa beberapa geng jernel bahagian utara.

<!-- start of loghat Kedah-->

P-nut mai ghumah haghi ghaya keempat.  Keempat ka?  Kelima.  Dia mai ghaya kelima, dengan Najmi yang comey tu, mak dia, abah dia, anak menakan suami dia on the way nak pi makan kenughi kat Kepala Bataih.  Mola-mola Adik talipon dia ka, dia talipon Adik ka tak tau kata dia dok ada kat kedai taya depan tu.  Ayah dengan Adik pun keluaq la nak pi tughut depa tau-tau depa dah sampai.  Terra jugak la depa caghi ghumah aku.

Aku dan update sikit yang kat bawah tu, tak dan nak off PC.  Dia masuk dengan senyum simpoi dia.  Aku pun pi salam macam dah kenai saja. Sikit pun tak gabra no, P-nut?  Dok sat masa aku tengah dok buat ayaq, baghu aku peghasan ihh! aku ni bukan penah jumpa si P-nut ni.  Ghasa pelik pulak baghu nak peghasan kata ni pertama kali first time jumpa dia tapi ghasa macam dah kenai lama.

Depa dok sat, makan mi kari masakan Mak la sapa lagi.  Tak kan aku pulak nak masak, aku goreng tokua bukak posa haghi tu pun buleh sampai melecup tangan.  Aku dukung si Najmi tu masa depa dok makan. Ihh, comey sungguh la dia.  Buleh jatuh cinta aku lagu ni aihh!

Dalam satu setengah lagu tu lepaih dah posing-posing depan kamera apa semua depa pun balik.  Oii, lupa.  P-nut sughuh habaq kata dia ghajin basuh pinggan.  Nasib baik la kuah mi kari tu ada lagi dalam peghiyuk kalau dak, dengan tu sekali dia basuh.  Punya ghajinnya dia.

Pukoi 2.30 kot Zaza the floppydisk talipon.  Dengaq sogha macam nak tegheyak tu tau dah la mesti tak buleh pi tu.  Anak menakan dia tak sihat nak buat macam mana.

Lepaih tu aku dengan Adik keluaq pekan pi jumpa Meer dengan Yadziz.  Depa saja la yang buleh pi perjumpaan tak rasmi geng jernel utara ni.  Dah Zaza tak buleh pi.  Cikgu pulak sebok dengan paper SPM dia.  Ihh, aku ingat kheja cikgu ni senang, cuti panjang ghupanya cuti-cuti pun dia sebok.

Minami pun ada.  Nampak sangat la dia tak tau pasai jernal aku yang pemes ni pasai dia tanya aku, “Kak kheja apa?” (Sorry la Minami no...)  Hmm, nasib baik aku tak masuk bertanding Weblog Paling Popular untuk Piala Tok Rimau tu, kalau tidak mesti kalah awai-awai lagi.

Kami pi minum-minum, jalan-jalan caghi baju batik Adik kat Pekan Rabu la apa bala.  Last-last sampai kat depan Cathay.

“Nak tengok wayang?” aku saja la tanya.

Semua oghang (ceh! semua.  Macam la ghamai) pakat tengok Meer.  Dia kan AJK?

Kesian Meer, tanya pi la apa pun.  Jawapannya mesti, “Hang kan AJK?”

Tapi dia cool saja.  Usik la macam mana pun, memang dia cool.  Malam-malam tidoq dalam peti aih kot?

Kami tengok Lagi-lagi Senario yang Adik dah review kat site dia so tak payah aku ceghita la.  Yadziz blah awai pasai dia nak ligan baih balik KB. Tak dan aku nak babai-babai pun aihh.

Habih tengok wayang pukoi 7.30 ada la no, Adik no?  Pi ambik gambaq yang cuci kat kedai gambaq tadi tu lepaih tu naik teksi balik ghumah.  Haa tu dia, ghaya sakan.

<!-- end of loghat Kedah-->

Terima kasihlah kepada yang sudi beraya dengan aku.  Kepada Zaza dan Cikgu semoga kita berjumpa juga suatu hari nanti.  In fact, siapa tahu entah-entah kita dah pun berjumpa tapi tak kenal satu sama lain?  Hmm...

December 20, 2001 [12:58 PM]

"kat mana dah?"

"kedai tayar..."


P-nut the librarian (adik beradik Conan the Barbarian) ada kat kedai tayar. Ikuti kisah selanjutnya selepas ini...


December 18, 2001 [5:41 PM]

...asyik bersembang pakcik dan makcik, hai duit raya bila nak diberi?...

Hari ini sudah hari ketiga di bulan Syawal.

Tak rasa macam raya pun?  Semakin kita jauh dari zaman kanak-kanak, hari raya jadi semakin tidak relevan...

-----

Tahun ini aku tak terasa kemeriahan raya.  Aku rasa macam cuti biasa saja.  Aku tak tahu kenapa.  Mungkin zaman kanak-kanak aku sudah berlalu, cuma aku yang belum sedar.

Malam raya Mak keluarkan air zam-zam dari kabinet dapur.  Mak suruh minum waktu buka puasa.  Bukan apa, air zam-zam itu sudah lama ada dalam kabinet dapur, tidak diminum.  Aku tuang sedikit dalam gelas.

“Baca selawat tiga kali,” kata Mak. “...niatlah apa-apa.”

Niat? Tiba-tiba aku rasa macam di tangan aku ada lampu Aladdin.  Aku ada satu peluang untuk minta ‘apa-apa’ tapi aku tak tahu apa yang aku mahu minta.  Terlalu banyak ‘apa-apa’ yang aku mahukan dalam hidup ini.  Terlalu banyak.

Aku tidak doakan ‘supaya ayah diaorang balik raya.’  Hanya aku dan Allah sahaja yang tahu apa yang aku doakan masa aku teguk air zam-zam di malam penutup Ramadhan itu.

-----

Tahun ini aku tak terasa kemeriahan raya.  Aku rasa macam cuti biasa saja.  Aku tak tahu kenapa.  Mungkin kerana aku tidak berpeluang solat sunat Aidilfitri.  Tapi itu cerita lain.

Macam tak percaya aku layan Ultraman Dyna the Movie di televisyen pagi-pagi raya.  Nyaris-nyaris mengalami tekanan jiwa sebab Ultraman mati di tangan raksasa.  Ada ultraman satu lagi apa namanya entah, tapi bukan Ultraman Taro (itu cerita lain), datang tolong dan dia hidup semula dengan tenaga baru.  Wow.

Aku selalu dengar orang kata, “Takpe... doktor ada,” bila aku ada di khalayak.  Aku selalu rasa aku ultraman, dan semua akan OK kalau aku ada.

Pakcik J, bapa saudara aku, adik Mak datang beraya dengan keluarganya.  Makan-makan, sembang-sembang, gelak-gelak.  Tiba-tiba pakcik sesak nafas.  Dia tak boleh bercakap.  Nafasnya macam tersekat di kerongkong, ada bunyi macam orang lelah.

Makcik kata dia selalu jadi begitu bila makan makanan macam yang ada di atas meja itu.  Makcik tepuk-tepuk belakang pakcik.  Mak panggil-panggil nama pakcik.  Pakcik masih begitu.  Aku kenal situasi ini.  He’s choking, sekejap lagi dia mungkin pengsan.

Aku peluk pakcik dari belakang.  Aku buat Heimlich manouvre.  Ini pertama kali aku buat manouvre ini pada orang betul sejak 4 tahun bergelar doktor.  Sebelum ini aku cuma pernah buat pada patung manikin.

Okay, mungkin sekali ini aku tidak begitu allergic bila makcik kata, “Nasib baik ada doktor.”

Doktor bukan sentiasa ada di khalayak.  Kemalangan dan kecemasan selalunya berlaku di tempat tidak ada doktor.  First Aid bukan susah sangat. Semua orang patut belajar bantuan kecemasan.  Siapa tahu suatu hari kau berada di tempat pakcik dan orang sekeliling kau tidak tahu apa nak buat... bagaimana?

-----

Tahun ini aku tak terasa kemeriahan raya.  Aku rasa macam cuti biasa saja.  Aku tak tahu kenapa.  Mungkin kerana di sebalik keriuhan, aku rasa keseorangan.

Aku tengok Toll Gate Girl di NTV7.  Aku sangat-sangat suka.  Loghat utara dalam drama ini tidak seperti dalam Kutub Utara Kutub Selatan yang sangat aku meluat itu.  Aku suka jalan ceritanya.  Aku suka watak-wataknya.

Kedudukan drama ini dalam carta ‘boleh-tonton-berkali-kali’ aku sudah naik ke tangga pertama mengalahkan Soal Hati.

Tiba-tiba aku rasa sesuatu.  Orang kata hati lebih mudah tersentuh di penghujung Ramadhan dan permulaan Syawal.

Aku terlalu banyak menonton televisyen.

-----

Hari ini hari ketiga di bulan Syawal.

December 12, 2001 [9:39 PM]

Quote of the week: Seorang peminat berani mati Mat Jan jongkang-jongket yang tidak mahu namanya disiarkan dilaporkan berkata, "...hidup saya rasa kosong jer bila takde jongkang jongket..."

-----

  1. Telekung.
  2.  
  3. Bedak, gincu, sikat, etc.
  4.  
  5. Kuih raya.
  6.  
  7. Tinggalkan kunci kereta.

Tinggal itu saja lagi.  Lain-lain semua sudah masuk dalam beg.  Beg sudah diikat kemas ke troli.  Troli dan beg sudah ada tepi pintu.  Aku sudah bersedia untuk balik kampung.  Tidak pernah aku rasa seseronok ini untuk berhari raya.

Aku sudah caj bateri handset aku.  Handset aku sudah dua-tiga kali menyanyi-nyanyi ringtone lagu raya.

Aku sudah kemas rumah.  Aku sudah cabut semua plug yang aku tak akan guna malam ini dan esok.  Tinggal PC ini, televisyen dan peti sejuk saja.  Aku sudah cabut 'kepala gas' dari tong gas di dapur.  Aku sudah simpan semua pinggan mangkuk, tinggal satu pinggan dan satu gelas untuk bersahur nanti saja.  Aku sudah masukkan botol vitamin aku dalam beg, tinggal sebiji multivite, sebiji EPO dan dua biji tablet spirulina saja.  Tidak pernah aku seseronok ini untuk balik kampung.

Aku sudah terima fax daripada Boss.  Cuti aku lapan hari diluluskan tanpa pengganti.  Aku rasa berat untuk balik beraya lama-lama, meninggalkan tempat ini tidak ber-pegawai perubatan O&G.  Aku tak tahu sama ada aku buat semua ini sebab aku benar-benar beriya mahu balik, atau aku sekadar cuba meyakinkan diri aku tindakan aku ini betul.

Peduli apa.

Lenggang, lenggang kangkung
Kangkung di tepi paya
Ingin balik kampung
Beraya dengan keluarga...


SALAM AIDILFITRI DARI NAUSEATED! KEPADA SEMUA PEMBACA.

December 6, 2001 [4:48 PM]

[PENGUMUMAN: Peminat-peminat Jongkang-jongket diminta ke Jongkang-jongket untuk mendaftar dalam NotifyList kat situ. Entah, Mat Jan suruh cakap gitu...]

...hutang darah dibayar darah?...

Aku seorang sajakah yang marah?  Aku seorang sajakah yang radang dengan perkembangan terbaru di Semenanjung Gaza?  Gila.

Mereka pergi ke tempat orang, tunjuk lagak.  Bunuh beribu-ribu, rasa bangga.  Orang datang tempat mereka menuntut bela, bunuh dua puluh enam orang.  Mereka sekarang mangsa "terrorism." 

Israel isytihar perang ke atas Palestin atas alasan memerangi keganasan.  Aku bosanlah.  Sampai bila pun benda ini tak akan selesai, selagi Amerika dibiar jadi 'boss' dunia.  Mula-mula Afghanistan kemudian Palestin dan KIV Iraq.  Terrorism, kepala hotak dia.

Aku jumpa dua gambar menarik di internet, pilih yang mana satu kau suka:

kenapa aku rasa nak muntah? don't you think budak sebelah kanan tu ada iras udika?  :)
Allah sentiasa memihak kepada orang yang benar...

December 4, 2001 [5:24 PM]

...akhirnya, kini pasti...

Pucat dan lemah.

Dia nampak pucat dan lemah.  Aku ingat sebab dia puasa.

"Awat yang pucat sangat ni?" aku tanya dia.

Dia senyum, tidak menjawab soalan aku.  Biar aku tertanya-tanya sendiri.

"Dah ada dah, doktor!" akhirnya dia bersuara.

"Alhamdulillah! Allah hai... seronoknya saya," aku tak dapat sembunyikan kegembiraan aku. Aku rasa mahu peluk dia di situ juga.

Akhirnya setelah 7 tahun menunggu, setelah 2 tahun berulang-alik ke klinik aku, selepas kekecewaan demi kekecewaan doa dia dimakbulkan Tuhan.  

Akhirnya.

Aku doakan dia selamat.  Aku mungkin tidak akan ada di sini sewaktu dia melahirkan.

Aku tak mahu hadiah mahal-mahal bila aku pindah nanti.  Ini saja sudah cukup.

December 3, 2001 [5:15 PM]

...companionship...

Aneh.

Aku bukannya ada apa-apa isu yang bermain di fikiran aku.  Aku sedang berjalan ke arah kereta aku tengahari tadi, mahu ubah ke tempat teduh.  Tiba-tiba perkataan itu datang, meletup-letup (dam-dam-dumm) macam mercun di malam raya.

Companionship.

Itu agaknya jawapan bagi soalan NikDah, kawan aku.

Dia tak semena-mena tanya aku suatu hari enam tahun lepas, dalam bilik aku di Oval, “Apsal orang kahwin? Other than for sex?”

Aku diam.  Aku ingat dia sudah hilang akal.  NikDah tidak pernah sebut pasal kahwin, apa lagi seks.

Soalan itu dibiar tak berjawab sebab aku tak tahu apa jawaban yang setanding dengan soalan sehebat itu.  Atau aku malu dengar perkataan seks.

Tiba-tiba tadi aku ingat NikDah dan perkataan companionship datang berulang-ulang dalam kepala aku.  Aku rasa macam mahu telefon dia dan beritahu dia aku sudah jumpa jawaban kepada soalan itu.  Tapi dia sudah jadi isteri orang sekarang, aku percaya dia sudah lebih dulu jumpa jawabannya.

Jadi itulah.

Itulah dia.  Kalau aku mahu wang, aku tak perlukan kau.  Aku sudah boleh buat duit sendiri.  Kalau aku mahu harta pun aku tak perlukan kau. Aku boleh beli sendiri dengan wang yang aku cari sendiri.  Celibacy? Belum pernah aku dengar orang mati tanpa seks.

Companionship.  Itu saja.  Itu jawapan aku kepada kau, kenapa perbezaan status (whether real or imagined) tidak bermakna apa-apa.  Kenapa sebanyak mana pun wang dilonggok depan aku, tidak akan menjamin kebahagiaan.

Kalaulah ego kau tidak sebesar itu.  Kalaulah perkataan companionship datang kepada aku lebih awal, keadaan mungkin berbeza.

Aku tak tahu kenapa topik ini aku pilih untuk tulis di sini.

Entah. Mungkin subconscious aku sedang cuba beritahu aku sesuatu.

December 2, 2001 [5:01 PM]

...mungkin ini juga rindu...

Bila dekat aku benci.  Bila jauh aku rindu.

Aku suka bila aku baru balik daripada cuti.  Aku jadi begitu rindu pada kerja aku, pada hospital yang aku kurang berkenan ini.  Aku jadi begitu rindu pada pesakit-pesakit aku.  Aku rasa rindu pada OT, pada klinik, pada Labour Room.

Aku tahu perasaan ini cuma untuk hari ini saja.  Esok aku akan balik pada aku yang asal, yang rimas dengan tempat ini dan kerja statik tak ada future ini.

Mungkin aku patut dibenarkan cuti selang sehari, untuk meningkatkan semula prestasi kerja aku.  Aku akan ajukan di Mesyuarat Ketua-ketua Unit yang akan datang.  Ohh, mesyuarat itu hari ini.  Aku tak pergi sebab satu-satunya perkara yang sampai bila-bila pun aku tak akan rindu ialah mesyuarat.

Sesuatu yang bodoh telah berlaku tadi.

Aku mahu solat Zohor.  Aku sudah ambil wudhuk.  Tiba-tiba telefon di Bilik Pegawai Bertugas berdering.  Dr F mahu buat D&C aku setengah jam awal supaya dia boleh pergi Mesyuarat Ketua-ketua Unit.  Aku tinggalkan telekung aku dan pergi ke OT sebab semua orang sedang tunggu aku.  D&C cuma ambil masa 15 minit, aku akan solat lepas D&C.

Bila aku keluar dari OT, aku pergi Wad Perempuan pura-pura sibuk menghabiskan discharges supaya aku tidak perlu hadiri mesyuarat.

Pukul 4.15 aku balik.

Pukul 5 aku sedar aku tidak solat Zohor hari ini.

Aku rasa bodoh mengutamakan tanggungjawab aku pada manusia tapi mengabaikan tanggungjawab aku pada tuhan.  Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aku selalu fikir pasal perkara-perkara seperti ini.  Mungkin ini juga rindu.





 







 







 

This site supports: