Tanah indah pusaka moyang
di bawak percik sinar kebesaran
gahnya tersebar seluruh benua
agungnya dalam ukiran cetera

Tanah pusaka tanah tercinta
pernah berlangsir darah manusia
tersula hayat dalam tuntutan
terpanggang derita di tangan zaman

Tegak sendiri gigih sendiri
ditatang bicara sepenuh hati
peribangunnya dalam riak gelombang
mengembang kebesaran di sayap zaman

Tegak engkau dari kudrat bangsamu
mengisi perjuangan atas kemerdekaanmu
inilah dermabakti tumpahan darah di bumi
inilah sumbangsih atas hakikat cinta abadi

Tiada yang lebih bererti dari kasih sayang ini
tanah pusaka belaian jiwa penuh hakiki
di sini tubuh-tubuh kerdil memagar pantaimu
di sini dada-dada perwira menahan tembusan peluru

Tiada yang lebih bererti dari pengorbananmu
jika bukan pada bumi ini rebah bangunmu
taat setia abadi engkau pemilik kesayangan
tanah ini pusaka moyang yang tunggal.

--AHMAD SARJI--

August 31, 2002  [9:09 PM]

...merdeka...

Umurnya baru 2 tahun 4 bulan.  Pagi tadi dia riang bernyanyi-nyanyi mengikut liuk-lenggok penari-penari berpakaian berwarna-warni.  Pagi tadi dia sama-sama megah merayakan ulangtahun kemerdekaan.  Siapa sangka pukul 3.30 petang tadi dia akan mati.  Pergi meninggalkan aku tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.

Itulah yang dinamakan ajal.

Dengan tak semena-mena, televisyen aku mati petang tadi.  Langsung tak ada gambar, tak ada suara.  Lampu merah kecil itu pun sudah tidak mahu menyala lagi.  Mungkin dia sudah penat, si Panasonic itu, dia pilih hari ini untuk memerdekakan dirinya.

Okay.  Lupakan Forrest Gump malam ini.  

Aku boleh tidur awal.  Esok aku kena bangun pagi pergi kerja yang aku tak suka.  Itu pun sudah kira nasib baik, aku tidak hidup di zaman orang putih.  Perempuan seperti aku mungkin tidak ada kerja langsung.

Aku cuma ada sebuah radio kecil untuk menghilangkan sunyi aku malam ini dan malam-malam selepas ini hingga televisyen aku hidup semula.  Aku cuma boleh dapat Era di ruang tamu, MixFM di dapur dan RTM di mana-mana.  Itu pun sudah kira nasib baik, aku tidak hidup di zaman jepun.  Dengar radio pun sembunyi-sembunyi.  

-----

Bersyukurlah atas nasib baik kita hari ini.  Apa akan jadi esok, lusa kita tak tahu.

August 26, 2002  [9:59 PM]

...arang...

"Dah berapa lama adik kahwin?" 

Diam.  Tunduk meneliti setiap fiber pada cadar hospital itu macam dia lebih berminat berbicara tentang jenis fabrik daripada soal hidup dia sendiri.  

Aku tarik tirai keliling katil, pura-pura itu dinding kalis bunyi.  

"Saya tak kahwin lagi," katanya perlahan.  

Tiba-tiba dia jadi sungguh jijik di mata aku.  Berkhutbah aku pagi-pagi Isnin ini tentang halal haram, dosa pahala, syurga neraka, HIV AIDS, arang.  Bersyarah ketika perut lapar buat perut aku lebih lapar.  Mungkin aku tidak pernah berada dalam situasi sepertinya jadi seorang ortodoks seperti aku tidak dapat faham.  Aku harap janin 8 minggu dalam rahimnya dapat fahami situasi ini lebih baik daripada aku suatu hari nanti.

August 24, 2002  [4:49 PM]

...kesabaran membakar fikiran...

Aku tidak sanggup lagi makan gaji buta.  Aku tidak sanggup lagi duduk ternganga dalam mesyuarat tidak berfaedah.  Give me some real work. 

Aku bawa cross stitch aku ke tempat kerja.  Satu hari suntuk mengunci diri dalam bilik on-call menyulam benang dan manik pelbagai warna menjadi bunga.  Sesekali membelek kalendar mencari masa sesuai untuk ambil cuti lagi.  Bosan.  Mungkin aku sudah tersilap pilih kerjaya.  

Hospital besar kata lagi dua-tiga bulan.  Tapi itu dua-tiga bulan yang lalu.  Tahun ini tahun menguji kesabaran.

August 11, 2002  [8:02 PM]

...sukarnya memadam bayangan masa silam...

Buang.  Buang semua.

Aku mahu buang semua.  Pura-pura aku tidak ada sejarah.  Tapi semua 'sampah' itu macam terlalu berharga.  

Buku teks.  Banyak buku teks.  Buku kerja Sains Paduan Tingkatan satu, dua, tiga, dengan tulisan pensil aku yang bulat-bulat.  Buku Laporan darjah satu sampai enam.  Aku dapat E dalam mata pelajaran lukisan darjah satu.  Aku dapat C dalam Ilmu Hisab.  

Aku tak boleh buang.  Aku keluarkan dari almari kecil bawah meja tulis dan masukkan dalam beg lama Adik yang sudah terlalu buruk untuk digunakan.  

Riben hitam yang aku guna untuk ikat tocang aku, pertama kali ke sekolah darjah satu.  Riben kuning yang aku guna untuk menanda beg aku, pertama kali keluar negara.  Pertama kali menaiki kapalterbang sebenarnya.  Ada kisah lucu di sebaliknya.  Mungkin lain kali.  Kad menu penerbangan terakhir aku dari Heathrow ke Subang dengan MH002.  Ada tulisan Dibah, ucap forget-me-not.  Buat aku rindu.  

Dompet kecil The Beatles yang Shera belikan di Liverpool Docks.  Rantai kunci bertulis 'Fiona' hadiah harijadi dari Ujah.  Bagaimana aku boleh dapat gelaran itu dulu, itu cerita lain.  Sikat kecil warna hijau pemberian Mona dan Has di hari terakhir SPM.  Hari berpeluk-pelukan dan bertangis-tangisan.  Banyaknya.  Banyaknya benda kecil-kecil yang membawa makna besar.

Aku tak boleh buang.  Aku keluarkan dari laci meja solek.  Masuk dalam beg buruk itu.

Surat.  Kad harijadi.  Kad raya.  Satu mukasurat diari aku pada hari aku dapat tahu Duy dimasukkan ke wad psikiatri.  Cuma tinggal satu mukasurat, yang lain aku sudah bakar.  

Sampul 'angpow' pelbagai rupa dari zaman aku masih layak menerima duit raya.  Buku-buku setem.  The Adventures of Brer Rabbit, buku cerita kesayangan aku.  Mak Teh belikan di Kedah Supermarket masa aku darjah enam.  The Secret Garden.  Ayah belikan di Pesta Buku UUM masa IPTA itu mula-mula dibuka.  Aku masih dapat rasakan keseronokan aku pertama kali 'masuk universiti.'  

Aku tak boleh buang.  Keluar dari laci meja tulis, masuk dalam beg.  Aku tak tahu apa perlu dibuat dengan kapsul masa, my-life-in-a-bag itu lalu aku masukkan semula dalam almari.  

Aku belum bersedia untuk tinggalkan kenangan alam kanak-kanak dan remaja aku.  Tapi aku sedar, aku perlu juga melangkah ke alam satu lagi yang penuh dengan ketidakpastian itu.  Aku cuma perlukan sedikit lagi masa.  Kau faham, kan?

August 9, 2002  [11:32 PM]

...cuti (lagi)...

Aku ambil cuti lagi.  Borang cuti jabatan aku tidak ada ruang kosong untuk diisi dengan sebab bercuti.  Kalau ada, aku akan tulis sebab bercuti: fed up.  

Aku serah tugas pada pengganti aku.  Dia datang dari hospital besar dan akan berada di sini sepanjang sembilan hari ketiadaan aku ini.  Senyum dan berlaku sopan.  Cuma di dalam bot tadi aku teringat siapa dia.  Murali.  Aku sudah jumpa Murali.











 







 

This site supports: