April 29, 2002  [1:59 PM]

...oh! adik...

"Doktor, tadi ayah doktor telefon.  Dia kata nanti dia call balik," Staff Nurse R beritahu aku sebaik saja aku keluar dari OT pagi tadi.

Okay.

Ayah tak pernah telefon aku di tempat kerja kecuali ada hal mustahak.  Kali terakhir Ayah telefon aku di wad masa Adik jatuh dan pecah kepala beberapa bulan lalu.  Itu hal mustahak.

Aku cuba bayangkan beberapa worst case scenarios sambil mencari Kad Telefon dalam dompet aku.  Aku rasa dalam GO ada satu bab tentang tidak menyalahgunakan harta kerajaan.  Aku tak boleh buat panggilan peribadi guna talian telefon hospital.  Baiknya aku.  Gaji aku patut digandakan.

Aku ke telefon awam dekat Unit Pengimejan Diagnostik.  Dengar macam ada bunyi air laut dalam telefon itu.  Berdesir-desir.  Aku pun berhello-hello.  Rosak.  Habis sepuluh sen.

Aku patah balik ke Unit Pentadbiran pula.  Worst case scenarios dalam kepala aku dah jadi macam-macam.

"Adik," kata Ayah.

Okay.  Adik jatuh tangga bas dan pecah kepala? 

"Adik kena robbed kat Bus Stand Klang," sambung Ayah.

"Robbed?"

"Hmm, kena pow."

Okay.  Adik kena pow.  Itu bukan salah satu daripada worst case scenarios aku.

Kau tahu apa perkara pertama yang aku ingat bila Ayah kata Adik kena 'pow'?

Laptop.  Laptop yang dia bawa itu berharga RM6,000.  (Apa jenis kakaklah aku ni?)

Tiga orang Mat Pow cuba merompak Adik.  Adik melawan.  (Wow!)  Dia ditolak, jatuh dan cedera di telinga.  Laptop selamat.  Sekarang Adik ada di GHKL sedang diperiksa telinganya oleh doktor.  SXR dia okay, tak ada sebarang kecederaan tulang tengkorak.  Berdarah dari dalam telinga.  Kecederaan pada gegendang telinga masih tidak dapat ditentukan.  Aku tak akan komen pasal cecair otak lagi.  Joke itu sudah basi.

Syukur Adik selamat.  Syukur Mat Pow itu tak ada senjata.  Aku cuma ada seorang Adik saja.  Laptop, aku boleh beli lima buah kalau aku mahu.

(Dan Mat-mat Pow itu, aku sumpah cirit-birit tujuh keturunan!  Siapa suruh kau kacau Adik aku?  Hah?)

April 24, 2002  [11:56 PM]

it's not that I don't want to stay
but every time you come too close I move away...


Tiba-tiba was-was datang menguasai diri.  Terpaksa juga fikir benda yang aku tak tahu.  Semuanya kerana handset dimatikan semasa minum di kedai. 

"Kalau aku mengganggu, cakap sajalah," kata hati.

"Kau nih Hati, sensitif tak bertempatlah!" sanggah otak.

-----

Beban kerja sudah rasa tak tertanggung.  Bahu aku rasa berat.  Kepala aku rasa sarat.  Kalau nak dikira sabar, aku rasa sudah cukup lama aku bersabar.

"Pejam, celik, pejam, celik dah 2 tahun you kat sini kan?" tanya Dr MN di hujung kursus siang tadi.

Aku angguk dan jeling Milah.

Dr MN senyum.

Sudahlah. 

-----

Terjerut tali pusat.

Bukan sebab aku kecil hati.

Bayi dia mati sebab terjerut tali pusat.  Sebab itu yang telah dijanjikan.  Itu yang telah tertulis.

-----

(Antara hati dan otak, hati yang selalu menang.)

April 23, 2002  [1:15 PM]

...IUD: an explanation...

"Nasib baik meninggal kat sana kan?" tanya Dr N di OT tadi.

Orang biasa macam kau mungkin tidak dapat terima perkataan 'nasib baik' dan 'meninggal' berada dalam satu ayat yang sama.  Tapi itulah hakikatnya dalam profession aku, Dr N dan semua kakitangan perubatan lain.  Hidup mati sudah jadi lumrah.

Doktor bukan Tuhan.

-----

Aku mahu jelaskan tentang IUD dalam log semalam.  Bukan IUD, Intrauterine Device (atau dikenali juga sebagai IUCD) untuk merancang keluarga itu.  Ini IUD, Intrauterine Death.  Bayi meninggal dalam kandungan.  Macam OT lah juga. Bukan overtime. 

Haha.  Jadi yang sedang atau akan menggunakan IUCD bolehlah terus menggunakannya.  P-nut?  Interested?  :)

April 22, 2002  [1:37 PM]

...IUD...

Aku rasa berdosa.  Aku rasa berdosa berkecil hati dengan R dan L semalam.  Aku bukan boleh kecil hati dengan orang.  Suatu perkara buruk akan berlaku kalau orang kecilkan hati aku.

"Eh! You know about L's baby?" tanya Dr F masa aku terserempak dengan dia di tangga tadi.

"Huh? What happened?"

"IUD. You don't know?" 

"IUD??"


Aku rasa macam nak pitam.  Tengok tu, orang tak boleh kecilkan hati aku.  Sesuatu yang buruk telah pun berlaku.  Anak L mati dalam kandungan.  Disahkan pagi tadi, walaupun dia belum bersalin lagi.

Aku rasa sangat berdosa walaupun ini bukan sesuatu yang aku minta.  Memang kalau orang kecilkan hati aku, secara kebetulan sesuatu yang buruk akan berlaku.

Aku telefon Mak si L minta kepastian.  Kasihan aku makcik itu.  Kalau aku tak bekerja hari ini, mahu aku temankan dia ke seberang.  Aku telefon R di hospital besar.  Dia kata L tengah sedih sangat, asyik menangis saja dari tadi.  Semua Boss aku sudah tengok L.  Mereka tak tahu kenapa bayi L mati secara mengejut begitu. 

Aku jadi mereng lagi.  Aku rasa bertanggungjawab atas kematian bayi itu walaupun aku tidak minta ini terjadi.  Entahlah.  Semua ini kejadian Tuhan.  Di tanganNya, tidak ada yang mustahil.  Tuhan boleh beri, Dia boleh ambil
balik.  

"Makcik cuma minta L selamat je," kata Mak si L tadi.  

Aku pun harap begitu.

Susahlah menjadi aku.

April 21, 2002  [9:46 PM]

...so what was that light I saw in the sky?... 
(It was just a low-flying aeroplane...)

Sudah berapa kali aku pakai tudung oren itu.  Sudah berapa kali juga orang puji aku cantik bertudung oren itu.  Jadi aku pilih tudung oren itu semalam untuk dipakai ke kedai gambar.  Aku perlu ambil gambar baru untuk buat lesen baru. 

Aku bersiap depan cermin, berbedak dan bergincu.  Berlatih senyum aku yang paling manis.  Sengaja aku pakai kacamata aku yang baru, yang aku tidak suka sebab ia longgar itu, sebab kacamata itu tidak pantul flash kamera.  Aku mahu nampak lawa dalam lesen baru aku.  Lesen ini aku akan bawa dalam dompet aku seumur hidup bukan 2 tahun macam yang sekarang ini.

Aku ke pekan, pilih kedai gambar melayu bukan kedai cina sebab aku orang melayu, bukan orang cina.  Di situlah segala kekecewaan aku bermula.  Budak perempuan yang bertugas ambil gambar itu serahkan tugas mengambil gambar aku, perempuan lawa bertudung oren ini, kepada seorang budak baru. 

Terkebil-kebil budak lelaki itu memulas-mulas lensa kamera di tangannya sambil diarah itu-ini oleh jurugambar perempuan itu.  Aku rasa mahu suruh si perempuan itu saja ambil gambar aku tapi kalau dia tidak cuba sekarang, bila dia nak pandai?

-----

Hari ini aku pergi kerja memang sudah tidak kena daripada awal lagi.  Dr L, kawan aku, masuk wad malam Sabtu lepas sebab dia ada komplikasi dengan kandungannya.  Suami dia, Dr R,dengan lemah gemalai telefon aku minta tengokkan.  Aku pun pergi tengok dan bincang plan of management dengan mereka.  Aku tanya kalau mereka mahu aku rujukkan ke hospital besar tapi mereka kata tak apa kalau aku rasa tak perlu, mereka ikut saja.

Tup tup hari ini baru aku tahu semalam Dr R telefon Boss aku di hospital besar minta kes Dr L dirujukkan ke sana.  Aku langsung tak diberitahu. Tambah lagi Dr R bukan kerja di hospital ini pun!  Aku tak marah.  Tapi aku rasa sangat kecil hati.  Sudahlah buat keputusan tanpa pengetahuan aku, sikit pun tidak ada decency sebagai kawan untuk beritahu aku dia akan ke sana.

Mana pergi semua, "Nasib baik akak ada…," "Akak jangan pegi cuti mana-mana tau!" malam itu? Apa salahnya beritahu aku? Bukannya aku nak halang.

Langsung angin aku jadi tak baik.  Pagi-pagi sudah ada benda mengungkit kemerengan aku.  Mulalah aku rasa tidak berguna.  Ya lah, kalau jadi pada kau apa kau rasa?  Kau minta ditukarkan tapi permintaan kau ditolak sebab pulau ini perlu Pegawai Perubatan O&G tapi pada masa yang sama orang lain yang tak ada kena mengena buat keputusan tanpa melibatkan kau?  Lebih baik biar aku keluar dari pulau ini.  Buatlah sendiri segala keputusan tentang pesakit, memang aku tidak diperlukan pun.

Benda ini dan keengganan hospital besar melepaskan Murali tanpa alasan yang logik buat aku menangis lagi.  Cermin muka dalam tandas di bilik doktor itu sudah jadi teman baik aku.  Mendengar saja dia dari dulu.  Aku telefon Pengarah Negeri tapi dia dalam mesyuarat.  Aku sudah bosan.  Bosan.

-----

Lepas kerja, aku ke kedai gambar mahu ambil gambar lawa aku bertudung oren.  Si perempuan itu cari gambar aku. Dia kata sudah siap. Dia sendiri yang cuci.  Cari.  Cari dan cari lagi.

Tak jumpa.  Tak jumpa dan tak jumpa juga.

"Macam nih lah kak, gambar tu dah siap tapi tak boleh pakai.  Kecik sangat sebab dia nih tak pandai ambik.  Saya ambik lain hari nih, boleh?"

Hello?  Muka aku dah berminyak-minyak berpanas dalam kereta.  Mata aku dah merah sebab seharian hari ini hati aku pun panas juga.  Jerawat pun sudah mula galak, tumbuh atas hidung macam tak ada tempat lain.  Ambil gambar sekali lagi sebab kedai kau tak pandai ambil gambar?

"Tak payah.  Saya nak duit saya balik.  Saya nak pi kedai cina tu!"

Tak ada gerenti perkara ini tak akan berulang di kedai cina itu tapi aku sudah malas.

Malas aku.

Malas.

-----

Sekarang aku dah okay sikit.  Lepas asar tadi, aku turun bawah dan cuci kereta.  Aku memang suka cuci kereta bila aku marah-marah.  Aku sental, aku tonyoh, aku buat apa saja aku mahu.  Macam cermin muka dalam tandas doktor itu, kereta aku tak pernah menjawab balik.  Kesian dia, sentiasa jadi mangsa.  (Esok akak belikan Ambi Pur Vanilla Bouquet yang baru eh?)

Setelah Murali tak jadi dilepaskan lama lagilah rasanya aku kena berada di pulau ini.  Aku perlu lebih banyak kereta untuk dicuci sebab rasanya banyak kali lagi aku akan marah-marah.  Lebih untung kalau aku buka carwash. :)

April 19, 2002  [12:26 PM]

...I see a faraway light in the sky...

Mereng aku dah baik. 

Aku tak mahu fikir lagi.  Aku tak mahu fikir tentang benda-benda yang aku tak tahu sebab bila aku fikir benda-benda yang aku tak tahu aku cuma boleh fikir setakat yang aku tahu saja sedangkan yang selebihnya aku masih tak tahu walaupun ramai seakan cuba memberitahu.  Kau tahukah tak tahu apa yang aku cakap ni?

-----

Minyak enjin 32.00
Oil filter 7.00
Aircond belting 12.00
Fan belting 19.00
Timing belt, bearing, oil seal 115.00
Water pump 67.00
Cuci tangki  25.00
Upah kerja 60.00
Oil pad gasket  25.00
   
Ketenangan jiwa  priceless!

Kereta aku rosak.  Aku hantar pergi baiki dan servis.  Uncle the pomen tukar semua benda-benda yang rasa perlu ditukar.  Ada antara benda-benda itu yang aku tak tahu pun ada dalam kereta aku. 

Aku tunggu ayat lazim, "Orang perempuan nih I tengok pandai start kereta je!"

Tapi bukan ayat itu yang keluar.  Sebaliknya, "Nanti I call kawan I tengokkan kereta you. You pergi kerja tak pakai kereta kan?"

Aik?!!  Sudah tukarkah sekarang?  :)

-----

Dan satu lagi, Murali tak jadi datang.

April 15, 2002  [2:08 AM]

"...Wahai Tuhanku, aku memohon daripada kelebihanMu yang amat besar.  Sesungguhnya Engkau sahaja mampu segalanya sedangkan aku tidak mampu.  Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui.  Engkau mengetahui segala perkara ghaib.  

Wahai Tuhanku, sekiranya Engkau ketahui bahawa perkara ini adalah yang terbaik buatku dalam perkara agamaku, di dalam kehidupanku serta kehidupanku selanjutnya, maka takdirkanlah perkara itu untukku serta permudahkannya untukku dan berkatilah aku padanya.  Sekiranya Engkau ketahui bahawa perkara ini adalah bukan yang terbaik buatku dalam perkara agamaku, di dalam kehidupanku serta kehidupanku selanjutnya, maka jauhilah daripadanya serta takdirkanlah yang terbaik buatku serta berkatilah aku..."

Amin.

-----

Aku tak boleh tidur. 

Tak boleh tidur, pada malam-malam biasa mungkin tak jadi hal.  Tapi malam ini bukan malam yang sesuai untuk tidak boleh tidur sebab esok bukan hari yang sesuai untuk pura-pura sakit dan ambil MC.  Sebenarnya kalau kerja macam kerja aku ini, tidak ada hari yang sesuai untuk ambil MC, sakit betul-betul atau buat-buat (tapi itu cerita lain.)

Esok hari OT lagi.  Aku ada 5 kes lagi.  Kena pergi kerja awal, berdiri 4-5 jam di OT dan balik lumur Balm Serai seluruh badan lagi. 

(Ada orang ingat OT = overtime.  Bukan.  OT = Operating TheatreContoh ayat: Tiap-tiap malam Isnin aku kena tidur awal sebab tiap-tiap hari Isnin aku kena pergi OT buat pembedahan.)

Aku tak boleh tidur ada sebab.  Sebab aku sapu semua sampah-sarap aku ke bawah tikar.  Inilah yang jadi bila kau duduk di atas tikar yang di bawahnya ada banyak sampah-sarap.  Satu hari kau kena berjaga ke pukul 2-3 pagi untuk kutip sampah bawah tikar dan buang semuanya.

Atau kitar semula.

Fikir dahulu sebelum buang.

"Jangan fikir sangat benda nih.  Kita tak boleh fikir benda-benda yang kita tak tahu," kau kata.

Tidakkah kau tahu benda yang aku tidak tahu itulah yang paling menakutkan aku? 

April 9, 2002  [8:58 PM]

Aku sudah sampai entah mana-mana, mungkin Hollywood, masa telefon itu berdering.  Tapi aku tak tahu itu bunyi telefon.  Aku rasa aku sudah buka mata tapi semuanya masih gelap.  Kepala aku rasa macam ada amplifier di dalamnya.  Bunyi telefon itu macam sepuluh kali lebih kuat daripada biasa.

Telefon bunyi lagi.

Aku tutup jam loceng tapi bunyi membingitkan itu tidak berhenti.  Aku rasa mahu muntah bila aku sedar yang berbunyi itu bukan jam loceng dan hari masih belum pagi. 

Aku baru tidur setengah jam, tolong jangan panggil aku pergi kerja.

"Pukul berapa ni?" aku tanya, tapi dia dengar lain.

Dia ingat aku tanya siapa dia jadi dia kenalkan diri. Dia kata dia telefon sebab kakak dia suruh tengok aku tengah buat apa.

Aku kata sesuatu dan letak telefon. Aku tak ingat apa aku kata dalam kegelapan ruang tamu itu. Aku cuma ingat aku letih, mata aku tak boleh buka dan semua sendi pada badan aku sudah berlumur Balm Serai.

-----

Apa punya nasiblah semalam.

Aku pergi kerja pukul 5 pagi dan balik pukul 4.30 petang.  Campur satu kes kecemasan pagi-pagi buta itu, aku ada enam kes di OT.  Kes terakhir ada komplikasi.  Aku sungguh tak suka bila jadi macam ini.  Di pulau ini, aku tidak ada sesiapa untuk bantu aku.

Darah tak mahu berhenti mengalir macam anak sungai warna merah.  Macam cat tumpah.  Macam botol F&N perisa strawberry pecah.  Macam gincu Absolutely Fabulous cair. 

(Macam darah dia malam itu.  Aku tidak pernah lupa malam itu dan aku tidak akan lupa.) 

Tapi syukurlah tidak jadi seperti malam itu.  Jadi aku balik pukul 4.30 petang dengan mata yang mengantuk dan badan yang lenguh-lenguh.  Dan perut yang lapar.

Aku jenguk Bilik Bersalin sekejap pukul 8 malam.  Mahu betul-betul pastikan dia selamat.  Dia kata dia gatal-gatal lepas pemindahan darah dan FFP.  Dia kata dia mahu muntah lepas suntikan Pethidine.  Dia kata dia sakit perut.  Dia kata anak dia perempuan. Dia kata air-cond sejuk.

Aku sengaja biar dia bercakap.  Sebab kalau dia boleh bercakap-cakap dengan aku, itu maknanya aku tidak tersilap.  Dia memang betul-betul masih hidup.  Tuhan mahu bagi aku (dan dia) satu lagi peluang.  Syukurlah.

-----

Itu sebabnya aku tidak boleh bezakan jam loceng dengan telefon semalam.

Itu sebabnya aku rasa tidak boleh berdiri tegak bila aku bangun tidur pagi tadi.

Itu sebabnya aku ganti minyak wangi dengan Balm Serai bila aku pergi kerja siang tadi.

April 6, 2002  [6:28 PM]

Sibuk sungguh sepanjang minggu ini.  Penduduk pulau ini berlumba-lumba datang bersalin macam ada pertandingan siapa beranak paling ramai dan siapa menjerit paling kuat.  Pelancong pun ada yang ter-beranak juga, memberi peluang aku asah semula bakat aku bersembang dalam loghat Cockney.  Aku jadi rindu pada fish and chips.

Perenggan di atas aku tulis semalam.  Gelombang otak aku terhenti pada fish and chips sebab telefon berdering lagi.  Aku kena pergi kerja lagi.  Tiba-tiba kerinduan aku pada ikan dan kentang goreng yang kaya dengan lemak itu bertukar menjadi rindu tidak terhingga pada Murali. 

Bila aku balik rumah, aku sudah terlalu letih untuk buat apa-apa kecuali mandi, solat, makan dan tidur.  Sejak hari Isnin, setiap malam aku tidur sampai pagi atas kerusi panjang di ruang tamu dengan televisyen terpasang dan buku cerita atas dada aku.  Secara kebetulan hari Isnin itu 1 April.  Minggu ini macam satu hari April Fools yang panjang.


 

 

 

This site supports: