Make your own free website on Tripod.com
 

 

Oktober 17, 2006

Kuning.  Putih.  Magenta.  Dan hibrid magenta dan kuning.  Satu-satu.  Atas batu kelikir putih.  Antara nisan dua batang.  Yang senget dan bergoyang.

Selamat hari jadi, sayang.

November 14, 2005

"...even for those of us who have children Max, we don't know how long they are going to be with us," kata Dr NZ seminggu lepas kejadian itu.

Kebenaran kata-kata itu buat aku tersentuh.  Semakin aku fikir, semakin aku rasa betapa benarnya kata-kata itu. 

Adalah sombong bagi aku untuk menganggap tiada sebab untuk doa dan harapan aku tidak dipenuhi.  Adalah angkuh bagi aku untuk menganggap Adam hak aku sedangkan Adam hakNya.  Dia yang menjadikan Adam lalu Dia ambil balik.  Aku sering terlupa dengan kekuasaanNya tapi Tuhan itu maha penyayang jadi dari semasa ke semasa Dia akan tolong ingatkan.  Aku anggap diri aku bertuah kerana masih ada masa untuk diingatkan.

Tuhan itu maha kaya.  Ada kejadianNya yang ditunjuk terang-terang (tapi kadang-kadang, ditunjukNya dengan terang pun kita tak nampak juga).  Ada pula kejadianNya yang disembunyi dari mata dan akal kita supaya satu hari di saat yang paling kita tak duga, Dia boleh jerit, "Surprise!" dan buat satu kejutan yang bermakna.  Lebih kurang macam itulah.

Adam aku tempatkan dalam hati aku di satu ruang istimewa hanya untuk dia.  Hidup aku, walaupun tidak akan lagi seperti dulu, perlu diteruskan. 

-----

"Allah answers prayers in three ways:  He says yes and gives you what you want, He says no and gives you something better or He says wait and gives you the best in His own time."

Insya'Allah.


November 5, 2005

Aku menangis. 

Aku menangis pada malam dia dikebumikan, setelah semua orang pulang.  Menangis sepuas-puas hati melencunkan bantal dengan air mata dan air liur, sama banyak.

"Abang ada.  Abang ada,"
kata Abang.

Lalu aku menangis lagi kuat mengenangkan mungkin itu saja yang aku ada.

Dan aku menangis bila aku buka buku cerita yang sudah lama aku tinggalkan kerana kesibukan kerja, gambar scan yang diambil ketika usia 7 minggu jatuh melayang.

Dan aku menangis bila aku Google-kan "prematurity 26 weeks" ada cerita-cerita gembira tentang mereka yang dilahirkan seusianya yang berpeluang hidup, di negara maju yang menghantar tentera berperang dan membunuh bayi-bayi orang lain.  Hidup ini tidak adil.

Dan aku menangis semasa aku menulis entri-entri lepas yang menghidupkan semula dia dalam perut angan aku.  Biar.  Biar mengalir, menitik ke celah papan kunci.  Air mata dan air hidung, sama banyak.

Hanya setelah itu aku puas.  Pada noktah terakhir, tangisan itu berhenti.  Kering.  Sendiri.  Mengulang baca entri-entri itu tidak lagi mengundang air mata.  Rasa asing.  Rasa seolah membaca cerita fiksyen orang lain.  Bukan cerita aku.

-----

Dan aku menangis semalam.  Takut.  Aku menangis kerana aku takut untuk mengaku aku semakin melupakan Adam.