Kuning. Putih. Magenta. Dan hibrid magenta dan kuning.
Satu-satu. Atas batu kelikir putih. Antara nisan dua batang.
Yang senget dan bergoyang.
Selamat hari jadi, sayang.
November 14, 2005
"...even for
those of us who have children Max, we don't know how long they are
going to be with us," kata Dr NZ seminggu lepas kejadian itu.
Kebenaran kata-kata itu buat aku tersentuh. Semakin aku
fikir, semakin aku rasa betapa benarnya kata-kata itu.
Adalah sombong bagi aku untuk menganggap tiada sebab untuk doa dan
harapan aku tidak dipenuhi. Adalah angkuh bagi aku untuk
menganggap Adam hak aku sedangkan Adam hakNya. Dia yang
menjadikan Adam lalu Dia ambil balik. Aku sering terlupa
dengan kekuasaanNya tapi Tuhan itu maha penyayang jadi dari semasa
ke semasa Dia akan tolong ingatkan. Aku anggap diri aku
bertuah kerana masih ada masa untuk diingatkan.
Tuhan itu maha kaya. Ada kejadianNya yang ditunjuk
terang-terang (tapi kadang-kadang, ditunjukNya dengan terang pun
kita tak nampak juga). Ada pula kejadianNya yang disembunyi
dari mata dan akal kita supaya satu hari di saat yang paling kita
tak duga, Dia boleh jerit, "Surprise!" dan buat satu
kejutan yang bermakna. Lebih kurang macam itulah.
Adam aku tempatkan dalam hati aku di satu ruang istimewa hanya
untuk dia. Hidup aku, walaupun tidak akan lagi seperti dulu,
perlu diteruskan.
-----
"Allah answers prayers in three ways: He says yes and
gives you what you want, He says no and gives you something better
or He says wait and gives you the best in His own time."
Insya'Allah.
November 5, 2005
Aku menangis.
Aku menangis pada malam dia dikebumikan, setelah semua orang
pulang. Menangis sepuas-puas hati melencunkan bantal dengan air
mata dan air liur, sama banyak.
"Abang ada. Abang ada," kata Abang.
Lalu aku menangis lagi kuat mengenangkan mungkin itu saja yang aku
ada.
Dan aku menangis bila aku buka buku cerita yang sudah lama aku
tinggalkan kerana kesibukan kerja, gambar scan yang diambil ketika
usia 7 minggu jatuh melayang.
Dan aku menangis bila aku Google-kan "prematurity 26 weeks" ada
cerita-cerita gembira tentang mereka yang dilahirkan seusianya
yang berpeluang hidup, di negara maju yang menghantar tentera
berperang dan membunuh bayi-bayi orang lain. Hidup ini tidak adil.
Dan aku menangis semasa aku menulis entri-entri lepas yang
menghidupkan semula dia dalam perut angan aku. Biar. Biar
mengalir, menitik ke celah papan kunci. Air mata dan air hidung,
sama banyak.
Hanya setelah itu aku puas. Pada noktah terakhir, tangisan itu
berhenti. Kering. Sendiri. Mengulang baca entri-entri itu tidak
lagi mengundang air mata. Rasa asing. Rasa seolah membaca cerita
fiksyen orang lain. Bukan cerita aku.
-----
Dan aku menangis semalam. Takut. Aku menangis kerana aku takut
untuk mengaku aku semakin melupakan Adam.